Monday, 6 January 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 41

JARI-JEMARI itu menyentuh rambut yang halus itu lagi. Baru dia sedar betapa besarnya daya tarikan fizikal Amini. Kasihan bila melihat Amini meronta-ronta meminta dirinya dilepaskan semalam. Tidak ada niat pun, tapi dia hanya geram. Geram apabila Amini mengambil ringan akan kata-katanya semalam. Dia tidak suka bila paha putih itu ditatap orang lain. Sakit hati bila dia terkenang pada lelaki yang pura-pura melintasi Amini semalam dan cuba menggeselkan badannya pada Amini. Kalau diikutkan hati, sudah dihempuk kepala itu. “Ami, bangun.” Diusap-usapnya pipi Amini lagi sehingga Amini terjaga dari tidurnya. “Jom solat, dah masuk subuh ni.” Tanpa dipinta, Rizal menarik lengan Amini. Bila Amini masih menutup matanya dan ingin merebahkan kepalanya di atas bantal lagi. “I tahu you dah bersih. No more excuse.”
            Amini mengetap bibirnya. Mahu tidak mahu, dia turun juga. Tahu lelaki itu sedang mentertawakannya. Dia tidak berniat langsung mahu meninggalkan solat tapi dia hanya mengantuk. Apa salahnya dia tidur dua minit. Dua minit itu pun sudah cukup bermakna kepadanya. Amini terkedu tiba-tiba, sedar perbuatannya yang melewat-lewatkan solat itu.
            “Astaghfirullahalazim,” ucapnya perlahan sambil meletakkan tangannya di atas dada. Mengapa dia boleh fikir benda-benda seperti itu? Perlahan-lahan dia turun dari katil dan terus berlalu ke bilik mandi.
            Kepala paip diputar. Air yang sejuk itu diambil dan membasahkan setiap anggotanya. Selepas itu, dia mengeluarkan telekung yang dia letak di dalam kabinet. Dua sejadah dia bentang. Kepalanya digaru perlahan-lahan.
Di mana pula arah kiblat?
            “Kiblat di mana?” tanya Amini sebaik sahaja Rizal melangkah keluar dari bilik mandi. Rizal membetulkan arah sejadah itu dan mengambil kain pelekatnya pula. Amini memerhatikan Rizal bila lelaki itu membetulkan arah sejadah. Tiada senyuman yang terukir dibibir lelaki itu. Adakah Rizal masih marah padanya?
            Eh, tunggu. Bukankah dia yang sepatutnya marah pada Rizal? Rizal  sudah memperlakukan dia seperti…
            Amini terus memejamkan matanya. Dia tidak mahu ingat kembali peristiwa semalam.

            I hantar you hari ini.” Rizal berkata sebaik sahaja Amini selesai menyimpan sejadah dan telekung itu di tempat asalnya semula. Berkerut dahi Amini.
            “Saya nak pergi sendiri.” Masih tetap dengan pendiriannya.
            I ada, I boleh hantar you.”
            “Saya ada kereta Rizal.” Amini mengambil getah rambut dan mengikat rambutnya. Dia menukar pakaian tidurnya itu dengan sehelai baju t dan menyarungkan kain batik. Biar pun semua yang ada di rumah ini hanya Mahani dan pembantu rumah mereka, dia masih rasa kurang selesa bila berpakaian seperti itu. Pakaian itu hanya sesuai untuk kegunaan di bilik tidur sahaja dan bila dia berada di rumah sewanya ataupun di rumah Rizal.
            “Supaya senang nak jumpa dengan teman-teman lelaki you?” sindir Rizal lagi. Amini diam. Dia menjeling pada Rizal. Rizal tidak habis-habis dengan teman lelaki, hanya itu sahaja perkataan yang meniti di bibir itu. Benci dengan perangai lelaki itu yang suka menuduhnya benda yang bukan-bukan. Apa jenis kesalahan yang dia pernah lakukan semasa muda-muda remajanya sehinggakan dia dilayan seperti ini? Kesalahan? Erk? Letak gula getah di atas rambut kawan itu satu kesalahan bukan? Amini masih ingat bagaimana dia dan rakannya berkomplot mengenakan rakan mereka itu. Bila dia sudah meletakkan gula getah di atas rambut mangsa mereka, rakannya datang dan menekan gula getah itu sehingga getah itu melekat pada rambut itu. Rasa bersalah yang tidak pernah dilupakan. Penyesalan mulai timbul bila guru yang mengajar terpaksa memotong bahagian rambut yang melekat itu.
            Tapi, cerita ini tidak ada kena-mengena dengan Rizal. Amini memejamkan matanya dan menggelengkan kepalanya perlahan. Dia cuba menarik semula dirinya yang perlahan-lahan hanyut ke dasar memori lamanya. Dia mengangkat kepalanya, membalas tembakan mata yang tajam itu. Rizal tidak akan pernah mengalah. Rizal bukanlah jenis orang yang seperti itu.
            Keluhan dilepaskan perlahan. “Saya tak ada teman lelaki Rizal. Saya hanya ada suami.” Amini mengatakan dengan jelas. Dia berharap Rizal mengerti dan memahami maksud itu dengan betul. “Sudahlah, saya nak sediakan sarapan pagi.”
Buang masa bergaduh di pagi-pagi buta.
            Rizal berlari dan memegang lengan Amini, menghalang Amini daripada keluar dari bilik. “Mbakkan ada. Kenapa nak susah-susahkan diri pula?” bila dia menarik lengan itu menuju ke katil semula, Amini menarik, cuba untuk melepaskan dirinya.     
            “Ini adalah kali pertama saya bermalam di sini, sekurang-kurangnya saya kena sediakan sarapan pagi untuk mama.”
            Rizal mengangguk-anggukkan kepalanya. “Hmmm, kalau macam tu… you boleh pergi tapi kiss I dulu.”
            Bulat biji mata Amini. Tidak percaya lelaki itu akan meminta dia melakukan benda-benda bodoh seperti itu. “Huh! Jangan nak mengada-ngadalah Rizal.” Tidak selesa bila lelaki itu bertingkah seperti itu. Hangat sahaja dia rasakan mukanya. Jantungnya pula mulalah memainkan rentak rhapsodi seperti Rhapsody in Blue.
            Belum sempat Amini melepaskan tangannya. Pipinya sudah disentuh oleh bibir itu. Terpempan dia seketika. Satu kucupan singgah di bibirnya. Kali ini tidak lama. Sebentar sahaja tetapi cukup membuatkan lututnya lemah sekali lagi.
            “Okey, you may go now. Masak sedap-sedap okey, I nak nasi lemak.” Bersiul-siul kecil lelaki itu berjalan menuju ke katil dan merebahkan tubuhnya di atas tilam yang empuk itu, meninggalkan Amini yang masih tercegat di situ. Amini ternampak bantal kusyen yang ada di sofa. Dia ambil dan dibalingkan ke arah Rizal. Kena tepat ke mukanya. Tergelak Amini.
            “Padan muka!”
            Puas hati aku!
           
