Sunday, 17 August 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 48

              KAKI yang masih bengkak itu diperhatikan. Bengkak itu sudah semakin surut tapi dia masih belum dapat melupakan segala perihal yang Rizal telah lakukan kepadanya. Entah apa lagi hinaan yang akan diberikan oleh Rizal selepas ini. Sudah banyak perkara yang lelaki itu lakukan kepadanya, semuanya dipenuhi dengan cacian semata-mata.
            Pergola yang dibina berdekatan dengan pohon mangga itu menjadi tempat Amini menyandar. Dia melunjurkan kakinya sambil memejamkan matanya. Orang yang berumah tangga harus bahagia dengan pasangannya tetapi dia pula sebaliknya. Tidak ada guna mempunyai suami yang mempunyai kelebihan dalam kewangan sedangkan hidupnya tidak pernah berada dalam keadaan yang aman sejahtera. Dia berkahwin dengan Rizal bukan kerana harta. Bukan kerana paras rupa. Usah dibincangkan mengenai cinta. Dia berkahwin hanya kerana ingin melangsaikan hutangnya. Terjadinya ikatan ini hanya kerana hutang. Hutang duit, tergadai diri. Biarlah, asalkan dia membayar hutangnya kepada keluarga ini.
            Sebelum ini, hidupnya juga tidak pernah berada di dalam yang selesa kerana masalah dalaman keluarga. Amini menundukkan sedikit tubuhnya, dia meraup mukanya menggunakan kedua-dua belah tapak tangannya.
Rasa sedih yang teramat sangat. Mungkin inilah yang dirasai oleh mak dahulu. Maruah diperlekehkan oleh suami. Tapi, mak masih layan bapa dengan baik. Mak tidak pernah berkata banyak. Semuanya disimpan di dalam hati.
Setitis air mata membasahi pipi Amini. Dia menarik sendunya.
Aku tidak setabah mak. Mak sudah berhadapan semua ini dalam tempoh masa yang panjang sedangkan aku hanya berhadapan dengan situasi ini dalam masa beberapa bulan. Ya Allah, jadikan aku setabah mak!
Amini cepat-cepat mengesat air mata apabila terdengar bunyi tapak kaki yang dia sangat kenal datang mendekatinya. Dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu buat sementara waktu ini. Kalau boleh, dia enggan memandang wajah lelaki itu pun.
Tangannya memegang pada tiang, berpaut bagi membetulkan kedudukannya. Dia melangkah turun dari pergola itu, dan berjalan lurus ke kanan. Jalannya terhenjut-henjut. Sakit di hati lebih perit daripada sakit di kakinya. Dia tidak mahu menambah dosanya dengan bercakap dan membuat Rizal marah. Mengelak daripada bertembung dengan lelaki itu lebih baik daripada berhadapan dan meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya sekarang ini.  

LANGKAH Rizal mati. Dia baru sahaja berkira-kira mahu menyertai Amini duduk di pergola itu untuk menghirup suasana petang yang damai tapi Amini sudah berlalu. Mungkin Amini lagi tidak sedar akan kedatangannya. Matanya tertancap pada sebuah buku yang tertinggal di pergola, buku yang berkulit berwarna biru itu diperhatikan. Itu buku lakaran Amini.
Rizal terus sahaja mengambil buku itu. Punggungnya dilabuhkan pada lantai kayu jati. Terkedu dia tatkala melihat lukisan potret seorang bayi yang sedang tidur. Bayi itu comel. Adakah Amini sedang membayangkan wajah seorang bayi? Senyuman terukir di bibir Rizal. I’m not going to have your child Rizal!’
Suara Amini terngiang-ngiang di telinganya. Amini tidak akan pernah mengandungkan anaknya. Penolakan daripada Amini tempoh hari membuatkan dia sedar akan perkara ini. Mungkinkah Amini benar-benar mempunyai kekasih di luar sana? Dan wajah bayi ini adalah wajah bayi hasil daripada pasangan itu. Huh! Terlepas buku lakaran itu dari tangan Rizal.
Eh!
