Wednesday, 16 July 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 47

“MAAF encik, sekarang bukan masa untuk melawat.”
“Saya suaminya,” beritahu Rizal. Jururawat itu terdiam, dia memandang lelaki itu atas bawah. Sudah bersuami rupa-rupanya perempuan yang ada di dalam bilik nombor 5 itu, suaminya boleh tahan. Segak dan bergaya, pasti dari kalangan orang-orang kaya.
            “Encik boleh masuk ke bilik nombor 5.”
            “Thanks,” kaki Rizal terus melangkah meninggalkan kaunter pertanyaan itu. Matanya melilau-lilau mencari bilik nombor 5. Langkahnya terhenti di hadapan pintu itu. Menggeletar tangannya memegang tombol pintu itu. Berharap agar keadaan Amini tidak seperti yang dia bayangkan. Dia tidak mahu dia dipersalahkan oleh ibunya dan keluarga Amini.
            Dipersalahkan? Rizal diam. Kalau sahaja dia tidak membenarkan Amini keluar dari rumah itu sudah tentu perkara-perkara seperti ini tidak akan terjadi. Seribu penyesalan mulai mencengkam dirinya. Dia tidak dapat memaafkan dirinya sekiranya keadaan Amini parah. Dia tidak mahu dipersalahkan.
            Dipersalahkan…
            Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Dia memandang keadaan sekeliling ruang legar yang menjadi tempat dia berdiri sekarang ini. Matanya memerhatikan jururawat-jururawat yang sedang menjalankan tugas mereka, berdiri di sisi doktor dan berbicara mengenai sesuatu yang dia sendiri tidak tahu butirnya. Dia tidak punya masa untuk memasang telinga. Dalam hati, dia masih tertanya, adakah dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan Amini semula selepas dia melepaskan kata-kata yang menghina peribadi Amini siang tadi. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kesalnya dia melafazkan kata-kata itu. Dia tidak dapat mengawal emosinya saat itu. Dia kecewa dengan Amini. Amini telah memecahkan kepercayaan yang dia berikan kepada Amini walau dalam jangka masa yang singkat sahaja. Benar. Dia tidak tahu kisah hidup Amini sebelum ini, dan apa yang dilihat melalui matanya adalah kisah Amini yang lepas. Siapa yang tak marah bila nampak perempuan yang bergelar isteri berjalan dengan lelaki lain? Cuba katakan kepadanya…
            “Mimi tak apa-apa umi.” Rizal terdengar suara Amini sedang bercakap dengan seseorang. Dia memerhati Amini dari cermin kecil di pintu. Alamak! Itu keluarga angkat Amini. Rizal terus beranjak ke belakang dan menjauhkan dirinya dari pintu itu, tapi dia masih boleh mendengar setiap butir bicara dari dalam bilik itu.
            “Macam ni tak apa-apa?” Giliran Hashim itu lagi berbicara.
            “Takut umi, umi tak mahu pisang berbuah dua kali. Umi tak nak kehilangan Mimi selepas anak umi.”
            “Mimi minta maaf ya umi sebab buat umi dan abah khuatir.”
            “Tak sayang,” Mastura itu terus memeluk tubuh Amini.
            “Abah dan umi balik dulu. Mimi berehat cukup-cukup.” Pasangan itu bersalaman dengan Amini. Rizal cepat-cepat melarikan dirinya buat seketika. Seolah-olah sedang melawat pesakit yang ada di bilik sebelah.
            “Rasa macam nak bawa Mimi tinggal dengan kita pula bang, Mas takut tengok keadaan Mimi tu.” Wanita itu berkata kepada suaminya sebaik saja melangkah keluar dari bilik Amini.
            “Biarkan dia dulu, nanti kalau keadaan tak terkawal kita bawa dia tinggal bersama dengan kita. Macam mana dengan ibu bapa Mimi? Mereka tahu tak?”
            “Mimi tak nak dia orang tahu.” Mastura diam sebentar. “Ada suami tapi macam tak ada suami. Adakah patut budak Rizal tu biarkan Mimi seorang diri dalam hospital ni. Kalau Mas jumpa siaplah budak tu!” geram Mastura, sejak tadi dia tidak melihat batang hidung suami Amini.
