Monday, 21 April 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 45

    SEPERTI orang bodoh Amini berdiri di hadapan pintu utama ruang masuk ke dalam shopping mall ini. Dia sepatutnya menerima pelawaan Ikhwan untuk menghantar dia balik tadi. Bila dia mengenangkan mengenai Rizal, dia tidak jadi. Dia harus pergi ke restoran KFC itu semula.
            Belum sempat Amini membuka langkahnya, lengannya sudah disentap dari belakang. Pantas dia menoleh, cuba menarik lengannya. “Rizal!”
            Lelaki itu memberikannya sorotan mata yang tajam. Terbungkam bibir Amini. Dia tidak tahu apa yang lelaki itu akan beri padanya selepas ini. Dia tidak tahu hukuman apa lagi yang akan diberikan kepadanya. Bibir itu diperhatikan. Bibir yang petah berbicara itu tidak berkata apa-apa melainkan menggeletar. Amini mungkin tidak tahu yang dia ada di sini. Dia nampak semuanya. Bila Amini mahu melepaskan lengannya, Rizal terus sahaja menarik dia menuju ke kereta yang baru sahaja dihentikan di hadapan mereka. Jockey memberikan kunci kereta semula kepadanya. Tanpa banyak bicara, dia membuka pintu kereta dan memaksa Amini masuk ke ruang sebelah kiri itu.
            “Siapa lelaki itu?” tanya Rizal kasar sebaik sahaja kereta itu meluncur di jalan raya. Bila dia mengutarakan pertanyaan itu, Amini sedikit pun tidak memandang ke arahnya. Cepat dia mencengkam pada lengan Amini. “Damn it! Siapa lelaki tu Amini?” kuat suara itu dilontarkan, hampir pecah gegendang telinganya.
            Amini menjeling. “Siapa lelaki itu pada saya tak ada kena-mengena dengan kau Rizal. Tolong jangan masuk campur hal peribadi saya.” Oh! Amini masih tidak dapat melupakan bila Rizal tersenyum dan tergelak bersama dengan kekasihnya. Dia harus melepaskan semua ini dengan segera.
            “Haha!” keras sahaja ketawa yang dibuat-buatnya itu. “Tak cukup lagikah duit yang aku bagi, aku dah beli segala-galanya untuk kau, tak cukup lagikah Amini! Perempuan jenis apa kau ni? Perempuan materialistik? Atau jalang? Tak ada boyfriend konon tapi berfoya-foya dengan lelaki lain.”
            Bagaikan putus nyawa Amini. Rizal panggil aku jalang? Amini tidak sedar yang mereka sudah sampai di perkarangan rumah Mahani. Tidak sedar yang Rizal memecut kereta itu dengan lajunya.
            Rizal menurunkan penghadang matahari yang ada di hadapan tempat duduk. Cermin itu dihalakan pada Amini. Rambut Amini dia tolak kasar ke tepi, dia menunjukkan bekas merah yang dia tinggalkan semalam. “Don’t you see the red marks, you’re mine Amini. MINE!” ditekan lagi perkataan itu.
            Amini melarikan pandangannya ke tempat lain. Air mata mulai bertakung di matanya. Lelaki itu tuduh dia jalang, satu perkataan yang dia tidak pernah suka dengar. Aku bukan jalang! Tapi bila lelaki itu menunjukkan tanda merah dilehernya, dia rasa lelaki itu sengaja memperlakukan dia seperti binatang. “Kau nak buat apa dengan perempuan jalang macam aku Rizal? You want to ravish me? Alive? Go ahead. Take your claim. Plant your seed. Aku tak kisah.”
            Janganlah Rizal memperlakukan dia seperti itu. Amini berdoa di dalam hatinya.
            Rizal membuka matanya. Besar. Dia tidak percaya yang Amini boleh berbicara seperti itu tanpa bertapis. Ini bukan lagi Amini yang dia kenal. Bila dia terpandang pada mata yang memerah itu…
            “Kalau kau tak suka aku kenapa kau tak halau aku keluar? Kau fikir aku tahan dengan semua ini? Kau perlekehkan aku. Kau tuduh aku macam-macam sedangkan kau tak tahu hal yang sebenar.” Amini memejamkan matanya, cuba menarik nafas panjang. Bibir itu mula menggeletar tanpa dia sedar. “Please Rizal, I beg you, filed your divorce. I can’t stand it anymore,” luahnya dalam nada yang menggeletar. Sepuluh jari-jemari itu sudah digenggam dengan kuat, menahan rasa amarah di dalam hati.
