Friday, 21 March 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 44

         TIDAK lekang senyuman itu dari bibirnya. Mungkin dia boleh menulis setiap perkara yang dilaluinya pada hari ini di dalam diari kecilnya. Dia melirikkan matanya pada Rizal yang sedang memandu. Rambut itu, mata itu, hidung itu dan bibir itu menjadi tatapan Amini. Tidak menyangka yang lelaki itu nampak begitu kacak dimatanya kali ini. Dia tidak pernah sedar yang Rizal sudah cukup sempurna bagi perempuan yang tidak punya apa-apa sepertinya itu. Matanya dialihkan ke sisi, memandang ke luar, cuba mengalihkan perasaannya. Tangannya di angkat dan diletakkan pada dadanya. Jantung itu berdegup dengan kencang. Nafasnya sedikit sesak. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Apa yang aku fikirkan ini?
            Deringan telefon itu membuatkan Amini sedar dan kembali ke alam yang nyata. Sempat dia menoleh pada Rizal.
            “What?” terkejut Amini bila terdengar lelaki itu meninggikan suaranya. Apa yang sudah berlaku kali ini. “Jangan takut okey, I datang sekarang juga.” Lembut suara itu meniti dalam saluran getaran. Amini cepat-cepat melarikan matanya bila lelaki itu menoleh padanya. “Ami,” panggil Rizal.
            “Ya,” pura-pura diceriakan suara itu. Rizal sudah berhentikan keretanya di bahu jalan berdekatan dengan restoran KFC itu. Amini sudah terlihat perubahan pada mata itu. Rizal risau!
            You tunggu I di sini ya. I nak pergi jumpa kawan sebentar.” Dia mahu Amini turun dan menunggu di restoran KFC itu pula.
            “Oh, okey.” Tidak banyak bicara Amini terus menarik beg besar yang dia letakkan di tempat duduk penumpang itu. Pintu kereta dibuka.
            Sorry Ami…” hanya itu sahaja yang Rizal mampu katakan kepada Amini. Bila Amini memberikan dia senyuman manis. Rasa bersalah itu tiba-tiba pudar.
            “Tak apa Rizal.”
            “Tunggu I ya.”
            Kali ini Amini tidak menjawab. Dia hanya mengukirkan senyuman sekali lagi. Luguh dia melangkah keluar dari kereta itu. Sedih bila lelaki itu lagi mengutamakan orang lain. Dia tahu panggilan itu daripada Nelly. Rizal sendiri sudah menetapkan nada dering yang berbeza untuk membezakan panggilan orang lain dengan panggilan yang dibuat oleh Nelly. I live my life for you. Amini sedar, Nelly mempunyai kedudukan yang istimewa dalam diri Rizal.
            Bila dia tutup pintu kereta, Rizal terus sahaja menderum laju. Amini masih lagi berdiri di situ, memerhatikan kereta Rizal yang dipecut laju itu sehinggalah hilang daripada pandangan matanya.
            Ya Allah, kenapa hati aku sakit seperti ini Ya Allah?
            Ternyata Rizal lagi mementingkan perempuan lain daripada dirinya ini, isterinya sendiri. Dan dia, perempuan yang memegang gelaran sebagai seorang isteri itu dibiarkan terkontang-kanting di tepi jalan. Amini menarik nafas dalam-dalam. Dia memang tidak bermakna apa-apa di mata Rizal. Rizal hanya menganggap dia seorang perempuan yang diberikan amanah memegang jawatan sebagai isterinya sahaja.
            Kau nak apa lagi Amini? Perkahwinan kau dengan Rizal bukannya satu ikatan cinta, kasih dan sayang di antara kamu berdua. Kau hanya berkahwin dengan dia hanya kerana kau tidak mampu membayar hutang kau.
            Benar.
            Itu semua benar.
            Dia tidak layak untuk semua itu.
            Dia tidak layak bertakhta di mata lelaki itu.
            “Mimi?”
            Langkah Amini mati. Dia baru sahaja mahu berjalan masuk ke dalam restoran makanan segera itu. Senyuman mula terukir di bibirnya. “Abang Wan!”