            “Mas... kan Mimi dah kata tadi, Rizal pergi beli minuman di luar sebentar. Kamu ni, fikir yang baik-baiklah, jangan terus buat spekulasi yang tak benar.” Hashim menasihati isterinya. Isterinya itu tidak pernah bersangka baik terhadap suami Amini yang bernama Rizal itu. “Tak apalah. Kita sahaja yang pantau kesihatan Mimi buat masa sekarang ini.”
            “Yelah...”
            Rizal memastikan pasangan itu betul-betul telah meninggalkan wad ini barulah dia mendekati pintu bilik Amini semula sejak tadi dia menelan air liur bila dia terdengar namanya disebut-sebut oleh pasangan iu. Boleh tahan garang juga ibu angkat Amini itu, kena dengan gaya bini-bini Datuk, garang bagai nak rak. Nafas lega dilepaskan. Perlahan-lahan pintu itu ditolak. Sekujur tubuh terbaring atas katil. Rizal mendekati Amini. Amini sudah tertidur. Penat agaknya. Kakinya yang tidak berselimut itu menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Amini. Matanya beralih kepada wajah Amini. Mata itu bengkak! Amini menangis?? Tapi sebab apa? Dia meletakkan tangannya di atas kepala Amini sebelum mengucup dahi itu. Amini memberi alasan akan ketidakhadirannya kepada ibu bapa angkatnya, dia sepatutnya berterima kasih kepada Amini atas alasan itu.
            Pipi Amini dipegang. Kenapa buat aku risau macam ini Ami? Mujurlah Johan menghubunginya kalau tidak, masakan dia tahu dimana keberadaan Amini sekarang ini. Biar beribu kali dia menghubungi Amini, Amini tidak akan menjawab panggilannya.
Rizal membetulkan selimut yang menutup tubuh Amini sebelum dia meninggalkan Amini di bilik itu. Dia keluar dan menuju ke kaunter itu sekali lagi, kali ini jururawat yang lain pula yang bertugas.
            “Berapa yang saya perlu bayar?” tanya Rizal.
            “Nama pesakit?”
            “Amini binti Aminuddin.”
            Jururawat itu menekan-nekan kekunci komputer. Mencari-cari nama yang disebutkan oleh Rizal sebentar tadi.
            “Hmm, sudah dibayar encik.”
            Terjungkit kening Rizal. Sudah bayar? Belum sempat dia bertanya siapa orang yang membayar kos perubatan itu. Dia disapa. “Riz!” bahu Rizal dipegang dari belakang. Dia menoleh.
            “Tak apa, terima kasih.” Hanya itu sahaja yang Rizal sempat katakan pada jururawat yang bertugas di kaunter itu.
            “Johan...”
            “Macam mana dengan Amini?”
            “She’s fine I guess.”
            “You guess?? Come!”
            Satu pandangan menghantar dua susuk itu pergi. Kakinya masih lagi berdiri di hadapan bilik Amini. Dia tidak salah dengar, matanya juga tidak salah melihat. Lelaki itu datang mengucup dahi Amini dan juga mengaku sebagai suami Amini. Dia melepaskan keluhan berat. Tersenyum dia tiba-tiba, patutlah dia seperti pernah berjumpa dengan Amini sebelum ini. Lelaki itulah yang datang memujuk Amini yang sedang melayan rajuknya di tepi kolam renang dahulu. Lelaki itu jugalah yang memberikan jelingan tajam kepadanya yang seolah-olah memberi amaran supaya dia menjauhkan diri daripada Amini.
            Bodohnya!! Kenapalah dia seringkali terlepas berkenalan dengan perempuan yang dirasakan begitu menarik perhatiannya?
            “Kenapa doktor?” jururawat yang melintasinya menegur. Dzulkifli mendongak, lantas menggelengkan kepalanya.

            “KAU buat apa kat sini?” tanya Amini. Matanya terpandang lelaki itu sebaik sahaja membuka matanya. Bukan main lagi lelaki itu merenungnya. Lelaki itu siap membelai-belai rambutnya lagi. Amini membuang rasa pelik yang wujud dalam hatinya jauh-jauh.