            “A…” belum sempat Rizal menghabiskan perkataannya, Amini sudah keluar dari keretanya.
            “Amini!” panggil Rizal. Dia mengejar, Amini sudah jauh berjalan ke hadapan.
            Langkah besar dibuka. Setiap langkah itu dibunyi dengan detak kasutnya yang iramanya tetap, laju seperti detakan jantungnya yang semakin laju.
            Jalang.
Dia panggil aku jalang! Dia panggil aku jalang! Jalang! Jalang itu pelacur! Jalang itu perempuan keji! Dan lelaki itu mengatakan aku seorang pelacur. Aku seorang perempuan yang keji! Ya Allah. Harus berapa banyak lagi dugaan yang engkau hendak berikan kepada aku Ya Allah! Besar sungguh kasihMu padaku Ya Allah.
            “Ami!”
            “Arghh!!”
           
            “ADUH!!” kakinya terseliuh. Beg yang ada dibahunya terlepas dan terhempas di atas simen itu. Dia dapat dengar dengan jelas komputer ribanya turut terkena kesan daripada hentakan itu. Dia memegang buku lalinya yang sakit, punggungnya juga terasa sakit. Tumit kasut tingginya patah. Amini berusaha berdiri namun dia jatuh kembali sambil menahan sakit. Sekali lagi punggungnya terhempas di atas lantai yang berturap simen itu.
            Tiba-tiba lengannya dipegang, ada lengan yang melingkari pinggangnya.
            “Mata you pergi mana? Tak tengok jalan!” marah Rizal. Amini menolak tubuh itu supaya menjauh darinya. Dia tidak mahu Rizal menghampirinya. Air mata itu sekali lagi dibendung.
            “Jangan dekat dengan perempuan jalang!” keras suara itu memberikan amaran kepada Rizal. Dia cuba berdiri. Dia seorang yang cekal. Dia mampu menghadapi semua ini dengan sendiri. Tidak ada apa yang ada di dunia ini tidak boleh dilakukan tanpa berusaha. Dan dia, dia tidak perlukan pertolongan daripada lelaki yang sudah menghina, mencaci dan menfitnahnya itu.
            Rizal menarik nafas dalam-dalam.

            AMINI lebih rela terbaring di atas sofa berangkai tiga itu daripada berbaring di atas tilam. Kaki itu masih belum dibuat apa-apa lagi, nampaknya seperti Amini mahu membiarkan sahaja kaki yang terseliuh itu bertambah bengkak.
            Perempuan jalang! Materialistik! Jalang! Materialistik!
            Dalam sendu itu ditarik. Air mata itu tidak pernah berhenti turun daripada membasahi pipinya. Mata yang dirasakan pedih itu, tidak diendahkan langsung. Lelaki itu tidak berhak menuduh dia seperti itu.
            Tindakan refleks berlaku dengan cepat apabila dia merasakan kakinya mula disentuh dan cuba dituam dengan pek ais. Dia melarikan kakinya yang sakit itu daripada pegangan Rizal. Tidak suka bila lelaki itu berbuat baik padanya.
            “Jangan degil boleh tak?” geram Rizal melihat Amini yang masih lagi diam membatu seperti itu. Amini masih berbuat-buat tidak tahu mengenai keadaan kakinya. Adakah kerana Amini mahu membiarkan sakit itu melarat? “Boleh tak lupakan benda itu sebentar dan biar I beri kelegaan pada sakit you ni?” pinta Rizal.
            Amini terus bangkit. Dia merenung Rizal dengan tajam. Belakang tangannya menyeka air matanya, “pergi mampus dengan kelegaan kau!” dia menolak mangkuk yang berisi ais yang sudah cair itu dari tepi sofa. Basah! Habis baju Rizal basah lencun.

            HI!” satu tepukan singgah di bahu Amini. Perlahan-lahan Amini mengangkat kepalanya menoleh ke belakang. “Dah berapa lama Mimi duduk di sini? Tak bagi tau pun,” bertalu-talu soalan itu diberikan kepada Amini. Tidak percaya dia akan bertemu dengan Amini di sini pada waktu seperti ini. Selalunya petang hujung-hujung minggu seperti ini Amini akan menghabiskan masanya di rumah. Sangkanya, Amini tidak keluar lagi.