Buku lakaran itu diambil semula. Sekeping foto yang terselit di sebalik helaian buku itu terkeluar. Berkerut dahi Rizal. Itukan gambar akad nikah mereka. Bagaimana boleh ada di sebalik buku lakaran ini pula. Belum sempat Rizal meneliti dengan baik foto itu, foto itu terus sahaja disambar. Buku lakaran yang ada di atas riba Rizal juga turut di ambil.
Rizal mengangkat kepalanya. Wajah yang tidak mempunyai perasaan itu ditunjukkan oleh Amini sekali lagi. Rizal berdiri. “Gambar tu…”
Amini membuang pandangannya ke tempat lain. “It’s nothing.”
“Nothing?” duga Rizal dalam nada yang curiga. Dia menjungkitkan keningnya. Amini sudah tidak memperdulikan lelaki itu. Dia cuba mengelakkan daripada berlaga mata dengan lelaki itu. “Hows your feet?”
“I’m okay Rizal, it is not something that you need bother to ask.”
Kaget lelaki itu. Amini menjawab dalam nada yang sangat sarkastik. Bukan dia penyebab kaki Amini bengkak sebegini. “I hanya nak tahu Amini. Tak kan itupun salah?” tanya Rizal dalam nada suara yang meninggi.
“Saya okey,” akhirnya Amini menjawab.
Rizal mendengus. Geram. “Payah sangat nak jawab. Kalau tak nak bercakap lain kali tinggal dalam gua. Tidak pun tinggal dalam hutan sana, tak ada orang nak sibuk-sibuk.”
Terkedu Amini. Lelaki itu terus sahaja melintasinya dan meninggalkan dia seorang diri di situ. Nampak sangat lelaki itu marah tapi buat apa marah? Dia sakitkah, kemalangankah, matikah, semua itu tidak akan membawa apa-apa kerugian pada Rizal. Amini bukanlah siapa-siapa di mata lelaki itu melainkan perempuan yang diguna untuk menyerabutkan mata.
Sampul putih yang ada di tangannya ditatap lama. Ayat di atas sampul itu ditatap lama. URUSAN SERI PADUKA BAGINDA. Amini sudah membaca isi kandungan sampul itu, dia sudah memahami makna isi surat itu. Dan kini, semua keputusan terletak di tangannya.

AMINI tidak dapat melarikan matanya apabila lelaki itu berpakaian sukan dan menyandang beg raket di belakangnya. Kalau sahaja kakinya tidak seperti ini, mungkin dia juga akan turun ke gelanggang bersama dengan lelaki itu. Biar mereka punya konflik sekali pun, dia pasti akan turun juga sebab inilah yang dinamakan sebagai sosial sukan. Sukan tidak melibatkan perasaan dalaman, dan sikap keprejudisan itu perlu dielakkan daripada berhadapan dengan rakan sukan.
Bila Rizal menoleh ke arahnya, Amini berpura-pura menundukkan kepalanya, tidak sedar yang dia sedang memegang hujung kain bajunya. Lelaki itu tidak turun kerja, alasannya mudah, lelaki itu menjadikan dia sebagai alasan padahal sejak awal pagi lagi Rizal sudah keluar dari rumah. Baru tengah hari tadi lelaki itu pulang semula di Teratak Senja ini.
Beg itu diletakkan di atas sofa. Kasihan pula dia melihat wajah sedih Amini. Dia tahu yang dia sudah berjanji untuk membawa Amini bermain badminton sejak semalam lagi tapi dia tidak boleh mengajak Amini dalam keadaan Amini yang seperti ini. “Hmm…” perlahan-lahan Rizal mengambil tempat di sebelah Amini. “I nak pergi main badminton.”
Amini menjeling. “Pergilah, siapa kisah.” Amini marah tiba-tiba. Dadanya berombak tanpa dia sedari. Semakin kuat jari-jemarinya memegang pada hujung bajunya. Telinganya terdengar suara gelak perlahan. Cepat sahaja dia memanggung kepalanya. Rizal mengangkat tangan, keningnya dijungkitkan sementara jemarinya kanannya menggaru keningnya.
“Ami, Ami…” masih lagi menahan gelaknya. “Jom.” Tangannya diletakkan di atas paha Amini.
“Pergi mana?”