            Rizal berdiri, mendekati Amini yang baru bangun dari tidur itu. “Kita balik, doktor tu bagi tau you dah boleh keluar hari ni.” Dia ingin memegang tangan Amini tapi pantas Amini melarikan tangannya.
            “Saya tak nak! Kan kita dah sama-sama setuju yang kita tak akan masuk campur hal peribadi. Ini hal peribadi saya. Kau tak ada hak nak masuk campur. Aku ada kereta. Tahulah  aku pulang sendiri. Kau tak payah sibukkan diri kau untuk aku!” marah Amini tanpa menyedari dia mula berbicara dalam bahasa kasar. Selama ini dia tidak pernah membahasakan dirinya sebagai ‘aku’. Mendatar sahaja suaranya. Dia cuba menahan amarahnya.
            Rizal mendekati Amini. Wajah amarah itu ditenung lama-lama. “You ni memang keras kepalakan...” dia menonjol kepala Amini menggunakan jari telunjuknya. Amini menolak tangan itu dari terus menonjol-nonjol kepalanya. Rimas!
            “Kalau saya keras kepala, apa kaitannya dengan kau? Kepala saya yang keras bukannya kau!”  bidas Amini lagi. “Tak ingatkah saya ini perempuan jalang?” tekan Amini lagi, dia mengingatkan lelaki itu. “Kau panggil aku perempuan materialistik. Selepas itu, kau tampar aku. Dan kini, kau panggil aku jalang. Kalau kau benci sangat kat aku, kenapa datang sini? Aku tak perlukan pertolongan kau Rizal, setiap pertolongan yang kau berikan itu kau sertakan dengan cacian.” Amini mengetap bibirnya. Dia menarik sendunya. “Hina sangatkah perempuan miskin macam aku? Hina sangatkah keluarga aku sehingga dibenci oleh saudara sendiri? Hina sangatkah?”
            Rizal terdiam. Saudara? Apa yang Amini melalut ini? Adakah Amini turut mempunyai masalah lain?
“Pergi Rizal. Saya tak nak tengok muka kau lagi. Perempuan hina ini tidak pernah sesuai bersama-sama dengan orang kaya macam kamu semua.” Benci sungguh dia melihat rupa lelaki itu muncul di pagi hari. Kalau bukan sebab sakit hati pada lelaki itu dia tidak akan keluar dari rumah. Dan kakinya tidak akan separah ini. Selimut itu digenggam erat. Amini menundukkan kepalanya dan diselindungi juraian rambut yang menutup mukanya. Titik demi titik, air mata itu mengalir, jatuh membasahkan tangannya.
Rizal dan keluarga itu seangkatan! Dia tidak boleh bersama-sama dengan angkatan itu. Sungguh dia benci pada angkatan-angkatan itu.
Rizal mengangkat tangannya dan diletakkan di atas kedua-dua belah bahu Amini. Tangan kanannya dilepaskan dari bahu itu. Rambut yang menutup wajah itu ditolak ke belakang. Dia mengangkat dagu Amini, muka itu dihalakan kepadanya, berharap anak mata itu turut memandang ke arahnya, hampa bila Amini melarikan anak matanya ke arah lain. Kali ini kedua-dua belah tangannya menyeka air mata yang mengalir turun itu. “I tak akan tinggalkan you Amini. You isteri I. I tak akan tinggalkan isteri I.” Amini masih lagi tidak memberikan sebarang respon. “You nak jalan sendiri atau you nak I dukung you masuk kereta?” Rizal memberikan Amini pilihan.
            Semakin meluat pula Amini. Dia melarikan tangan lelaki itu daripada terus-terusan memegang pipinya. Lelaki itu masih tak reti bahasa. “Berapa kali nak saya cakap? Saya ada kereta, saya boleh balik sendiri. Understood?” Amini membesarkan matanya.
            Rizal menepuk dahinya. “Lupa pula, I dah minta Johan hantar kereta you di rumah semalam. Jadi, you tak ada pilihan so you nak I dukung you ke?”