            Fikirannya berserabut. Perbualan di telefon bersama dengan ibu saudaranya sebentar tadi masih lagi segar di dalam ingatan.
            ‘Ami, Ma Su nak tanya betul-betul ni. Ma su harap, kau jawab dengan jujur.’
            ‘Kenapa?’
Situasi ini! Jantung itu mula berdebar-debar.
‘Betulkah kau tak pernah balik rumah lagi?’
            ‘Anne kata kau dah tak pernah balik rumah sejak kahwin.’
            ‘Ya Allah!’ hampir menitis air mata itu sekali lagi. ‘Saya baru balik rumah mak semalam.’
            ‘Ma Su bukannya apa Ami, Anne ada kata yang sejak kau kahwin dengan orang kaya, kau dah lupa daratan. Mak di rumah kau dah tak jenguk sedangkan mak kaulah yang bersusah-payah besarkan kau.’
            Sampai begitu sekali?
            ‘Tak apalah Ma Su.’
            ‘Ya lah. Jaga diri baik-baik.’
            Kenapa aku sering dijadikan bahan umpatan? Mereka fitnah aku tanpa menyelidik perkara yang sebenar. Bukan kali ini saja bahkan sudah berkali-kali dia dikata seperti itu. Darah daging sendiri yang memburuk-burukkan dirinya. Jangankan darah daging sendiri, suaminya juga menuduh dia yang bukan-bukan. Apa kesalahan berat yang dia pernah lakukan sehingga dia diperlakukan seperti ini?
           
            “MIMI…” suara itu menyapa telinganya lagi. Dia hampir-hampir terlupa akan kehadiran Ikhwan di sisinya.
            Amini tidak menjawab. Sebaliknya dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Cepat-cepat jari-jemarinya itu menyeka sisa air mata. Dia cuba mengukirkan senyuman tetapi bibirnya bagaikan lumpuh. Ikhwan mengambil tempat berhadapan dengan Amini. Dia memerhati wajah itu. Sembab. Amini menangis? Tapi kenapa? Jarang dia melihat Amini bersedih seperti itu. 
            Mimi, are you okay?” Ikhwan meletakkan tangannya di atas bahu Amini yang sedang menundukkan kepalanya. Bahu itu terjungkit-jungkit. Suara esak Amini mulai kedengaran.
Jalang! Materialistik!
            ‘Si Amini tu, sudah kerja bukannya ingat nak bayar hutang mak dia!’
            ‘Sampai bila pun keluarga kamu tak akan pernah hidup senang…’
            ‘Berlagak kaya! Padahal hutang keliling pinggang.’
            Suara-suara itu terngiang-ngiang di telinga Amini. Meski kaki Amini tidak lagi betah untuk berdiri. Dia meninggalkan rumah agam itu dengan segera dalam keadaan kakinya yang sakit. Dia kuatkan juga menekan clutch dan brek menggunakan kakinya yang sakitnya itu. Hasilnya, kaki kanan itu bertambah bengkak.
            “Mimi, ceritakan pada abang please. Kenapa boleh jadi macam ni?” pujuk Ikhwan lagi. Amini mengangkat kepalanya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Air mata yang merembes keluar di sapu cepaat. Pedih.
            Amini berdiri. Tetapi kakinya tidak dapat menampung berat badannya. Dia hampir terjatuh. Mujur ada Ikhwan menyambut tubuh itu. Amini duduk. Kepalanya ditundukkan.
            “Ya Allah! Kaki Mimi... Mimi apa dah jadi sebenarnya?” Ikhwan menundukkan kepalanya. “Tak boleh jadi, kita pergi hospital sekarang.”
            “Wan! Eh, Mimi!” Khalil baru tiba dari tandas. Matanya terbuka luas. Amini menangis? “Mimi, kenapa ni?” cepat dia meluru ke arah Amini.
            “Kita kena bawa Mimi pergi hospital. Her foot getting worse...” Khalil memandang kaki Amini yang membengkak. Merah.
            Okay,” Khalil cuba mengawal gelabahnya. Dia juga terkejut melihat kaki yang sebengkak itu.