            “NGANTUKNYA!” terkejut Amini bila pinggangnya tiba-tiba sahaja dipeluk dari belakang. Dahi itu dirasakan disandarkan pada bahunya. Lemasnya! Bentak Amini di dalam hati. Bukankah lelaki itu tadi sudah tidur semula.
            “Pergilah tidur, buat apa turun?” sindir Amini pula. Dia membiarkan sahaja tubuhnya dipeluk dari belakang. Lama-lama nanti bosanlah Rizal itu.
            Rizal menyimpulkan senyumnya diam-diam. Dia cuba untuk melepaskan Amini dari pandangan matanya tetapi bayangan itu sentiasa menghantuinya di mana-mana sahaja. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh bertahan dengan gangguan itu sedangkan Amini tidak jauh daripadanya. Amini masih berada di bawah bumbung yang sama. Bila dia ingin merebahkan semula tubuhnya di atas tilam. Dia teringat-ingat Amini yang berada di bawah, menyiapkan hidangan untuk sarapan pagi. Senyuman semakin melebar. Siapa yang mahu melepaskan keenakan masakan Amini.
            Gila!
            Dia tersentap. Senyumannya mati tiba-tiba. Mata yang berkhayal tadi kini terkebil-kebil memandang siling yang putih.
            Dan, dia kini berada bersama dengan Amini. Tangannya memeluk pinggang itu dengan bahagia. Bahagia. Perasaan yang muncul tiba-tiba.
“Ami, you dah kejutkan I dari tidur. Mentang-mentang I bawa you pergi padang rubgi semalam, you dah buat hantaran macam rugby player.” Kali ini Rizal meletakkan dagunya di bahu Amini pula. Hidungnya tidak jauh daripada kulit yang lembut itu. Mata dipejam bila dia terhidu minyak wangi yang digosok pada kulit itu sebelum Amini merebahkan tubuh di atas tilam semalam.
Okey… kau kena berhentikan semua ini Rizal. Dia menasihatkan dirinya sendiri.
Dia melihat Amini mencampurkan santan di dalam beras yang sudah dibasuh. “I hantar you hari ini okey,” sekali lagi lelaki itu menawarkan dirinya. Kali ini dia menggunakan pendekatan secara lembut pula. Amini tidak menjawab. “Diam tanda setuju. Okey, I pilih pakaian untuk you hari ini.” Satu kucupan singgah di kepala Amini. Rizal terus berlalu. Sempat lagi Amini menilik ekspresi muka lelaki itu. Ada senyuman di situ. Rizal semakin mengawalnya sehingga lelaki itu memilih pakaian untuknya pula.
Dan, dia tidak terkata apa-apa.