            “Teksi banyak. Saya boleh naik teksi!” Amini turun dari katil. Terhenjut-henjut dia berjalan menuju ke bilik mandi. Dia mengeluarkan pakaian yang dibeli oleh Khalil malam tadi. Dia tersenyum sendiri. Sepasang baju sukan wanita. Warna merah jambu! Khalil memang sengaja mengenakannya. Mereka sendiri tahu yang dia tidak suka warna merah jambu. Tag harga masih bergantung di baju itu. Hampir terbeliak biji mata Amini sepasang baju ini berharga RM199. Biar betul. Dia menyelongkar lagi. Ada sepasang baju dan seluar dalam. Kedua-duanya free size.  Mahalnya... 
            Rizal hanya memerhati. Berkerut dahinya. Siapa agaknya yang membelikan pakaian ini kepada Amini? Mungkin orang yang membayar kos perubatan. Orang yang sama agaknya.
            Ada ketukan di pintu. Seorang jururawat masuk ke dalam. “Cik, ada barang kiriman untuk cik...” jururawat itu menyerahkan beg kertas kepada Amini lagi.
            Amini memeriksa. Dia tersenyum. Macamlah hospital ini tidak menyediakan tuala mandi. “Terima kasih.”
            “Teman lelaki yang beri?” soal Rizal sambil mengecilkan matanya. Amini menjeling.
            “Mind your own business please.”

            RIZAL memapah Amini. Berkali-kali Amini menolak tubuh itu agar menjauh darinya. Rizal seolah-olah tidak memperdulikan. Lelaki itu tetap buat muka selambanya.
            “Kenapa dengan kau ni Rizal. Jangan mengada-ngada boleh tak? Saya rimas tahu tak!” marah Amini. Rizal tetap tersenyum.
            “Ya Allah! Ami!” Mahani berlari mendapatkan Amini.  Patutlah berpura-pura baik, gumam Amini seorang diri. Rizal memang seorang pelakon yang baik. Tapi, Rizal memang ambil berat akan dirinya pun, cuma, entahlah… adakalanya dia merasakan Rizal ambil berat dan ada kalanya tidak.
            “Tak adalah ma, sakit sikit saja.”
            “Ami kata Ami ada di rumah kawan,” duga Mahani.
            “Ha’ah, Ami ada di rumah kawan tapi kawan Ami paksa Ami pergi hospital. Semalaman jugalah Ami tinggal di hospital.” Tipu. Rizal tersenyum.
            Tak ada beza rupanya Amini dengan aku. Pandai menipu.
            “Mari duduk,”  Mahani turut memapah anak menantunya. Dia memanggil pembantu rumahnya agar menyediakan air minum untuk Amini. Dia tersenyum melihat pakaian yang dikenakan oleh Amini. Memang orang sukan betul. Sehinggakan baju yang dikenakan pun baju sukan.
            “Kenapa Riz tak bagi tau mama Ami masuk hospital?” Mahani mencubit lengan anaknya. Marah.
            “Abang tak mahu kejutkan mamalah tu, lagipun bukan serius sangat pun...” Amini menjawab bagi pihak Rizal.
            Abang? Ternaik kening lelaki itu. Memang patut pun Amini menggelarnya abang, bukankah dia tua tujuh tahun dari Amini. Mahani tersenyum. Mungkin ini salah-satu jalan yang baik untuk merapatkan hubungan suami isteri ini. Tengok sahaja gelaran yang digunakan oleh Amini untuk memanggil Rizal.



Friday, 20 June 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 46

            “WAH! Tante Leh kata, Ami bukan main lagi makan di restoran mewah.”
            Terkedu Amini. “Apa tante?” wajah ibu saudaranya dipandang. “Makan di restoran mewah?” sejak bila pula dia makan dia restoran mewah? Sedangkan duit elaunnya itu pun cukup-cukup sahaja, dia tanggung semua perbelanjaannya menggunakan duit elaun. Dia membeli tiket kapal sendiri, dia menanggung sewa rumah sendiri, ada kalanya, dia juga turut membantu maknya membayar pinjaman daripada bank, itu belum termasuk bayar pinjaman PTPTNnya lagi.