            “Kau bawa kereta Mimi, kita pergi SMC.” Ikhwan memberikan Khalil beg sandang Adidas yang dibawa oleh Amini. Beg itulah yang selalu menemani Amini. Khalil menyelongkar beg itu sambil mengekor di belakang. Ikhwan sudah pun memapah Amini masuk ke kereta BMW miliknya. Amini duduk di sisinya. Berkali-kali Ikhwan menoleh ke arah Amini berharap bibir yang selalu petah berbicara itu akan menceritakan perkara yang sebenar kepadanya. Hampa, Amini sejak tadi memalingkan kepalanya ke luar tingkap. Sesekali Amini memejamkan matanya, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
            Apa sebenarnya yang terjadi? Hati Ikhwan berbisik.

            I bagi you MC okay, you tak boleh banyak bergerak sekarang.” Doktor yang memeriksa Amini itu berpesan. Amini hanya diam. Doktor itu menatap wajah sembab yang duduk di sisinya kemudian dia mengalihkan pandangannya menatap satu-persatu wajah lelaki yang menemani Amini. Wajah risau jelas kelihatan. Bertuah gadis ini kerana mempunyai dua orang lelaki yang risau akan keadaannya.
            “Dzul, teruk tak keadaan Mimi?” tanya Khalil. Dia mendekati meja rakan sekolahnya dahulu. Dzulkifli mengangkat kepalanya. “Taklah serius sangat tapi kalau bahagian ni diberi tekanan mungkin keadaannya akan bertambah serius. Tendon buku lalinya dah cedera dan membengkak. Tapi, macam mana boleh jadi macam ni cik?” kali ini giliran Dzulkifli pula bertanya kepada Amini. Amini diam, tidak menjawab sebaliknya Amini menundukkan kepalanya.
            “Mimi...” panggil Ikhwan. Sejak tadi Amini mendiamkan diri. Tidak ada sepatah pun perkataan keluar dari mulut itu. Kalau sebelum ini Aminilah yang paling aktif bersuara tapi kini...
            “Tak apalah, you kena berhati-hati.” Akhirnya Dzulkifli mengalah. Dia lagi tidak menanti jawapan dari Amini apabila dia nampak Amini seolah-olah hendak menangis.
            “Jom, kami hantar kau balik.” Kini giliran Khalil pula memapah Amini. Amini hanya menurut.
            “Kalau saya tak pulang boleh tak?” akhirnya suara emas itu muncul juga dari bibir itu. Tiga orang lelaki itu berpandangan sesama sendiri. Ada getar di suara itu. Amini cuba sedaya upaya untuk menahan air matanya daripada jatuh. Malangnya, air mata itu tidak menurut perintah. Cepat-cepat Amini mengelap. Kalau mereka menghantarnya ke rumah sewanya mungkin Rizal akan berada di situ, dia tidak mahu bertemu dengan lelaki itu buat masa ini. Telefonnya sudah berkali-kali berdering, nama Rizal terpampang tapi dia tukar nada panggilan ke mode senyap.
            “Err, kalau korang nak bilik aku boleh uruskan.” Dzulkiflli bersuara.

            TELEFON bimbit Amini berdering sekali lagi. 30 panggilan tidak dijawab. Kali ini nombor yang tidak dikenali pula menghubunginya. Amini menatap skrin telefon bimbitnya. Dia menekan skrin.
            You ada di mana sekarang ni? You tau tak mama risaukan you!!” belum pun sempat Amini memberikan salam suara itu sudah menampar gegendang telinganya.
            Amini menarik nafas sedalam-dalamnya. Mengumpul kekuatan. “Saya ada ke tidak itu bukan hal kau.” Dia terus saja memutuskan panggilan telefon itu. Dia terus menghantar pesanan ringkas kepada ibu mertuanya.
            ‘Mama, Ami ada kerja sikit. Sekarang ni Ami bermalam dekat rumah kawan Ami. Mungkin akan berada di sini dua atau tiga hari. Ami sayang mama. Good night. Salam.’
            Tidak lama kemudian, telefonnya berdering. Kali ini nama ibu mertuanya pula terpapar.
            Hello ma, sorry Ami tak dapat sambut panggilan tadi. Sibuk sikit. Ami tak apa, Ami okey. Jumpa mama nanti yaa...” Amini meletakkan telefon bimbitnya di sisi. Dia meraup mukanya. Air matanya merembes keluar lagi. Berapa lama harus dia bersembunyi? Berapa lama harus dia merawat hatinya yang luka ini?