“Ikut I lah, nak pergi mana lagi?”
Amini mengetap bawah bibirnya. Kalau ikut pun bukannya dapat apa-apa. “Malaslah.” Rizal mengeluh. Putus asa barangkali. Amini menyimpulkan senyumannya di dalam hati. Apa salahnya dia menolak ajakan itu.
“Sure?”
“Good luck Rizal!” majalah yang ada di sisinya cepat sahaja di ambil, diselak satu-persatu helaian itu, dalam hati dia berharap agar lelaki itu akan meninggalkan dia secepat yang mungkin.
Rizal tidak berkata apa-apa lagi. Sempat lagi Amini mengerling di sebalik majalah itu. Rizal mengambil semula begnya dan keluar dari ruang tamu. Dia dengar bunyi enjin kereta dihidupkan, menderum kereta itu keluar dari perkarangan rumah.
Aku buat Rizal marahkah?

            “ADOI!!!”
            Bulu tangkis itu betul-betul mengenai kepalanya. Tepat menuju ke dahinya. Dia tidak sempat mengelak. Cepat-cepat dia menggosok dahinya yang sakit itu. Merah. “Hantar bola baik-baiklah sikit,” marah Rizal pada Johan.
            Johan sudah membuat mukanya. “Kau tu yang tak dapat ambil. Mata pergi mana? Selalu tak macam ni pun?” Rizal sudah mula melangkah keluar dari gelanggang, dia mengangkat tangannya dan meminta rakannya yang lain menggantikannya. Begitu juga Johan, gelanggang yang tadinya menjadi medan mereka berdua kini sudah diambil alih oleh rakan mereka yang lain.
            Rizal mencapai tuala yang dia letak di atas begnya sebentar tadi, peluh yang merintik di dahi disapu sampai kering. Botol air mineral di capai dan dipulas. Perlahan-lahan air yang ada di dalam botol itu diteguk.
            “Kau ni apa hal?”
            “Tak ada apa-apa,” jawab Rizal selamba. Johan memberikan muka tidak percayanya. Rizal bukan orang yang boleh dipercaya sangat. Lelaki yang jenis perahsia itu diminta untuk menceritakan hal peribadinya? Minta ampun.
            “Kau gaduh dengan Amini lagikah?” duga Johan. Dia lihat pergerakan Rizal. Dia nampak bagaimana sahabatnya itu melarikan matanya dengan memandang ke arah lain. Sah! Ini semua ada kaitannya dengan Amini.
            “Kau tau tak yang dia ada cuba sembunyikan sesuatu dari aku? Aku tak tahu benda apa tapi apa yang aku tahu, dia memang ada sesuatu yang dia tak nak aku tahu.” Terjungkit kening Johan. Biar betul Rizal ni? Tiba-tiba sahaja air muka itu berubah. Tertekan benar agaknya kehidupan Rizal sekarang ini.
            “Bukan kau tak nak ambil kisah pasal bini kau tu ke?” duga Johan, sengaja menduga hati itu.
            “Siapa kata aku tak ambil kisah pasal bini aku pula?” berkerut dahi itu, menangkal semua ketidakbenaran kata-kata yang diungkapkan oleh Johan. Dia tidak perdulikan Amini? Siapa kata? Kalau dia tidak kisah, manakan dia sanggup bersengkang mata menjaga Amini di hospital sewaktu Amini terlantar di katil hospital itu.    
            “Begini sajalah Riz, apa kata kau come clean dengan bini kau. Perempuan ni kadang-kadang tak faham apa yang kita nak.” Satu tepukan singgah di bahu Rizal. “Dah, jangan fikir banyak-banyak lagi. Sekarang ni, kita main dulu. Malam nanti, kau cuba come clean dengan Amini.”
            Rizal tidak merasakan dirinya berada bersama dengan rakan-rakannya sewaktu bermain badminton, sebelum dia berumah tangga, dia sentiasa hidup bahagia dengan kehidupan bujangnya tapi sekarang… ke mana sahaja dia pergi pasti dia akan teringatkan Amini. Tidak kiralah ke ceruk mana sekalipun dia berada, pasti dia akan teringatkan Amini.