            “Tante Leh kata, Ami celebrate birthday di restoran mewah mengalahkan orang kaya.”
            Amini teringat akan sambutan hari lahirnya yang diadakan secara mengejut oleh rakan-rakannya. Dia sendiri tidak tahu akan perkara itu, nama pun surprise. “Surpriselah… saya pun tak tahu yang dia orang sambut birthday saya.” Amini cuba menilik pada air muka ibu saudaranya itu. Perasaannya sudah berubah, kalau boleh dia mahu pergi daripada situ. Dia tidak pernah menyangka hal sekecil itu boleh diperbesar-besarkan sehingga disalahtafsirkan oleh individu-individu yang sangat berhati nurani.
            Amini tahan perasaannya. Dia tahan hati yang sedang menderita itu. Tante Leh. Dia sudah menganggap ibu saudaranya itu sama seperti ibu kandungnya sendiri. Dia tidak pernah memburuk-burukkan keluarga mereka kepada sesiapa. Dia tidak pernah mengambil kisah mengenai perkara-perkara buruk yang pernah dilakukan oleh anak mereka tetapi kenapa harus dia difitnah dan diburukkan seperti itu.
            Dia mengambil komputer ribanya, dia harus menunjukkan bukti sebenar. Kebetulan rakannya ada membuat video, jadi dia tunjukkan kebenaran itu kepada ibu saudaranya ini. Dia berharap agar persepsi buruk itu akan hilang.

            BILIK kecil itu menjadi penemannya yang setia, bilik kecil yang dingin itu menjadi saksi pada curahan air matanya. Kenapa harus aku? Tidak cukup lagikah penghinaan yang mereka berikan kepada keluarga aku dan kini mereka memburuk-burukkan aku lagi. Amini menarik selimut ke paras dadanya. Dia cuba sedaya-upaya untuk tidak mengenangkan perkara yang sudah berlalu tapi suara-suara itu terus sahaja bermain di dalam benaknya. Terus bermain dan berputar. Laju. Dan bila bahagian yang mengkejinya itu beralih, suara itu dimainkan perlahan-lahan pula, seolah-olah mahu Amini mengingatkan semua peristiwa buruk itu lagi.
            ‘Anne kata kau bukan main lagi celebrate birthday di restoran mewah. Kau tak ingat mak kau bersusah-payah cari duit untuk kau. Kau senang-senang sahaja berfoya-foya dengan kawan-kawan kau di sana.’
            Sekali lagi. Ayat yang sama hanya penyampai sahaja yang berbeza. Amini tidak tahu berapa ramai orang yang sudah mendengar cerita yang tidak benar itu. Mereka tidak tahu keadaan situasi yang sebenar tetapi sudah membuat ceritanya sendiri. Tidak perlu disahihkan kebenaran informasi itu. Amini sudah maklum dengan perangai saudaranya itu.
            ‘Hari itu, mak dia ada datang minta pinjam duit. Duit yang dipinjam dulu masih berbaki RM20 belum dibayar, sekarang minta pinjam lagi. Jangan harap mak bagi!’
            Ya Allah! Air mata itu turun tanpa belas kasihan. Hatinya semakin sakit. Anne… Anne itu sepupunya. Anne yang dia sudah anggap seperti kakak kandungnya. Anne yang pernah mengajar dia itu dan ini. Anne yang pernah melayan dia dengan baik. Anne yang…
            Tubuh itulah yang dia rangkul dahulu, biar apa pun kesilapan yang dia pernah lakukan kepada keluarganya namun dia masih dapat menerima dengan baik. Dia tidak menjadikan masalah yang sudah lepas menjadi penghalang kepada hubungan mereka. Biar Anne tidak pernah berbicara mesra dengannya tapi dia kasihkan Anne. Kasih seorang adik itu tidak akan pernah surut biar apapun yang berlaku. Biar badai melanda sekalipun, akar pokok tidak pernah tercabut dari bumi. Begitu teguh kasihnya, hanya mereka sahaja yang tidak pernah mengetahui.