            Ikhwan dan Khalil saling berpandangan. Amini bijak menyembunyikan masalahnya. Tapi kenapa? Bukankah hubungan mereka selama ini rapat? Adakah Amini bergaduh dengan rakan serumahnya sehingga dia tidak mahu balik? Pelbagai soalan bermain di benak mereka memikirkan masalah itu.

Friday, 21 March 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 44

         TIDAK lekang senyuman itu dari bibirnya. Mungkin dia boleh menulis setiap perkara yang dilaluinya pada hari ini di dalam diari kecilnya. Dia melirikkan matanya pada Rizal yang sedang memandu. Rambut itu, mata itu, hidung itu dan bibir itu menjadi tatapan Amini. Tidak menyangka yang lelaki itu nampak begitu kacak dimatanya kali ini. Dia tidak pernah sedar yang Rizal sudah cukup sempurna bagi perempuan yang tidak punya apa-apa sepertinya itu. Matanya dialihkan ke sisi, memandang ke luar, cuba mengalihkan perasaannya. Tangannya di angkat dan diletakkan pada dadanya. Jantung itu berdegup dengan kencang. Nafasnya sedikit sesak. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Apa yang aku fikirkan ini?
            Deringan telefon itu membuatkan Amini sedar dan kembali ke alam yang nyata. Sempat dia menoleh pada Rizal.
            “What?” terkejut Amini bila terdengar lelaki itu meninggikan suaranya. Apa yang sudah berlaku kali ini. “Jangan takut okey, I datang sekarang juga.” Lembut suara itu meniti dalam saluran getaran. Amini cepat-cepat melarikan matanya bila lelaki itu menoleh padanya. “Ami,” panggil Rizal.
            “Ya,” pura-pura diceriakan suara itu. Rizal sudah berhentikan keretanya di bahu jalan berdekatan dengan restoran KFC itu. Amini sudah terlihat perubahan pada mata itu. Rizal risau!
            You tunggu I di sini ya. I nak pergi jumpa kawan sebentar.” Dia mahu Amini turun dan menunggu di restoran KFC itu pula.
            “Oh, okey.” Tidak banyak bicara Amini terus menarik beg besar yang dia letakkan di tempat duduk penumpang itu. Pintu kereta dibuka.
            Sorry Ami…” hanya itu sahaja yang Rizal mampu katakan kepada Amini. Bila Amini memberikan dia senyuman manis. Rasa bersalah itu tiba-tiba pudar.
            “Tak apa Rizal.”
            “Tunggu I ya.”
            Kali ini Amini tidak menjawab. Dia hanya mengukirkan senyuman sekali lagi. Luguh dia melangkah keluar dari kereta itu. Sedih bila lelaki itu lagi mengutamakan orang lain. Dia tahu panggilan itu daripada Nelly. Rizal sendiri sudah menetapkan nada dering yang berbeza untuk membezakan panggilan orang lain dengan panggilan yang dibuat oleh Nelly. I live my life for you. Amini sedar, Nelly mempunyai kedudukan yang istimewa dalam diri Rizal.
            Bila dia tutup pintu kereta, Rizal terus sahaja menderum laju. Amini masih lagi berdiri di situ, memerhatikan kereta Rizal yang dipecut laju itu sehinggalah hilang daripada pandangan matanya.
            Ya Allah, kenapa hati aku sakit seperti ini Ya Allah?
            Ternyata Rizal lagi mementingkan perempuan lain daripada dirinya ini, isterinya sendiri. Dan dia, perempuan yang memegang gelaran sebagai seorang isteri itu dibiarkan terkontang-kanting di tepi jalan. Amini menarik nafas dalam-dalam. Dia memang tidak bermakna apa-apa di mata Rizal. Rizal hanya menganggap dia seorang perempuan yang diberikan amanah memegang jawatan sebagai isterinya sahaja.
            Kau nak apa lagi Amini? Perkahwinan kau dengan Rizal bukannya satu ikatan cinta, kasih dan sayang di antara kamu berdua. Kau hanya berkahwin dengan dia hanya kerana kau tidak mampu membayar hutang kau.
            Benar.
            Itu semua benar.
            Dia tidak layak untuk semua itu.
            Dia tidak layak bertakhta di mata lelaki itu.
            “Mimi?”