            “Kau sure tak nak join kitaorang?” tanya Fauzi kepada Rizal. Rizal menolak dengan menggelengkan kepalanya sambal memberikan senyuman kepada rakannya itu.
            “No, its okay. Aku tak boleh lama, bini aku sakit.”
            Fauzi menganggukkan kepalanya tanda faham. Mereka semua tahu apa yang terjadi pada isteri sahabat mereka, itupun Rizal sendiri yang beritahu sewaktu lelaki itu mula-mula tiba. Awal-awal lagi, Rizal ada memberitahu mereka yang dia akan mengajak isterinya bermain bersama dengan mereka. Dan, bila Rizal datang seorang diri tadi tanpa isterinya, mereka difahamkan dengan keadaan isteri Rizal sekarang ini. “Kirim salam aku kat bini kau, lain masa nanti boleh duel dengan korang berdua.”
            “Insya Allah, tak apalah aku balik dulu.” Rizal bersalaman terlebih dahulu dengan rakan-rakannya sebelum dia berjalan menuju ke tempat keretanya diletakkan. Dia meletakkan begnya di bahagian belakang terlebih dahulu sebelum masuk ke ruang memandu. Senyuman mula terukir di bibirnya, di dalam otak, dia merancang bagaimana dia harus berbicara dengan Amini sebaik sahaja dia sampai di rumah nanti. Berbicara? Rizal tergelak sendiri. Tidak sedar yang dia sedang menggunakan bahasa yang digunapakai oleh Amini.         

            “ESOK, kita balik kondo. I drive you pergi sekolah pagi besok. I akan ambil dan hantar you sampai kaki you tu elok.” Noktah. Rizal tidak memandang langsung padanya sewaktu, lelaki itu melilitkan tuala di pinggangnya dan berjalan masuk ke bilik air tanpa menoleh padanya walau sedikit pun.
            Nah! Sekarang Rizal memainkan karekter yang berbeza pula. Amini tidak banyak soal. Dia mengambil tempatnya di atas tilam. Tubuhnya berbaring sementara matanya memandang tepat pada siling putih itu. Masa yang dia ada sangat singkat. Terlalu singkat, mampukah dia menyelesaikan segala-galanya? Dia bukanlah orang hebat seperti Nancy Drew atau Sherlock Holmes yang mampu menyelesaikan sesuatu masalah itu dengan menggunakan idea yang kreatif. Dia sedar kemampuan yang ada pada dirinya sendiri. Dia hanya mampu mengundurkan diri dan biarkan semua kembali seperti asal.
            Selimut yang ada di hujung kaki, ditarik, sehingga menutup tubuhnya. Bila dia dengar bunyi pintu bilik mandi dibuka, cepat-cepat dia menutup matanya dan mengiring ke kirinya, menghadap pada dinding. Dia dapat menghidu haruman sabun yang segar itu. Telinganya dapat mendengar dengan jelas bila lelaki itu mengenakan seluar dan datang menghampiri katil itu. Bahagian kanan katil tenggelam bila beban tubuh itu jatuh di atas tilam.
            “I tak suka bila you dekat dengan lelaki lain.”
            Mata Amini terbuka.
            “I tak bermaksud nak cakap yang bukan-bukan tapi I marah. I marah sebab you keluar dengan lelaki lain. Masuk butik dan pilih baju untuk lelaki itu, membeli-belah bersama-sama dengan lelaki lain.”
            Semakin luas pula mata itu terbuka. Jadi, Rizal mengekori mereka. Dia tak suka aku dengan orang lain tapi dia…
            Rizal mengangkat tangannya dan meletakkan lengan kanannya itu di atas dahinya. Dia juga memandang siling seperti mana Amini memandang siling yang sama sebentar tadi. “Kalau you tak nak anak dari benih I, ini tak bermakna you boleh berfoya-foya dengan lelaki lain.”
            Amini mengetap bibirnya. ‘Lelaki itu abang angkat saya Rizal!’ teriak Amini di dalam hatinya.
            “Are you done talking? Saya mengantuk dan perlukan tidur yang berkualiti. I need my beauty sleep.” Pertanyaan itu membuatkan Rizal memalingkan kepalanya pada Amini.