            “AMI nak pergi mana?” tanya Mahani apabila pagi-pagi lagi Amini sudah bersiap berbaju kurung. Amini melangkah masuk ke dapur. Dia duduk di bangku berhadapan dengan Mahani. Sarapan pagi yang dia sediakan sebaik sahaja bangun solat subuh menjadi santapannya. Air kopi dituang ke dalam cawan, diteguk perlahan.
            “Ami ada kelas pagi ni ma,” jawab Amini sambil menyapu kaya di atas rotinya. Roti itu dimasukkan ke dalam mulutnya, dikunyah perlahan.
            “Kelas? Ami buat tuisyen dengan budak-budak ke?” 
            “Tak adalah, Ami sambung buat Master. Sementara  masih ada peluang untuk belajar...” dia berdiri tatkala ternampak Rizal turun dan menghampiri ruangan makan itu.
“Ohh begitu, yalah. Belajarlah selagi mampu. Lagipun, Amikan guru. Guru kena belajar lebih biar ilmu yang diberikan kepada murid-murid sentiasa mencukupi,” mata Mahani meliar mencari kelibat anaknya. Bibirnya merekah bila dia nampak Rizal sudah turun.
Bila sahaja Rizal melabuhkan punggungnya di atas bangku, Amini terus sahaja menghidangkan minuman yang baru dibancuhnya itu.
            Rizal menghulurkan beg duit Amini. “You left this.”
            “Oh ya ka? Thanks.” Amini memasukkan beg duit itu ke dalam beg tangannya. Dia memberikan pinggan kosong kepada Rizal, membiarkan lelaki itu ambil seberapa banyak kuantiti nasi lemak yang dia mahukan.
            “No fruits?” soal Rizal pada Amini. Selalunya Amini akan menyediakan sarapan pagi berserta dengan buah-buahan.
            Amini menepuk dahinya. “Lupa, sekejap.” Bila Amini hendak berdiri. Lengannya ditarik. Amini kembali duduk di atas kerusi itu. Pinggan kosong itu yang kini berisi dengan nasi lemak itu diletakkan di hadapannya.
            It’s okay, makan ni.”
            “Saya ada kelas pagi, tak nak mengantuk.” Amini menolak pinggan itu pada Rizal semula. Mahani memerhatikan sahaja perlakuan Rizal dan Amini. Pandangannya beralih pula pada wajah Amini. Matanya tertancap pada tanda merah di leher Amini. Bibirnya tersenyum.
            “Cantik pula baju kamu hari ini,” puji Mahani bila dia melihat Amini mengenakan sehelai baju kurung yang berwarna coklat keperang-perangan itu. Warna itu membuatkan Amini menonjol.
            “Yakah ma?” Amini sudah mengerling pada Rizal. Lelaki itu sudah tersenyum sumbing. Banggalah itu. Mengada! Mahu sahaja dia mencuit pinggang itu tapi takut tersembur makanan yang ada di dalam mulut lelaki itu pula.
            “Mama ada banyak lagi baju kurung nanti mama beri pada Ami.”
            “Hah! Ngamlah tu, sekurang-kurangnya ada juga baju yang boleh cover badan tu.” Tidak bertapis sindiran Rizal. Merah padam muka Amini ketika itu.
            Berkerut dahi Mahani. “Riz cakap apa ni?” dia mengalihkan matanya pada Amini. Sudah berubah air muka Amini. Apa kaitan baju kurung dengan Amini pula.
            “Tak ada, saja je,” alih Rizal pula.
            “Hish, kamu ni.” Dia memerhatikan pakaian yang dikenakan Rizal. “Kamu nak pergi mana siap-siap ni?” setahunya hari ini hari ahad. Tidak mungkinlah Rizal bekerja pula. Rizal menolak pinggannya yang kosong itu ke tepi. Licin.
            “Nak hantar Ami pergi kuliah.”
            Semakin berkerut dahi Mahani. “Ami ada keretakan,” ujarnya. Lagipun kereta Amini itu sudah hampir lima hari berparkir di garaj itu. Pekerjanya yang mengambil kereta itu.
            “Betul tu ma, Ami boleh drive sendiri.” Amini cuba menggunakan Mahani sebagai alat untuk melepaskan diri daripada Rizal.
            No. Dah siapkan, jom jalan.” Rizal terus sahaja berdiri. Dia tidak menoleh ke belakang lagi. Dia menghidupkan enjin keretanya.
            “Kenapa dengan Rizal tu Ami? Kamu bergaduh lagikah?” tanya Mahani. Dia tidak pernah nampak Rizal bertingkah seperti itu. Lagaknya seperti anak kecil yang mahukan kemahuannya dituruti.
            Amini menjungkitkan bahunya. “Ami pun tak tahu juga. Rizal selalu macam tu, susah Ami nak agak mood dia.” Beg besarnya yang mengandung buku itu diangkat. Rizal sudah membunyikan hon. Tidak sabar langsung. Lelaki ini perlu menjalani latihan memancing lagi. Biar rasa sabar itu bertambah dan bercambah.
            Terkedu Mahani. “Apa dia?” dia tidak salah dengarkah? Belum sempat lagi dia mendapat jawapan daripada Amini, anak menantunya itu sudah keluar dari rumah.
            “Ami pergi dulu.”

Wednesday, 30 October 2013

Novel : Cinta Antara Kita Bab 40

“ABANG!” satu cubitan kecil singgah di lengannya. Johan terkejut. Dia menoleh ke arah isterinya. Balqis membesarkan matanya. “Terkenang pada perempuan lain ke?” soalnya dalam nada sinis. Tertawa Johan.
            “Tak adalah, pelik tengok Rizal dengan Amini.”
            “Kenapa? Kolot sangatkah bini Rizal tu?” tanya Balqis lagi, dia teringat akan dakwaan yang diberikan untuk menggambarkan isterinya suatu ketika dahulu.
            Johan mengetap bibirnya. “Kolot? Abang tak nampak Amini jenis perempuan kolot. Rizal tu saja yang cakap yang bukan-bukan...”
            “Habis tu,” sampuk Balqis tidak sabar.
            Johan menarik straw dan memasukkan ke dalam mulutnya, disedut perlahan minuman yang masih bersisa di dalam gelas itu. “Amini memang tak hebat bergaya seperti Nelly tapi dia ada gaya dia tersendiri, susah abang nak terangkan. Abang rasa, Rizal dah jatuh hati pada Amini tu tapi dia saja yang tak sedar. Biasalah kalau orang ego tegar ni payah nak sedar benda-benda halus macam ni.” Balqis menganggukkan kepalanya, menanti ayat seterusnya dari mulut suaminya. “Rizal sangat ambil berat pada Amini, dia jaga pemakaian Amini. Dia tak bagi Amini terus mengenakan seluar pendek masa kat padang tadi, dia siap arahkan bini dia cover lagi. Lepas tu, dia tak bagi Amini minum minuman berkafein takut gastrik Amini datang lagi...”
            Balqis mengerutkan dahinya. Biar betul. Dia juga mengenali Rizal.
            “Sejak dua menjak ni Rizal jadi orang yang banyak bercakap. Abang tak pernah lihat Rizal seperti itu.”
            “Hah? Sejak bila pula Rizal yang kita kenal jadi orang yang banyak bercakap?”
            Johan senyum. “Sejak Amini muncul…” fikiran Johan menerawang terimbas kembali peristiwa sebentar tadi di Starbucks.