            Langkah Amini mati. Dia baru sahaja mahu berjalan masuk ke dalam restoran makanan segera itu. Senyuman mula terukir di bibirnya. “Abang Wan!”

            TANGAN Amini ditarik menuju ke Starbucks. Mahu tidak mahu, Amini terpaksa menurut. Dia tidak mahu membantah lagipun sudah lama dia tidak bertemu dengan Ikhwan. Amini mengambil tempat berdekatan dengan dinding cermin. Tempat yang strategik baginya untuk memerhatikan tingkah laku manusia yang pelbagai. Tempat ini mengingatkan dia pada Rizal, di sinilah lelaki itu membawanya dan Johan minum sebaik sahaja tamat bermain rugbi. Bangku yang diduduki oleh orang lain itu diperhatikan, cuba mengimbas kembali kenangan itu.
            “Vanilla Latte, your favourite.” Segelas minuman latte itu diletakkan di hadapan Amini. Ikhwan lebih selesa dengan hot chocolatenya. Dia bukanlah pencinta kopi yang tegar. “Kenapa sedih ni?” dia terus sahaja memegang pipi Amini.
            Bila Amini menggelengkan kepalanya, Ikhwan terus sahaja mengusap-usap rambut Amini. “Abang nak Mimi berjumpa dengan Harith, Mimi tak pernah jumpa dengan Harith lagikan…”
            “Harith?” berkerut dahi itu. Dia seperti pernah dengar nama itu disebut sebelum ini. Ikhwan sudah menganggukkan kepalanya.
            “Harith, adik abang. Abang pasti, Harith mesti suka kat Mimi. Abang nak juga nampak adik angkat abang ni jadi adik ipar abang.”
            Tersedak Amini, hampir-hampir dia tersembur minuman itu di muka Ikhwan. Ikhwan mahu menjodohkan dia dengan adiknya pula. Biar betul? Dia mengurut-urut dadanya. Bila dia mengangkat kepalanya, dia ternampak sepasang kekasih yang sudah jalan bergandingan masuk melalui pintu itu. Mesra. Ada gelak di muka lelaki itu. Sangat mesra. Bulat mata Amini bila nampak pasangan itu masuk ke dalam coffee house ini juga.
            “Kenapa pucat ni?” tanya Ikhwan tiba-tiba. Air muka itu berubah tidak sampai seminit pun. Amini berkali-kali tertoleh-toleh pada pasangan yang sedang memesan air di kaunter. Siapa pasangan itu pada Amini? “Mimi kenal orang itukah?” soal Ikhwan.
            Amini menggelengkan kepalanya. Cepat.
            “Kalau tak kenal, buat apa kisah kat orang tu.” Ikhwan menyeluk kocek seluarnya. Dia mengeluarkan sebuah kotak baldu. Kotak itu disorongkan di hadapan Amini. “Umi pesan supaya Mimi pakai rantai ni. Abang baru ingat nak bagi kat sekolah Mimi nanti. Alih-alih abang jumpa Mimi kat depan KFC tu, makan KFC pun sorang-sorang, tak ajak abang dah.” Sedih pula Ikhwan, lebih-lebih lagi bila dia sudah tarik rajuknya.
            Amini terus sahaja mengangkat kepalanya. “Alah, Mimi bukannya sengaja pun. Janganlah marah…” pujuk Amini. Dia sudah cukup masak dengan perangai Ikhwan. Kadang-kala dia yang memainkan peranan lebih seperti seorang kakak, padahal lelaki itu sendiri mengaku yang dirinya seorang abang.
            Mata Amini menyorot pada pasangan yang melintasi mereka. Lelaki itu masih tidak mengetahui kehadiran mereka di situ.
            “Mimi, dengar abang cakap tak?” duga Ikhwan. Tangan itu terus sahaja ditampar perlahan bila Amini masih belum memberikan tumpuan kepadanya. Terpinga-pinga Amini bila tangannya ditampar.  
            “Hah?”
            Ikhwan melepaskan keluhan. “Sah! Mimi mengelamun. Hensem sangatkah mamat tu sampai Mimi tengok macam itu? Tak nampak mamat tu dah ada girlfriend?” sedar yang Amini masih lagi memerhatikan pasangan yang melintasi mereka tadi. Mata itu tidak pernah lepas daripada memandang lelaki itu.