            TANGAN Amini ditarik menuju ke Starbucks. Mahu tidak mahu, Amini terpaksa menurut. Dia tidak mahu membantah lagipun sudah lama dia tidak bertemu dengan Ikhwan. Amini mengambil tempat berdekatan dengan dinding cermin. Tempat yang strategik baginya untuk memerhatikan tingkah laku manusia yang pelbagai. Tempat ini mengingatkan dia pada Rizal, di sinilah lelaki itu membawanya dan Johan minum sebaik sahaja tamat bermain rugbi. Bangku yang diduduki oleh orang lain itu diperhatikan, cuba mengimbas kembali kenangan itu.
            “Vanilla Latte, your favourite.” Segelas minuman latte itu diletakkan di hadapan Amini. Ikhwan lebih selesa dengan hot chocolatenya. Dia bukanlah pencinta kopi yang tegar. “Kenapa sedih ni?” dia terus sahaja memegang pipi Amini.
            Bila Amini menggelengkan kepalanya, Ikhwan terus sahaja mengusap-usap rambut Amini. “Abang nak Mimi berjumpa dengan Harith, Mimi tak pernah jumpa dengan Harith lagikan…”
            “Harith?” berkerut dahi itu. Dia seperti pernah dengar nama itu disebut sebelum ini. Ikhwan sudah menganggukkan kepalanya.
            “Harith, adik abang. Abang pasti, Harith mesti suka kat Mimi. Abang nak juga nampak adik angkat abang ni jadi adik ipar abang.”
            Tersedak Amini, hampir-hampir dia tersembur minuman itu di muka Ikhwan. Ikhwan mahu menjodohkan dia dengan adiknya pula. Biar betul? Dia mengurut-urut dadanya. Bila dia mengangkat kepalanya, dia ternampak sepasang kekasih yang sudah jalan bergandingan masuk melalui pintu itu. Mesra. Ada gelak di muka lelaki itu. Sangat mesra. Bulat mata Amini bila nampak pasangan itu masuk ke dalam coffee house ini juga.
            “Kenapa pucat ni?” tanya Ikhwan tiba-tiba. Air muka itu berubah tidak sampai seminit pun. Amini berkali-kali tertoleh-toleh pada pasangan yang sedang memesan air di kaunter. Siapa pasangan itu pada Amini? “Mimi kenal orang itukah?” soal Ikhwan.
            Amini menggelengkan kepalanya. Cepat.
            “Kalau tak kenal, buat apa kisah kat orang tu.” Ikhwan menyeluk kocek seluarnya. Dia mengeluarkan sebuah kotak baldu. Kotak itu disorongkan di hadapan Amini. “Umi pesan supaya Mimi pakai rantai ni. Abang baru ingat nak bagi kat sekolah Mimi nanti. Alih-alih abang jumpa Mimi kat depan KFC tu, makan KFC pun sorang-sorang, tak ajak abang dah.” Sedih pula Ikhwan, lebih-lebih lagi bila dia sudah tarik rajuknya.
            Amini terus sahaja mengangkat kepalanya. “Alah, Mimi bukannya sengaja pun. Janganlah marah…” pujuk Amini. Dia sudah cukup masak dengan perangai Ikhwan. Kadang-kala dia yang memainkan peranan lebih seperti seorang kakak, padahal lelaki itu sendiri mengaku yang dirinya seorang abang.
            Mata Amini menyorot pada pasangan yang melintasi mereka. Lelaki itu masih tidak mengetahui kehadiran mereka di situ.
            “Mimi, dengar abang cakap tak?” duga Ikhwan. Tangan itu terus sahaja ditampar perlahan bila Amini masih belum memberikan tumpuan kepadanya. Terpinga-pinga Amini bila tangannya ditampar.  
            “Hah?”
            Ikhwan melepaskan keluhan. “Sah! Mimi mengelamun. Hensem sangatkah mamat tu sampai Mimi tengok macam itu? Tak nampak mamat tu dah ada girlfriend?” sedar yang Amini masih lagi memerhatikan pasangan yang melintasi mereka tadi. Mata itu tidak pernah lepas daripada memandang lelaki itu.
            Amini diam. “Lelaki macam tu mesti tak sesuai dengan sayakan,” ujarnya perlahan. Dia cuba menenteramkan gelojak perasaan cemburu di dalam hatinya. Rizal tidak akan pernah sesuai dengannya. Tidak kiralah orang mengatakan dia cantik seperti bidadari sekalipun, Rizal tidak akan pernah memandangnya seperti dakwaan orang-orang itu.