            RIZAL mengajak untuk membasahkan tekak di Cafe Starbucks di 1 Borneo, sebaik sahaja sampai di kaunter Amini mengeluarkan kad starbucknya namun belum sempat Amini memberikan kad itu kepada pekerja di kaunter Rizal terlebih dahulu memberikan kad kreditnya.
            “Bagi saya Caramel Macchiato, ventti satu...” 
            “Wait!” Rizal mengangkat tangannya kepada pekerja itu sebelum mengambil pesanan Amini. Johan yang ada di belakang turut kehairanan. Pelik. “You tak boleh ambil caffeine,” usul Rizal pada Amini.
            Hah? But, why?”
            I tak larat nak jaga you kalau you sakit...”
            “Tapi...”
            Rizal membesarkan matanya sekali gus membuatkan Amini sukar untuk membantah kata-katanya lagi. “Bagi Chocolate Cream Chip, Coffee Americano dua...”
            Amini menjuihkan bibirnya, selama ini dia menjaga dirinya sendiri. Dia tidak pernah menyusahkan sesiapa kalau dirinya sakit. Lelaki ini sahaja yang tergedik-gedik menjaga kesihatannya. Kenapa harus Chocolate Cream Chips yang manis itu? masih ada minuman yang lain, dan kenapa tidak Green Tea Latte? Urgh, Rizal! Suka hati buat keputusan untuk aku.
            “Amini, you ambil degree you dekat mana dahulu?” tanya Johan sebaik saja mereka mengambil tempat di sebuah meja berdekatan dengan dinding cermin. Amini mengangkat kepalanya.
            “IPDA,” jawab Amini ringkas.
            Terjungkit kening Johan. “IPDA, laahh... dulu I pernah stay dekat Bukit Indah.”
            “Yakah?”
            “Tau cakap utara lagi dak?”
            “Bolehlah sikit.”
            Rizal hanya diam, memerhati Amini dan Johan berbual. Patutlah Amini dengan mudah ke Langkawi rupa-rupanya dia menuntut di negeri itu.
            Depa ada bagi tau dak kenapa orang Putih tak berani nak mai Kedah?” tanya Johan dalam pelat utaranya sambil menahan tawanya. Dia memandang Amini dan Rizal bersilih-ganti. “Kau tau ke Riz?” tanya Johan kepada Rizal pula.
            “Tanya aku pula,” alih Rizal.
            “Sebab kalau kat Melaka ada lima beradik Hang saja, tapi kalau kat Kedah banyak Hang. Kalau Melaka ada Hang Jebat, Tuah, tapi kalau kat Kedah ada Hang nak pi mana, Hang makan dak lagi, Hang pakai baju apa, Hang tau dak, Hang tunggu sat lagi aku sampai...” jawab Amini. Mengekek Johan ketawa, sungguh senang berbual dengan Amini. Rizal yang tadi tidak memahami butir bicara kini sudah pandai tersenyum.
            “Betul tu!”
            Pandangan Rizal tertancap pada  minuman Amini yang masih belum berkurang. “Kenapa tak minum?” tanya Rizal pada Amini. Amini mengambil minuman itu, dimain-mainkan straw minuman. Dia menyedut sedikit minuman itu. “Tak sedap?” duga Rizal lagi apabila nampak Amini hanya minum sekadar untuk mengambil hatinya sahaja.
            “Nak rasa?” soal Amini. Dia memberikan minumannya pada Rizal. Lelaki itu menyedut, tidak sampai sesuku dia sudah menolak tepi minuman Amini. Berkerut mukanya.
            “Manisnya...”
            “Sebab tu saya suka minum Coffee.”
            “Ambil I punya dulu. You nak minta lain?” Rizal bertanya kepada Amini. Kasihan pula dia melihat Amini yang sesekali menyisip minuman manis itu. Baru Rizal berkira-kira hendak berdiri, Amini terus menahan.
            It’s okay, boleh minum juga...” Rizal ditatap sekilas, Amini cepat mengambil tuala kecil yang ada di dalam begnya. Dia memegang bahu Rizal dan menahan darah yang mengalir dari hidung lelaki itu. “Bleeding lagi,” beritahu Amini. Lelaki itu sendiri tidak perasan darah mengalir keluar dari hidungnya.
            “Rasanya tisu lembut cedera teruk kot,” ujar Johan. Amini menekan dan melepaskan hidung itu selang beberapa minit. Johan yang tadi pergi kini kembali bersama dengan segelas ais.
            Thanks,” ucap Amini pada Johan. Dia mengambil ais dan membalut dengan tuala kecil itu, dituam perlahan-lahan pada hidung Rizal. “Harap-harap boleh berhentikan pendarahan.”