            Amini diam. “Lelaki macam tu mesti tak sesuai dengan sayakan,” ujarnya perlahan. Dia cuba menenteramkan gelojak perasaan cemburu di dalam hatinya. Rizal tidak akan pernah sesuai dengannya. Tidak kiralah orang mengatakan dia cantik seperti bidadari sekalipun, Rizal tidak akan pernah memandangnya seperti dakwaan orang-orang itu.
            “Mimi cakap apa ni? Harith jauh lebih kacak dari lelaki itu.”
            Senyuman tawar terukir lemah di bibir itu. Apa lagi yang ada padanya melainkan sekeping hati yang sudah terguris. Dia sahaja yang perasan lebih. Dia tidak sedar yang Rizal hanya simpati padanya dan menganggap dia sebagai seorang yang memerlukan duit dan bukan isterinya. Dilema yang dia baru sahaja sedar sebentar tadi.
            Malu. Amini betul-betul malu dengan dirinya sendiri. Macam mana dia boleh fikirkan yang lelaki itu mahukan dia sebagai seorang isteri melainkan orang gaji di rumah lelaki itu sendiri.
            Sesekali bibir itu mengukirkan senyumannya. Mata itu bersinar-sinar. Cahaya kebahagiaan itu jelas terpancar. Kenapa aku yang menjadi penghalang kepada cinta orang lain? Kenapa aku harus menjadi tembok di antara pasangan kekasih ini? Gelas minuman yang ada di depannya itu dipegang. Biar rasa sejuk itu menyedarkannya dari khayalan. Dia harus keluar daripada mimpinya. Rizal dan dia tidak akan pernah serasi bersama. Mungkin, dia harus melakukan sesuatu. “Mimi nak jalan-jalan sebentar, abang Wan nak join tak?” tanya Amini. Dia sudah tidak tega lagi bila melihat Rizal sudah menggenggam jari-jemari perempuan itu.
            “Hurm, that’s a good idea. Abang rasa, abang pun nak beli baju juga. At least, Mimi ada. Boleh jadi perunding imej abang kali ini.”
            Tersenyum Amini. Perunding imej? Dia sendiri juga kurang pasti mengenai perkara itu. Dia sendiri tidak tahu ciri-ciri imej lelaki idamannya. Dia hanya mahukan seorang lelaki yang berpakaian kemas dan elok di matanya. Tidak perlu berpakaian seperti artis Korea. T-shirt biasa dan seluar pendek mahu pun jeans panjang pun sudah cukup baginya. “Surekah ni? Jangan menyesal sudah…”

            “RIZ, are you okay?” Nelly mengagau-agaukan tangannya di hadapan mata Rizal. Dia turut menoleh ke belakang, mengikut ekoran mata Rizal. Sejak tadi Rizal asyik memerhatikan pada pasangan yang duduk di belakangnya. “Riz!” Nelly menguatkan suaranya.
            Tidak mungkinlah Amini! Tapi baju kurung itu memang milik Amini. “Sorry, what did you say?”
            “Ingat binikah?” ejek Nelly sambil tertawa perlahan.
            Rizal tidak menjawab. Dia yakin perempuan tadi itu Amini. Bawah bibirnya diketap. Lelaki itu, lelaki yang sama; lelaki yang mengusap-usap rambut Amini dahulu. Teman lelaki Amini! “Sorry babe, got to go. You don’t have to worry about my sis. I’ll talk to her about this. Sorry, okay.” Dia menolak bangku ke belakang. Minuman yang masih bersisa di dalam gelas itu tidak diendahkan. Telefon bimbit dan kunci kereta diambil. Belum sempat Nelly mahu membuka mulutnya, Rizal sudah berlalu.
            Satu-persatu langkah itu dibuka. Dia mencari mengikut hatinya. Langkahnya dihentikan. Dia mendongakkan kepalanya. Mata itu menangkap susuk yang sedang melintas di tingkat atas itu. Cepat-cepat Rizal menuju ke escalator.
           
            CANTIK! Tangannya tidak berhenti daripada memegang tali leher yang dipamerkan itu. Corak melintang yang diwarnai dengan warna kelabu, biru dan silver itu benar-benar membuatkan dia jatuh hati. Fikirannya terus lekat pada Rizal. Lelaki itu kerap menggunakan kemeja yang berwarna putih, sehinggakan di dalam almari, hampir kesemua kemejanya berwarna putih. Sekurang-kurangnya, dia belikan sesuatu untuk lelaki ini.