            Kenapa mereka suka berkata yang bukan-bukan? Mereka tidak tahu cerita yang sebenar? Mereka bukan berada di dalam situasinya. Bagaimana jikalau mereka juga dituduh dan difitnah seperti itu? Sudah lama Amini mendiamkan dirinya. Dia tidak mahu berhadapan dengan insan-insan seperti ini, bukan kerana dia takut, tapi dia tidak mahu hubungan kekeluargaan itu putus begitu sahaja. Sedangkan dia sayang tante Leh, dia sayang kakak Anne. Dia sayang semua ahli dalam keluarga besarnya. Sekiranya mereka memerlukan pertolongan, dia tolong, dengan seikhlas hati, sedikit pun dia tidak mengharapkan apa-apa balasan. Walau dia sedar, dia diejek tapi dia tetap memberikan senyumannya. Senyuman itu tidak akan pernah lekang. Senyuman itu akan pernah sirna kerana senyuman itulah yang memberikan dia kekuatan yang sebenar.
            Kakinya yang berbalut itu ditatap. Belum satu masalah selesai, timbul pula masalah baharu, tetapi dia sudah dapat penyelesaian. Dia berharap agar jalan yang di ambil itu benar-benar mampu membuatkan dia terlepas daripada semua hinaan. Dia tidak tahu sampai bila semua ini akan berakhir. Tidak adakah lagi kedamaian yang ada di dalam dunia ini untuk dia dan keluarganya. Amini memejamkan matanya. Nafas ditarik dalam. Sakit. Dia ingin menangis tapi air mata itu dirasakan kering. Sangat kering. Tidak ada guna dia menangis lagi.  

             “MIMI!!” panggil Ikhwan. Dia dan Khalil masuk. Berpura-pura seperti tidak tahu apa-apa. Amini cepat-cepat mengelap air matanya. Khalil meletakkan sebuah beg kertas di atas meja.
            “I hentam beli saja. Harap-harap ngam dengan kau...” mengekeh lelaki itu ketawa. Ikhwan meletakkan bungkusan makanan di atas meja  katil Amini.
            “Nasi ayam The Chicken Rice Shop dan Caramel Macchiato dari Starbucks. Your favourite...”
            “Thanks bro...” ucap Amini. Suaranya masih serak-serak. Minuman yang dibeli oleh Ikhwan itu ditatap, Rizal tak bagi aku minum minuman berkafein. Aahhh!! Lantaklah!
            “Don’t be silly, I dah cakap yang you macam adik kandung I.”
            “Betul tu, kita orang dah anggap you macam adik kita orang sendiri. Jangan malu dengan kita oranglah Mi.” Khalil menyokong. Dia duduk di sofa yang disediakan khas untuk pengunjung. Mujurlah sahabatnya bertugas di hospital ini. Dapatlah bilik yang selesa sikit.
            “Saya tak tahu macam mana nak balas budi korang. Saya tak mampu nak bayar kos perubatan di sini,” akui Amini.
            Ikhwan tertawa. “Jangan risau,” berlatar belakangkan ayahnya, dia mampu untuk membayar kos perubatan Amini.
            “Tapi...”
            “Kali ini giliran kami bantu you next time, siapa tahu. Tuah ayam nampak di kaki Mi, tuah manusia tak siapa yang tahu lagipun you dah banyak bantu kita orang sebelum ini, remember...” Khalil berkata lagi. Bicara mereka terhenti seketika apabila doktor yang merawat Amini tadi memasuki bilik itu bersama dengan jururawat yang bertugas bersama dengannya.
            “Tak apalah Mi, kami balik dulu. Kalau ada apa-apa jangan lupa call, tak pun bagi tau Dzul...” Khalil berpesan. Dia menepuk bahu Dzul yang ada di sisinya. “Anyway Dzul, thank you very much. Tolong jaga Princess kami buat masa ni ya,” ujar Khalil.
            Dzulkifli tersenyum, dia melirikkan pandangannya pada Amini. Princess? “Jangan risaulah,” dia menyambut salam yang dihulurkan padanya. Giliran Ikhwan pula menghampirinya. Dia turut bersalaman dengan Dzulkifli.
            “If something happen, bagi tau aku. I’m really worried about her,” bisik Ikhwan pada Dzulkifli. Terangguk-angguk doktor muda itu. Hebat betul penangan pesakit yang bernama  Amini ini!