            “WOW!!” Balqis tiba-tiba menepuk tangannya. Terkejut Johan, orang-orang yang ada di kiri, kanan mereka turut memandang mereka. “Romantiknya...” usul Balqis.
            Johan tersenyum, memang romantik.
            “Jadi mereka berkongsi minumanlah?”
            Johan menggelengkan kepalanya, ternganga Balqis. “Kenapa pula?” dia pula yang kecewa.
            “Amini macam tak mahu sebab Rizal dari awal tak suruh Amini ambil caffeine. Amini nampak macam orang yang dengar cakap, mungkin sebab Rizal suami dia kot tapi yang peliknya mereka saling ambil-berat di antara satu sama lain. Hurmm, entahlah, abang pun tak tahu. Complicated sangat,” akhirnya Johan bingung sendiri. Dia sendiri tidak dapat memberikan definisi kisah cinta di antara Amini dan Rizal.
           
RIZAL memandang Amini sementara menekan-nekan kekunci komputernya. Dia menyelang-selikan memandang monitor itu dengan memandang Amini yang sedang melakar sesuatu di atas buku lakarannya.
Bila mata mereka berlaga, Rizal terus sahaja mengalihkan pandangannya. “Macam mana dengan hidung? Sakit lagi tak?” tanya Amini pada Rizal.
I dah okey. You nak pergi kuliah besok?”
            Buku lakaran diletak di tepi. Dia berjalan menuju ke kabinet baju. Amini memanggungkan kepalanya. “Ya.”
            You nak I hantar?”
            “Tak apa, saya ada kereta. Saya boleh pergi sendiri.”
            “Ami, I tak nak you pakai baju seksi macam tadi bila keluar.”
            Tersentak Amini. Cepat dia memandang pada wajah lelaki itu. Sejak bila pula Rizal peduli akan pakaian yang dia pakai? Haih? Pelik bin ajaib. “Siapa kata saya nak pakai baju  seksi-seksi pergi kuliah, agak-agaklah…” alih Amini pula. “Are you jealous?” tambah Amini, sengaja menyimbah gasoline pada api yang sedang marak itu. Dia tahu marah tapi dia sangat yakin yang Rizal tidak akan pernah cemburu, tahu siapa yang bertakhta di dalam hati lelaki itu.
            “Excuse me?” kening itu terjungkit. Dia memandang pada muka yang seolah-olah mengejeknya itu. “Kenapa I mesti cemburu pula?” soal Rizal lagi. Bila dia lihat Amini sudah membesarkan matanya, dia membersihkan kerongkongnya. Cuba mengelak daripada bertembung dengan mata itu. “Bukan ke kuliah saja, bila-bila masa. I tak nak lelaki-lelaki tu tengok you macam nak telan. Dan, ini tak ada kena-mengena dengan cemburu. You got it?
            You got to be kidding me! Amini tergelak. Buat-buat. “Saya tak pernah layan orang-orang itu Rizal. Kau yang salah anggap pada saya.”
            “But,”
            “Sudahlah, saya nak mandi.”
           