            Sejak tadi dia menemani Ikhwan keluar masuk satu-persatu butik pakaian yang ada di situ. Dia memberikan pendapatnya dan menunggu pandangan Ikhwan mengenai pilihannya. Buat masa ini, Ikhwan masih belum berjumpa kemeja yang betul-betul menarik minatnya. Dari setiap sorot mata pekerja yang bekerja di butik itu, mereka semua menganggap yang Ikhwan itu mungkin merupakan suami, tunang, juga kekasihnya. Sejak tadi, dia asyik memikirkan bagaimana rasanya jikalau dia bersama kekasihnya berjalan mencari barang yang dikehendaki. Adakah dia akan melayan kekasihnya seperti dia melayan Ikhwan sekarang ini, memberikan pendapat, membuat muka apabila baju yang dicuba itu tidak sesuai, dan mencarikan potongan lain yang sesuai dengan tubuh itu. Orang-orang yang ada di situ juga asyik memerhatikan mereka. Amini ketawa, mengejek bila kemeja yang dicuba oleh Ikhwan itu nampak tidak sesuai. Alangkah indahnya semua ini jikalau dia bersama dengan orang yang tersayang…
            “Nak beli untuk siapa?” tegur Ikhwan. Terkejut Amini, tali leher yang ada dalam pegangannya terlepas. Ikhwan berdiri betul-betul di hadapannya. Mahu tidak dia terkejut.
            “Tak adalah, saja tengok.”
            Ikhwan mengangkat dua helai kemeja, ditunjukkan pada Amini. “Which one look better on me?” susah untuk Amini menjawab tanpa lelaki itu mencuba kemeja itu terlebih dahulu.
            “Hurmm, cuba dulu. Tak dapat nak decide.”
            “Okey,” cepat sahaja kaki itu melangkah menuju ke fitting room. Amini mengambil kesempatannya untuk membeli tali leher itu. Ikhwan tidak perlu tahu mengenai Rizal. Belum sampai masanya lagi. Dia menghulurkan sekeping not seratus ringgit kepada juruwang, bila sahaja wang bakinya dikembalikan. Dia terus sahaja memasukkan kotak itu ke dalam beg tangannya yang besar itu.
            Syukur Ikhwan keluar sebaik sahaja dia memasukkan kotak itu ke dalam begnya. Ikhwan keluar dengan mengenakan kemeja berwarna ungu cair itu. Nampak sesuai berbanding dengan warna maroon itu tadi. “Yang ni nampak okey,” usul Amini memberikan pandangannya.
            “Kan,” Ikhwan juga berfikir seperti itu. “Kalau macam tu, Mimi pilihkan tie untuk kemeja ni.”
            Amini senyum. “Come.” Dia tidak memilih tali leher yang mempunyai warna sedondon dengan baju kemeja itu. Warna sedondon memang ideal, tapi dari segi artistiknya, tidak ada kontra, jadi Amini memilih tali leher yang berwarna kekelabuan yang nampak seperti warna silver itu. “Macam mana yang ini?” tanya Amini.
            “Nice!” Amini memang tidak akan pernah silap dalam memilih. Amini tahu persis kehendak dirinya. Inilah yang dia inginkan sejak dahulu lagi, seorang adik perempuan yang boleh memberikan dia pendapat itu dan ini. Memang dia punya kekasih hati, tetapi pada masa yang sama, dia juga mahukan seorang adik yang dapat menemaninya. Ikhwan memberikan barang yang dia pegang itu kepada pembantu jualan yang sejak tadi berdiri di belakang mereka, memberikan mereka bantuan apabila mereka memerlukan sesuatu. Ikhwan memerhatikan Amini yang lebih banyak termenung itu.
            “Ami,” panggil Ikhwan. “Ami okeykah ni?” tanya Ikhwan. Bila nampak Amini menganggukkan kepalanya, dia mengerutkan dahinya. Masih tidak percaya dengan jawapan yang Amini berikan kepadanya. Selepas Amini melihat pasangan kekasih yang masuk ke Starbucks itu tadi, Amini jadi tidak keruan. Siapa sebenarnya pasangan itu? Adakah Amini mengenali perempuan itu? Atau lelaki itu?
            “Jom abang hantar Ami balik…”
            Balik? “Errr…”