            “Me too.” Dia melayangkan tangannya merentasi pinggang Amini, menarik tubuh itu supaya dekat padanya.            
            “Hand off. No cuddle.” Tangan itu dilarikan dari pinggangnya. Amini menjarakkan tubuhnya dari Rizal.
            “Do I care?” dia melayangkan sekali lagi lengannya di tempat yang sama. Dia menarik lagi tubuh itu, kali ini dia meletakkan dagunya di atas bahu Amini. Erat dipeluk tubuh itu.
            “Rizal!”
            “Shhh… tidur, you tahu you tak boleh tidur tanpa I.”
            Hah? Amini diam. Tidak lagi meronta melepaskan dirinya. Tidak boleh tidur tanpa dia? Perasan!

Wednesday, 16 July 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 47

“MAAF encik, sekarang bukan masa untuk melawat.”
“Saya suaminya,” beritahu Rizal. Jururawat itu terdiam, dia memandang lelaki itu atas bawah. Sudah bersuami rupa-rupanya perempuan yang ada di dalam bilik nombor 5 itu, suaminya boleh tahan. Segak dan bergaya, pasti dari kalangan orang-orang kaya.
            “Encik boleh masuk ke bilik nombor 5.”
            “Thanks,” kaki Rizal terus melangkah meninggalkan kaunter pertanyaan itu. Matanya melilau-lilau mencari bilik nombor 5. Langkahnya terhenti di hadapan pintu itu. Menggeletar tangannya memegang tombol pintu itu. Berharap agar keadaan Amini tidak seperti yang dia bayangkan. Dia tidak mahu dia dipersalahkan oleh ibunya dan keluarga Amini.
            Dipersalahkan? Rizal diam. Kalau sahaja dia tidak membenarkan Amini keluar dari rumah itu sudah tentu perkara-perkara seperti ini tidak akan terjadi. Seribu penyesalan mulai mencengkam dirinya. Dia tidak dapat memaafkan dirinya sekiranya keadaan Amini parah. Dia tidak mahu dipersalahkan.
            Dipersalahkan…
            Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Dia memandang keadaan sekeliling ruang legar yang menjadi tempat dia berdiri sekarang ini. Matanya memerhatikan jururawat-jururawat yang sedang menjalankan tugas mereka, berdiri di sisi doktor dan berbicara mengenai sesuatu yang dia sendiri tidak tahu butirnya. Dia tidak punya masa untuk memasang telinga. Dalam hati, dia masih tertanya, adakah dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan Amini semula selepas dia melepaskan kata-kata yang menghina peribadi Amini siang tadi. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kesalnya dia melafazkan kata-kata itu. Dia tidak dapat mengawal emosinya saat itu. Dia kecewa dengan Amini. Amini telah memecahkan kepercayaan yang dia berikan kepada Amini walau dalam jangka masa yang singkat sahaja. Benar. Dia tidak tahu kisah hidup Amini sebelum ini, dan apa yang dilihat melalui matanya adalah kisah Amini yang lepas. Siapa yang tak marah bila nampak perempuan yang bergelar isteri berjalan dengan lelaki lain? Cuba katakan kepadanya…
            “Mimi tak apa-apa umi.” Rizal terdengar suara Amini sedang bercakap dengan seseorang. Dia memerhati Amini dari cermin kecil di pintu. Alamak! Itu keluarga angkat Amini. Rizal terus beranjak ke belakang dan menjauhkan dirinya dari pintu itu, tapi dia masih boleh mendengar setiap butir bicara dari dalam bilik itu.
            “Macam ni tak apa-apa?” Giliran Hashim itu lagi berbicara.
            “Takut umi, umi tak mahu pisang berbuah dua kali. Umi tak nak kehilangan Mimi selepas anak umi.”
            “Mimi minta maaf ya umi sebab buat umi dan abah khuatir.”
            “Tak sayang,” Mastura itu terus memeluk tubuh Amini.
            “Abah dan umi balik dulu. Mimi berehat cukup-cukup.” Pasangan itu bersalaman dengan Amini. Rizal cepat-cepat melarikan dirinya buat seketika. Seolah-olah sedang melawat pesakit yang ada di bilik sebelah.