            DERINGAN telefon bimbit membuatkan Amini tergesa-gesa bersiap mengenakan pakaiannya. Dia keluar dengan pantas. Panggilan itu cepat sahaja di sambut.
            Hi baby!” sapa Amini sambil tertawa. Rizal yang sedang menyiapkan kerjanya di penjuru tertoleh ke belakang.  Baby? Bisik hatinya.
            Sorrylah sayang, I tak sengaja so nak sekarang ke?” tanya Amini dalam nada suaranya yang manja. “I think I can meet you up right now. Same place. Huh! Really? Jadi, nak jumpa dekat mana ni? Alamak! Hummm, okeylah.” Amini tergelak manja lagi. Dia mencapai beg bimbit yang diletakkan di tepi dinding. Tangannya sibuk mencari-cari dokumen di dalam beg bimbitnya. Setelah jumpa dokumen yang diingini dia terus menyelak lembaran kertas itu.  
            Tertoleh-toleh Rizal. Siapa pemanggil itu? Kekasih Amini? Ada kekasih rupanya perempuan itu. Senyuman sinis terukir di bibirnya.
            Okay, see you gotta go.” Amini terus mematikan panggilan. Dia mengeluarkan pakaiannya dari almari. Seluar pendek dan sehelai baju tanpa lengan yang mempunyai labuci yang banyak. Dalam keadaan yang tergesa-gesa dia menukar pakaiannya.
            Rizal hanya memerhatikan. Ke mana pula tu? Bisik hatinya.
            Kau mahu melihat isteri kau buat maksiat?
            Tak mungkinlah, bisik hatinya lagi.
            Amini keluar dengan berpakaian lengkap. Terjegil biji mata Rizal melihat Amini berpakaian sedemikian.
            “Err Rizal, saya perlukan pertolongan daripada kau?”
            “Apa dia?” mahu tidak mahu sahaja lelaki itu menjawab, berpura-pura bersikap dingin sedangkan di dalam benaknya terpancar beribu imaginasi mengenai Amini dan kekasihnya itu tapi ego Rizal menghalang. Bagaimana kalau Amini bertemu dengan rakan-rakannya yang kaki mabuk lagi?
            “Boleh tak temankan saya keluar sebentar?” pinta Amini. Takut-takut dia bertanya kepada lelaki itu.
            Hah! Ingatkan tak mahu bagi tau.
You nak keluar pergi mana ni?”
            “Hari ini saja, please...” Amini merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya. Dia memejamkan matanya tetapi pada masa yang sama dia membuka sedikit. Berharap agar lelaki itu akan menerima.
            “Tukar pakaian tu,” arah Rizal.
            No time. Tempat tu ada dress code.”
            “Dress code? Are you talking about going to club Ami?” terjegil mata Rizal. Tidak percaya bila Amini membawa dia ke tempat seperti itu. “No. Kita tak akan pergi unless you change your clothes.
            “Rizal, please…” lengan itu dipegang. Mata itu cuba untuk meraih simpati. “Please, kali ini sahaja.”
            KERETA BMW kesayangan itu dihentikan di tempat parkir kereta. Malam di Bandar raya Kota Kinabalu masih belum berakhir. Kelab-kelab malam masih beroperasi. Menghiburkan hati-hati yang kesunyian tidak kira tua atau muda tanpa memikirkan dosa yang bakal ditanggung.
            Amini melepaskan keluhan berat. Dia takut sebenarnya menjejakkan kaki di kawasan ini. Sungguh! Dia takut bertemu dengan orang-orang yang mabuk. Mungkin juga perogol! Samseng! Gangster! Kehadiran Rizal sedikit membantu. Sekurang-kurangnya tubuh Rizal yang sedikit sasa itu akan membuatkan orang-orang tertentu tidak berani menghampiri. Kenapalah Baby memilih tempat seperti ini untuk bertemu? Ahh! Bukan salah Baby sepenuhnya, dia yang sendiri rela untuk bertemu Baby di tempat ini.
            “Blue Bar?” tanya Rizal pada Amini. Amini menganggukkan kepalanya. Wajah risau tampak jelas di mukanya. “Nak jumpa siapa sebenarnya?” tambah Rizal lagi.
            “Kawan saya, nak serah dokumen ni.” Amini menunjukkan dokumen yang ada di dalam sampul surat. Rizal sendiri tidak tahu dokumen apa yang dimaksudkan oleh Amini. “Boleh kita gerak sekarang?”
            Rizal menganggukkan kepalanya. Amini terus keluar dari kereta. Dia mempercepatkan langkahnya. Jalan beriringan dengan lelaki itu. Sesekali dia memegang lengan lelaki itu bila lelaki itu berjalan jauh darinya. Dia tidak mahu ditinggalkan di belakang. Bagaimana kalau dia ditarik lalu diculik? Ohh tidak! Minta simpang.