            “You mungkin akan mengalami kepayahan untuk berjalan nanti sebab tendon you membengkak nanti nurse akan berikan you ubat surut bengkak.” Dzulkifli menatap Amini buat seketika. “Any problem?” soal doktor muda itu.
            Amini mengangkat kepalanya. Dia menggeleng.
            “Are you trying to commit suicide?” soal Dzulkifli tiba-tiba.
            “I beg your pardon Mister!” terjegil keluar biji mata Amini. Berubah benar air muka yang ditunjukkan oleh Amini sekarang ini. Terkejut beruk doktor muda itu. “Saya seorang guru. Tidak mungkinlah saya akan cuba melakukan benda bodoh seperti itu.”
            Dzulkifli terdiam. Bibrinya mengukirkan senyuman. “I’m sorry, I tak bermaksud nak menuduh dan I tak tahu yang you seorang guru. I thought...”
            “Comfort woman Khalil dan Ikhwan?” pintas Amini, dia tergelak. Selimut yang menutup bahagian bawah kakinya ditarik, menutup mulutnya. Dzulkifli tercengang, sedikit-sebanyak dia membenarkan dakwaan Amini itu. “You memang selalu berfikiran sempitkah doktor? Sehingga tak boleh membezakan di antara sahabat dan comfort woman...” Amini mengambil minuman Caramel Machiato yang dibelikan oleh Ikhwan kepadanya. Dia menyedut perlahan minuman itu. Nasi ayam yang dibungkus dari Chicken Rice Shop itu turut dibuka, Dzulkifli hanya memerhati. Kagum melihat perwatakan mendadak yang ditunjukkan oleh Amini. Amini bukanlah perempuan yang sembarangan.
            Amini memalingkan kepalanya ke kanan. Doktor itu masih berdiri di sana seperti sebuah tugu negara, tidak berganjak langsung. “Want some?” bungkusan makanan itu diangkat, ditunjukkan pada doktor yang mengelamun itu.
            “Oh!” Dzulkifli tersentak. “No, thanks. Enjoy your dinner...” dia membelakangkan Amini. Stateskop yang tersangkut di lehernya dibuka. Kakinya menapak perlahan, sebelum dia melangkah keluar sempat lagi dia melihat Amini.
            Perempuan itu tidaklah secantik mana tapi comel, hatinya bersuara. 

            RIZAL  memandang siling yang putih. Ke mana agaknya Amini itu melarikan diri? Dapat pula dia menekan clutch dan brek dalam keadaan seperti itu. Dia mengubah kedudukannya. Kali ini dalam keadaan duduk pula. Pandangannya tertancap pada komputer riba yang pecah monitornya itu. Sedangkan monitor itu pecah apabila terjatuh apatah lagi kaki yang terseliuh itu. Rasa bersalah tiba-tiba datang bertubi-tubi. Dia tidak sepatutnya berkata seperti itu kepada Amini.
            Dia memang tidak senang duduk sejak tadi. Risau akan Amini, sekali lagi Amini membuatnya risau. Ya Allah! Rizal meraup mukanya menggunakan kedua-dua belah tapak tangannya.
            Telefon bimbitnya berdering. Dia yang baru berkira-kira hendak turun dari katil dan mengganti pakaiannya terus mencapai telefon bimbitnya.
            “Hello,”
            “Riz! Bini kau mana?” suara itu bertanya.
            “Tak ada. Kenapa?” Rizal pelik. Tiba-tiba sahaja Johan mencari perempuan itu tengah-tengah malam seperti ini.
            “Jadi, bini kaulah yang aku nampak di hospital sekarang ni?”
            Terlopong mulut Rizal. Amini kemalangan? Ya Allah! Rizal terus melompat turun dari katilnya. Baju yang berlipat di dalam almari terus saja disarung tubuhnya. Bukankah Amini baru sahaja menjawab panggilan telefonnya tadi? Bagaimana kalau Amini kemalangan semasa menjawab panggilan telefonnya?
            Allahuakbar!
            Melayang roh dari jasadnya sebentar.
            “I’m on my way...”