            “Mimi cakap apa ni? Harith jauh lebih kacak dari lelaki itu.”
            Senyuman tawar terukir lemah di bibir itu. Apa lagi yang ada padanya melainkan sekeping hati yang sudah terguris. Dia sahaja yang perasan lebih. Dia tidak sedar yang Rizal hanya simpati padanya dan menganggap dia sebagai seorang yang memerlukan duit dan bukan isterinya. Dilema yang dia baru sahaja sedar sebentar tadi.
            Malu. Amini betul-betul malu dengan dirinya sendiri. Macam mana dia boleh fikirkan yang lelaki itu mahukan dia sebagai seorang isteri melainkan orang gaji di rumah lelaki itu sendiri.
            Sesekali bibir itu mengukirkan senyumannya. Mata itu bersinar-sinar. Cahaya kebahagiaan itu jelas terpancar. Kenapa aku yang menjadi penghalang kepada cinta orang lain? Kenapa aku harus menjadi tembok di antara pasangan kekasih ini? Gelas minuman yang ada di depannya itu dipegang. Biar rasa sejuk itu menyedarkannya dari khayalan. Dia harus keluar daripada mimpinya. Rizal dan dia tidak akan pernah serasi bersama. Mungkin, dia harus melakukan sesuatu. “Mimi nak jalan-jalan sebentar, abang Wan nak join tak?” tanya Amini. Dia sudah tidak tega lagi bila melihat Rizal sudah menggenggam jari-jemari perempuan itu.
            “Hurm, that’s a good idea. Abang rasa, abang pun nak beli baju juga. At least, Mimi ada. Boleh jadi perunding imej abang kali ini.”
            Tersenyum Amini. Perunding imej? Dia sendiri juga kurang pasti mengenai perkara itu. Dia sendiri tidak tahu ciri-ciri imej lelaki idamannya. Dia hanya mahukan seorang lelaki yang berpakaian kemas dan elok di matanya. Tidak perlu berpakaian seperti artis Korea. T-shirt biasa dan seluar pendek mahu pun jeans panjang pun sudah cukup baginya. “Surekah ni? Jangan menyesal sudah…”

            “RIZ, are you okay?” Nelly mengagau-agaukan tangannya di hadapan mata Rizal. Dia turut menoleh ke belakang, mengikut ekoran mata Rizal. Sejak tadi Rizal asyik memerhatikan pada pasangan yang duduk di belakangnya. “Riz!” Nelly menguatkan suaranya.
            Tidak mungkinlah Amini! Tapi baju kurung itu memang milik Amini. “Sorry, what did you say?”
            “Ingat binikah?” ejek Nelly sambil tertawa perlahan.
            Rizal tidak menjawab. Dia yakin perempuan tadi itu Amini. Bawah bibirnya diketap. Lelaki itu, lelaki yang sama; lelaki yang mengusap-usap rambut Amini dahulu. Teman lelaki Amini! “Sorry babe, got to go. You don’t have to worry about my sis. I’ll talk to her about this. Sorry, okay.” Dia menolak bangku ke belakang. Minuman yang masih bersisa di dalam gelas itu tidak diendahkan. Telefon bimbit dan kunci kereta diambil. Belum sempat Nelly mahu membuka mulutnya, Rizal sudah berlalu.
            Satu-persatu langkah itu dibuka. Dia mencari mengikut hatinya. Langkahnya dihentikan. Dia mendongakkan kepalanya. Mata itu menangkap susuk yang sedang melintas di tingkat atas itu. Cepat-cepat Rizal menuju ke escalator.
           
            CANTIK! Tangannya tidak berhenti daripada memegang tali leher yang dipamerkan itu. Corak melintang yang diwarnai dengan warna kelabu, biru dan silver itu benar-benar membuatkan dia jatuh hati. Fikirannya terus lekat pada Rizal. Lelaki itu kerap menggunakan kemeja yang berwarna putih, sehinggakan di dalam almari, hampir kesemua kemejanya berwarna putih. Sekurang-kurangnya, dia belikan sesuatu untuk lelaki ini.