            Lelaki itu menghentikan langkahnya lalu memaling ke belakang. Amini tidak sempat mematikan langkahnya, terlanggar dia tubuh Rizal. “Kalau takut, kenapa datang ke tempat macam ni?”
            Amini mengangkat kepalanya, dia mengetap bibirnya. Dokumen yang dipegangnya itu dipeluk rapat ke dadanya. “Takut apa pula, tak adalah...” jawab Amini berpura-pura berani.
            Rizal tersenyum sinis. Dia memegang pergelangan tangan Amini, “Jom!”

            “MIMI!!”
            Amini mencari-cari orang yang melaung namanya sebentar tadi, suara yang melawan lagu yang dipasang kuat. Hurmm, ada live band. Bisik hati Amini. Langkahnya terhenti. Dia menarik tangan Rizal yang sejak tadi memegang lengannya, meminta lelaki itu turut berhenti. Amini mengangkat tangannya, dia melepaskan tangan Rizal yang memegang tangannya.  Senyumannya melebar. Dia berjalan mendapatkan sahabatnya yang mengenakan baju super seksi itu. Mana-mana lelaki pasti akan terbeliak biji matanya. Ditambah lagi dengan susuk tubuh yang mantap itu...
            “Beraninya datang sini! I ingat you tak berani,” wanita yang berpakaian seksi itu memeluk tubuh Amini. Amini tersenyum membalas pelukan temannya.
            “Saya ada bodyguard. Meet my husband, Rizal. Rizal, ini Baby...” Amini pura-pura berbangga dengan kehadiran Rizal. Kononnya...
            Baby mengalihkan pandangannya pada suami Amini. Lelaki bukan menarik perhatiannya. Dia lebih suka bersama dengan kaum sejenis. “Hello there Mr.Perfecto!” Baby hanya melambai. Dia sedikit pun tidak menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan lelaki itu. Lelaki seperti itu bukanlah cita rasanya.
            Perempuan rupanya! Ingatkan lelaki. Rizal tersenyum bodoh, telahannya salah lagi. Dia tidak banyak bercakap, dia hanya melihat Amini menyerahkan sampul surat itu kepada Baby. Apa agaknya kandungan sampul itu? Kenapa tidak tunggu sampai esok?
            I’m counting on you Beb,” ujar Amini.
            “Jangan risau, I akan cuba. Come have a drink. I belanja. Chivas or JD or Label 5? Cocktail maybe, sex on the beach?
            Terkejut Rizal. Amini minum? Dia memerhatikan gerak-geri Amini. Amini mengangkat kedua-dua belah tangannya. “Sa kua! Ni fengle ma? You gila ke apa?” marah Amini. Baby ketawa sakan. Lucu.
            “Wah beb! Still can speak in Chinese. Sorrylah darling, I’m kidding.” Tawa Baby masih bersisa. Lucu dia melihat air muka suami Amini yang berubah. “Air muka hubby you memang tak boleh blah. Sorry, I saja je. Amini ni budak baik tau! Dia tak layan benda-benda macam ni. I saja yang dia layan...” Baby menjungkitkan keningnya pada Amini. Rizal memaksa dirinya senyum. Amini tidak tahu yang dia juga sering mengunjungi tempat-tempat seperti ini dahulu tetapi sejak kebelakangan ini dia sudah jarang masuk. Mungkin kerana kerjanya yang berlambak. Nelly juga salah-seorang daripadanya. Kelab malam mana yang dia tidak pernah jilat tapak kasutnya? Air whiskey apa yang tidak pernah masuk ke dalam perutnya? Tapi, Amini tidak perlu tahu...
            Amini menggelengkan kepalanya. “Kalau mencarut tahulah, Baby kan sifu mencarut.”
            “Yalah, yalah, kalau buruk semuanya datang dari I lah. Tapi tak apa, buruk buruk pun kawan you juga kan... are you sure tak nak minum apa-apa? Ni yao xian cheng zhi hai shi ke le?” Baby bertanya kepada Amini sekiranya dia mahukan jus oren ataupun coke.
            Amini mengerling pada Rizal yang dari tadi sibuk memandang ke kiri dan ke kanan. Kekok agaknya. “Tak apalah, next time, kami balik dulu. Enjoy your drinks...” dia berjabat tangan dan memeluk Baby.
            “Xi wang neng zai jian mian.” Bisik Baby di telinga Amini, berharap dia akan berjumpa dengan Amini lagi nanti.
            Senyuman terukir di bibir Amini. “Xi wang ru ci, zai hui.” Matanya dikenyitkan dahulu sebelum membawa Rizal melangkah keluar daripada tempat yang hinggar itu, mujur sajalah tempat ini masih belum dibanjiri dengan manusia. Masih ada ruang privasi untuk mereka berbicara dengan aman. Dan Rizal, hurmm… seronok nampak perempuan-perempuan yang berpakaian seksi itu?