            “Rasa macam nak bawa Mimi tinggal dengan kita pula bang, Mas takut tengok keadaan Mimi tu.” Wanita itu berkata kepada suaminya sebaik saja melangkah keluar dari bilik Amini.
            “Biarkan dia dulu, nanti kalau keadaan tak terkawal kita bawa dia tinggal bersama dengan kita. Macam mana dengan ibu bapa Mimi? Mereka tahu tak?”
            “Mimi tak nak dia orang tahu.” Mastura diam sebentar. “Ada suami tapi macam tak ada suami. Adakah patut budak Rizal tu biarkan Mimi seorang diri dalam hospital ni. Kalau Mas jumpa siaplah budak tu!” geram Mastura, sejak tadi dia tidak melihat batang hidung suami Amini.
            “Mas... kan Mimi dah kata tadi, Rizal pergi beli minuman di luar sebentar. Kamu ni, fikir yang baik-baiklah, jangan terus buat spekulasi yang tak benar.” Hashim menasihati isterinya. Isterinya itu tidak pernah bersangka baik terhadap suami Amini yang bernama Rizal itu. “Tak apalah. Kita sahaja yang pantau kesihatan Mimi buat masa sekarang ini.”
            “Yelah...”
            Rizal memastikan pasangan itu betul-betul telah meninggalkan wad ini barulah dia mendekati pintu bilik Amini semula sejak tadi dia menelan air liur bila dia terdengar namanya disebut-sebut oleh pasangan iu. Boleh tahan garang juga ibu angkat Amini itu, kena dengan gaya bini-bini Datuk, garang bagai nak rak. Nafas lega dilepaskan. Perlahan-lahan pintu itu ditolak. Sekujur tubuh terbaring atas katil. Rizal mendekati Amini. Amini sudah tertidur. Penat agaknya. Kakinya yang tidak berselimut itu menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Amini. Matanya beralih kepada wajah Amini. Mata itu bengkak! Amini menangis?? Tapi sebab apa? Dia meletakkan tangannya di atas kepala Amini sebelum mengucup dahi itu. Amini memberi alasan akan ketidakhadirannya kepada ibu bapa angkatnya, dia sepatutnya berterima kasih kepada Amini atas alasan itu.
            Pipi Amini dipegang. Kenapa buat aku risau macam ini Ami? Mujurlah Johan menghubunginya kalau tidak, masakan dia tahu dimana keberadaan Amini sekarang ini. Biar beribu kali dia menghubungi Amini, Amini tidak akan menjawab panggilannya.
Rizal membetulkan selimut yang menutup tubuh Amini sebelum dia meninggalkan Amini di bilik itu. Dia keluar dan menuju ke kaunter itu sekali lagi, kali ini jururawat yang lain pula yang bertugas.
            “Berapa yang saya perlu bayar?” tanya Rizal.
            “Nama pesakit?”
            “Amini binti Aminuddin.”
            Jururawat itu menekan-nekan kekunci komputer. Mencari-cari nama yang disebutkan oleh Rizal sebentar tadi.
            “Hmm, sudah dibayar encik.”
            Terjungkit kening Rizal. Sudah bayar? Belum sempat dia bertanya siapa orang yang membayar kos perubatan itu. Dia disapa. “Riz!” bahu Rizal dipegang dari belakang. Dia menoleh.
            “Tak apa, terima kasih.” Hanya itu sahaja yang Rizal sempat katakan pada jururawat yang bertugas di kaunter itu.
            “Johan...”
            “Macam mana dengan Amini?”
            “She’s fine I guess.”
            “You guess?? Come!”
            Satu pandangan menghantar dua susuk itu pergi. Kakinya masih lagi berdiri di hadapan bilik Amini. Dia tidak salah dengar, matanya juga tidak salah melihat. Lelaki itu datang mengucup dahi Amini dan juga mengaku sebagai suami Amini. Dia melepaskan keluhan berat. Tersenyum dia tiba-tiba, patutlah dia seperti pernah berjumpa dengan Amini sebelum ini. Lelaki itulah yang datang memujuk Amini yang sedang melayan rajuknya di tepi kolam renang dahulu. Lelaki itu jugalah yang memberikan jelingan tajam kepadanya yang seolah-olah memberi amaran supaya dia menjauhkan diri daripada Amini.