            Sejak tadi dia menemani Ikhwan keluar masuk satu-persatu butik pakaian yang ada di situ. Dia memberikan pendapatnya dan menunggu pandangan Ikhwan mengenai pilihannya. Buat masa ini, Ikhwan masih belum berjumpa kemeja yang betul-betul menarik minatnya. Dari setiap sorot mata pekerja yang bekerja di butik itu, mereka semua menganggap yang Ikhwan itu mungkin merupakan suami, tunang, juga kekasihnya. Sejak tadi, dia asyik memikirkan bagaimana rasanya jikalau dia bersama kekasihnya berjalan mencari barang yang dikehendaki. Adakah dia akan melayan kekasihnya seperti dia melayan Ikhwan sekarang ini, memberikan pendapat, membuat muka apabila baju yang dicuba itu tidak sesuai, dan mencarikan potongan lain yang sesuai dengan tubuh itu. Orang-orang yang ada di situ juga asyik memerhatikan mereka. Amini ketawa, mengejek bila kemeja yang dicuba oleh Ikhwan itu nampak tidak sesuai. Alangkah indahnya semua ini jikalau dia bersama dengan orang yang tersayang…
            “Nak beli untuk siapa?” tegur Ikhwan. Terkejut Amini, tali leher yang ada dalam pegangannya terlepas. Ikhwan berdiri betul-betul di hadapannya. Mahu tidak dia terkejut.
            “Tak adalah, saja tengok.”
            Ikhwan mengangkat dua helai kemeja, ditunjukkan pada Amini. “Which one look better on me?” susah untuk Amini menjawab tanpa lelaki itu mencuba kemeja itu terlebih dahulu.
            “Hurmm, cuba dulu. Tak dapat nak decide.”
            “Okey,” cepat sahaja kaki itu melangkah menuju ke fitting room. Amini mengambil kesempatannya untuk membeli tali leher itu. Ikhwan tidak perlu tahu mengenai Rizal. Belum sampai masanya lagi. Dia menghulurkan sekeping not seratus ringgit kepada juruwang, bila sahaja wang bakinya dikembalikan. Dia terus sahaja memasukkan kotak itu ke dalam beg tangannya yang besar itu.
            Syukur Ikhwan keluar sebaik sahaja dia memasukkan kotak itu ke dalam begnya. Ikhwan keluar dengan mengenakan kemeja berwarna ungu cair itu. Nampak sesuai berbanding dengan warna maroon itu tadi. “Yang ni nampak okey,” usul Amini memberikan pandangannya.
            “Kan,” Ikhwan juga berfikir seperti itu. “Kalau macam tu, Mimi pilihkan tie untuk kemeja ni.”
            Amini senyum. “Come.” Dia tidak memilih tali leher yang mempunyai warna sedondon dengan baju kemeja itu. Warna sedondon memang ideal, tapi dari segi artistiknya, tidak ada kontra, jadi Amini memilih tali leher yang berwarna kekelabuan yang nampak seperti warna silver itu. “Macam mana yang ini?” tanya Amini.
            “Nice!” Amini memang tidak akan pernah silap dalam memilih. Amini tahu persis kehendak dirinya. Inilah yang dia inginkan sejak dahulu lagi, seorang adik perempuan yang boleh memberikan dia pendapat itu dan ini. Memang dia punya kekasih hati, tetapi pada masa yang sama, dia juga mahukan seorang adik yang dapat menemaninya. Ikhwan memberikan barang yang dia pegang itu kepada pembantu jualan yang sejak tadi berdiri di belakang mereka, memberikan mereka bantuan apabila mereka memerlukan sesuatu. Ikhwan memerhatikan Amini yang lebih banyak termenung itu.
            “Ami,” panggil Ikhwan. “Ami okeykah ni?” tanya Ikhwan. Bila nampak Amini menganggukkan kepalanya, dia mengerutkan dahinya. Masih tidak percaya dengan jawapan yang Amini berikan kepadanya. Selepas Amini melihat pasangan kekasih yang masuk ke Starbucks itu tadi, Amini jadi tidak keruan. Siapa sebenarnya pasangan itu? Adakah Amini mengenali perempuan itu? Atau lelaki itu?
            “Jom abang hantar Ami balik…”
            Balik? “Errr…”