            “TERIMA kasih kerana sudi temankan saya tadi. I owe you,” kata Amini pada Rizal sebelum melelapkan matanya. Dia mengiring ke kiri. Membelakangkan Rizal yang tidur di sebelah kanan. Di matanya dia terbayang-bayang akan peristiwa yang pernah dia lalui sebelum ini. Dia sudah insaf!
            “Kenapa tak terima saja pelawaan kawan you tadi?” tanya Rizal. Dia pasti Amini masih belum tidur.
            “Apa dia?”
            “Pura-pura tak tahu, macamlah I tak tahu you pernah pergi kelab dan minum benda tu.” Sinis lelaki itu berkata. Amini terkedu. Dia duduk. Memejamkan matanya serapat-rapat. Lelaki itu! Rizal!
            “Kau tak kenal siapa saya Rizal!” keras suara itu berkata. Rizal turut bangun dari pembaringannya. Dia duduk. Bertentang mata dengan Amini. Matanya dibesarkan.
            I kenal you! Perempuan yang ingin membeli produk kembalikan virginity. Berapa banyak lelaki yang pernah tidur dengan you sebenarnya?” Rizal meletakkan tangannya di pipi Amini. Jantung Amini bagaikan berhenti berdegup. Pantas tangannya di angkat. Melekat terus di pipi Rizal. Setitis air mata jatuh ke pipinya. Lama-kelamaan semakin banyak pula yang mengalir.
            Rizal ketawa sementara tangannya mengusap-usap pipi yang ditampar oleh Amini, rasa pedas itu masih bersisa. “Kenapa? Betulkan...” dia memandang Amini yang kini duduk tegak di hadapannya. Amini tidak berkata apa-apa melainkan menitiskan air mata di hadapannya. “You tak nak I sentuh you tempoh hari sebab you tak nak rahsia yang you simpan selama ini bocor macam itu saja bukan?”
            “Kau tak berhak hukum saya tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Kau tak tahu apa-apa pasal saya di masa yang lepas. Kau tak berhak Rizal, kau tak berhak!” Amini menarik sendunya. Kenapa dia harus diseksa seperti ini?
            What can I say! Bukti apa yang you nak beri pada I?  Tubuh you yang dah tak suci tu?” Rizal mendekati Amini. Tangannya memegang pipi Amini. Amini memalingkan mukanya jijik dia melihat muka itu.
            “Jangan nak jual mahal dengan aku! Bukankah selama ini kau dah tidur dengan lelaki lain.” Rizal menarik tubuh Amini rapat ke dadanya yang bidang itu, direbahkan tubuh itu semula di atas tilam. Amini menolak namun semakin kuat tubuhnya ditekan. Semakin kencang jantungnya berdegup. “Syhh, jangan bising sangat nanti satu rumah dengar,” bisik Rizal di telinga Amini. Amini mengetap bibirnya. Dia takut! Amini meronta-ronta minta dilepaskan. Dia tidak pernah didakap oleh mana-mana lelaki dalam seumur hidupnya melainkan Rizal. Tidak pernah sama-sekali tapi Rizal buat dia seperti pelacur apabila tangan lelaki itu menjalar di seluruh tubuhnya. Tiada kemesraan seperti malam itu. Yang ada hanyalah nafsu binatang!
            “Rizal please jangan buat saya macam ni,” rayu Amini apabila lelaki itu mula mengucup bibir dan lehernya bagaikan dirasuk. Tangan itu semakin meliar sehingga mendedahkan bahagian-bahagian tubuhnya yang selama ini dia sembunyikan. Tali gaun itu sudah dibuka, bahagian atas gaun itu sudah melurut ke bawah pinggangnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia takut Rizal akan meragut segala-galanya dengan paksaan.
            “Kau sepatutnya layan aku malam ni sebab kau tu bini aku!” mata Rizal yang tajam memerangkap sepasang mata yang ketakutan itu. “Lagi-lagi bila kau tayang tubuh kau dengan lelaki lain. Kenapa tak nak tunjukkan pada aku?”
            Kecut perut Amini. Dia mencuba lagi melepaskan diri dari Rizal. Dia takut. Rizal tidak pernah melayannya seperti ini. Rizal tidak pernah melintasi batasan yang ada di antara mereka sebelum ini. “Kita dah janji tak akan kacau hak peribadi masing-masing. Please, kau dah ada kekasih Rizal...” mencurah-curah air mata Amini. Dia tidak mahu mahkota yang dijaganya dengan baik selama ini diragut dengan cara seperti ini. Tidak! “Jangan buat saya macam ni, saya tak pernah tidur dengan lelaki, saya tak pernah ada teman lelaki pun. Jangan buat saya macam ni...” rayu Amini sekali lagi. Dia sudah tidak berupaya melawan Rizal. Tenaga lelaki itu kuat.
Rizal berhenti secara tiba-tiba. Dia meregangkan pelukan. Terkedu. Dia menatap wajah yang masih lagi menangis itu. Ketawanya pecah tiba-tiba. “I baru hint sikit you dah bagi tau rahsia you...”
            Amini tersentak. Dia tidak lagi menangis seperti tadi namun, sendunya masih ada. Air mata masih mengalir dari matanya. Rizal menundukkan kepalanya sambil tangannya memegang pipi Amini. Dia mengelap air mata Amini dan membetulkan baju Amini yang tidak terurus itu. Dia hampir menanggalkan gaun yang dikenakan oleh Amini. “I dah bagi amaran pada you supaya jangan pakai baju macam tu. You tak dengar. Mulai sekarang, I tak nak nampak baju macam tu balut tubuh you lagi. I tak suka. Tapi I suka bila you pakai macam tu depan I.” Satu kucupan singgah di dahi dan pipi Amini yang basah. Lama. “Okey honey, tidur ya.” Dia merebahkan badannya di atas tilam yang empuk. Selimut ditarik. Dia memejamkan matanya. Ada getar di jantungnya. Wangian yang terbit dari tubuh Amini mengganggunya. Setiap lekuk dan bentuk di tubuh Amini sudah menjadi tatapan matanya, nampaknya tidak ada apa-apa lagi yang cuba disembunyikan oleh Amini lagi. Dia menjeling ke arah Amini yang masih lagi seperti tadi. Dia sempat memberikan tanda pada leher Amini, tangannya juga sempat menjalar-jalar di tubuh Amini. Sekali lagi Rizal memejamkan matanya. Bentuk tubuh Amini memang membuatkan dia menelan liur apatah lagi Amini kerap mengenakan baju tidur yang menampilkan susuknya. Dapatkah dia bertahan daripada godaan biologi Amini? Dua kali. Sudah dua kali dia berbuat seperti itu kepada Amini. Mujur sahaja dia dapat menahan, kalau tidak.
            Relaks Rizal, relaks... Dia masih teringat akan jawapan yang diberikan oleh isteri Johan kepadanya sebaik saja dia mengajukan soalan mengenai produk memautkan semula selaput dara.
            “Selaput dara tidak akan terpaut dengan mudah. Bukan mudah nak pautkan semula kecuali dia buat plastik surgery tapi bahagian dalam tetap tidak seperti anak dara. Besar perbezaannya Rizal. You sendiri boleh bezakan apabila you bersama dengannya kalau produk yang dijual selalunya hanya merapatkan semula bukan bermaksud memvirginkan perempuan itu...”
            Fikirannya masih terganggu. Bagaimana kalau tekaannya betul? Dia masih teringat lagi Amini berjalan bersama dengan lelaki. Mereka nampak begitu mesra. Lelaki itu boleh merebahkan lagi kepalanya di atas bahu Amini. Membelai rambut Amini. Hatinya tidak senang apabila mengenangkan peristiwa itu.
            Cemburu? Tolong sikit!

**********
P/s : terima kasih kepada semua kerana sudi singgah lagi di blog saya ini. Hmm... mungkin tajuk novel ni saya akan tukar sebaik sahaja tamat pada bab akhir. Sebab, mungkin ada di antara semua yang keliru akan novel ini dengan novel yang ditulis oleh Sharifah Abu Salem. Memandangkan saya ni agak kuno sedikit, jadi hubungan saya dengan TV sudah lama berakhir. huhuhu~ Apapun, saya hanya nak katakan yang novel ni, cerita ini, watak dalam cerita ini, jalan cerita dalam novel ini, sama sekali tak ada kena-mengena dengan slot drama Cinta Antara Kita di TV3, novel yang sudah diterbitkan, dan lagu Cinta Antara Kita yang Baizura Kahar nyanyi tu. lol. Sayang sebenarnya nak hapuskan tajuk ni begitu saja, tajuk ni muncul dahulu sebelum draft novel ini ditulis. Tapi, sukar bila ada tajuk yang bertindan. Nanti tak pasal-pasal saya kena sue pula... So guys, I really need your help... apa agaknya jalan yang terbaik boleh saya buat? 

S.O.S