            Bodohnya!! Kenapalah dia seringkali terlepas berkenalan dengan perempuan yang dirasakan begitu menarik perhatiannya?
            “Kenapa doktor?” jururawat yang melintasinya menegur. Dzulkifli mendongak, lantas menggelengkan kepalanya.

            “KAU buat apa kat sini?” tanya Amini. Matanya terpandang lelaki itu sebaik sahaja membuka matanya. Bukan main lagi lelaki itu merenungnya. Lelaki itu siap membelai-belai rambutnya lagi. Amini membuang rasa pelik yang wujud dalam hatinya jauh-jauh.
            Rizal berdiri, mendekati Amini yang baru bangun dari tidur itu. “Kita balik, doktor tu bagi tau you dah boleh keluar hari ni.” Dia ingin memegang tangan Amini tapi pantas Amini melarikan tangannya.
            “Saya tak nak! Kan kita dah sama-sama setuju yang kita tak akan masuk campur hal peribadi. Ini hal peribadi saya. Kau tak ada hak nak masuk campur. Aku ada kereta. Tahulah  aku pulang sendiri. Kau tak payah sibukkan diri kau untuk aku!” marah Amini tanpa menyedari dia mula berbicara dalam bahasa kasar. Selama ini dia tidak pernah membahasakan dirinya sebagai ‘aku’. Mendatar sahaja suaranya. Dia cuba menahan amarahnya.
            Rizal mendekati Amini. Wajah amarah itu ditenung lama-lama. “You ni memang keras kepalakan...” dia menonjol kepala Amini menggunakan jari telunjuknya. Amini menolak tangan itu dari terus menonjol-nonjol kepalanya. Rimas!
            “Kalau saya keras kepala, apa kaitannya dengan kau? Kepala saya yang keras bukannya kau!”  bidas Amini lagi. “Tak ingatkah saya ini perempuan jalang?” tekan Amini lagi, dia mengingatkan lelaki itu. “Kau panggil aku perempuan materialistik. Selepas itu, kau tampar aku. Dan kini, kau panggil aku jalang. Kalau kau benci sangat kat aku, kenapa datang sini? Aku tak perlukan pertolongan kau Rizal, setiap pertolongan yang kau berikan itu kau sertakan dengan cacian.” Amini mengetap bibirnya. Dia menarik sendunya. “Hina sangatkah perempuan miskin macam aku? Hina sangatkah keluarga aku sehingga dibenci oleh saudara sendiri? Hina sangatkah?”
            Rizal terdiam. Saudara? Apa yang Amini melalut ini? Adakah Amini turut mempunyai masalah lain?
“Pergi Rizal. Saya tak nak tengok muka kau lagi. Perempuan hina ini tidak pernah sesuai bersama-sama dengan orang kaya macam kamu semua.” Benci sungguh dia melihat rupa lelaki itu muncul di pagi hari. Kalau bukan sebab sakit hati pada lelaki itu dia tidak akan keluar dari rumah. Dan kakinya tidak akan separah ini. Selimut itu digenggam erat. Amini menundukkan kepalanya dan diselindungi juraian rambut yang menutup mukanya. Titik demi titik, air mata itu mengalir, jatuh membasahkan tangannya.
Rizal dan keluarga itu seangkatan! Dia tidak boleh bersama-sama dengan angkatan itu. Sungguh dia benci pada angkatan-angkatan itu.
Rizal mengangkat tangannya dan diletakkan di atas kedua-dua belah bahu Amini. Tangan kanannya dilepaskan dari bahu itu. Rambut yang menutup wajah itu ditolak ke belakang. Dia mengangkat dagu Amini, muka itu dihalakan kepadanya, berharap anak mata itu turut memandang ke arahnya, hampa bila Amini melarikan anak matanya ke arah lain. Kali ini kedua-dua belah tangannya menyeka air mata yang mengalir turun itu. “I tak akan tinggalkan you Amini. You isteri I. I tak akan tinggalkan isteri I.” Amini masih lagi tidak memberikan sebarang respon. “You nak jalan sendiri atau you nak I dukung you masuk kereta?” Rizal memberikan Amini pilihan.
            Semakin meluat pula Amini. Dia melarikan tangan lelaki itu daripada terus-terusan memegang pipinya. Lelaki itu masih tak reti bahasa. “Berapa kali nak saya cakap? Saya ada kereta, saya boleh balik sendiri. Understood?” Amini membesarkan matanya.
            Rizal menepuk dahinya. “Lupa pula, I dah minta Johan hantar kereta you di rumah semalam. Jadi, you tak ada pilihan so you nak I dukung you ke?”
            “Teksi banyak. Saya boleh naik teksi!” Amini turun dari katil. Terhenjut-henjut dia berjalan menuju ke bilik mandi. Dia mengeluarkan pakaian yang dibeli oleh Khalil malam tadi. Dia tersenyum sendiri. Sepasang baju sukan wanita. Warna merah jambu! Khalil memang sengaja mengenakannya. Mereka sendiri tahu yang dia tidak suka warna merah jambu. Tag harga masih bergantung di baju itu. Hampir terbeliak biji mata Amini sepasang baju ini berharga RM199. Biar betul. Dia menyelongkar lagi. Ada sepasang baju dan seluar dalam. Kedua-duanya free size.  Mahalnya... 
            Rizal hanya memerhati. Berkerut dahinya. Siapa agaknya yang membelikan pakaian ini kepada Amini? Mungkin orang yang membayar kos perubatan. Orang yang sama agaknya.
            Ada ketukan di pintu. Seorang jururawat masuk ke dalam. “Cik, ada barang kiriman untuk cik...” jururawat itu menyerahkan beg kertas kepada Amini lagi.
            Amini memeriksa. Dia tersenyum. Macamlah hospital ini tidak menyediakan tuala mandi. “Terima kasih.”
            “Teman lelaki yang beri?” soal Rizal sambil mengecilkan matanya. Amini menjeling.
            “Mind your own business please.”

            RIZAL memapah Amini. Berkali-kali Amini menolak tubuh itu agar menjauh darinya. Rizal seolah-olah tidak memperdulikan. Lelaki itu tetap buat muka selambanya.
            “Kenapa dengan kau ni Rizal. Jangan mengada-ngada boleh tak? Saya rimas tahu tak!” marah Amini. Rizal tetap tersenyum.
            “Ya Allah! Ami!” Mahani berlari mendapatkan Amini.  Patutlah berpura-pura baik, gumam Amini seorang diri. Rizal memang seorang pelakon yang baik. Tapi, Rizal memang ambil berat akan dirinya pun, cuma, entahlah… adakalanya dia merasakan Rizal ambil berat dan ada kalanya tidak.
            “Tak adalah ma, sakit sikit saja.”
            “Ami kata Ami ada di rumah kawan,” duga Mahani.
            “Ha’ah, Ami ada di rumah kawan tapi kawan Ami paksa Ami pergi hospital. Semalaman jugalah Ami tinggal di hospital.” Tipu. Rizal tersenyum.
            Tak ada beza rupanya Amini dengan aku. Pandai menipu.
            “Mari duduk,”  Mahani turut memapah anak menantunya. Dia memanggil pembantu rumahnya agar menyediakan air minum untuk Amini. Dia tersenyum melihat pakaian yang dikenakan oleh Amini. Memang orang sukan betul. Sehinggakan baju yang dikenakan pun baju sukan.
            “Kenapa Riz tak bagi tau mama Ami masuk hospital?” Mahani mencubit lengan anaknya. Marah.
            “Abang tak mahu kejutkan mamalah tu, lagipun bukan serius sangat pun...” Amini menjawab bagi pihak Rizal.
            Abang? Ternaik kening lelaki itu. Memang patut pun Amini menggelarnya abang, bukankah dia tua tujuh tahun dari Amini. Mahani tersenyum. Mungkin ini salah-satu jalan yang baik untuk merapatkan hubungan suami isteri ini. Tengok sahaja gelaran yang digunakan oleh Amini untuk memanggil Rizal.