PROLOG
DIA
meneliti baju yang dikenakan ditubuhnya di hadapan cermin. Tidak pasti sama ada
baju itu sesuai untuk tubuhnya atau pun tidak. Dia tidaklah mempunyai tubuh yang
menarik, tiada istilah ramping yang sesuai diberikan kepadanya. Rupa yang
cantik? Huh! Jauh api dari panggang. Tinggi? 152 cm itu dikatakan tinggikah?
Gaun
labuh separas lutut itu menarik pandangannya sebaik sahaja dia memasuki kedai
pakaian itu. Pasti sesuai dikenakan sewaktu dia berjalan-jalan di pantai nanti.
Baju yang disangkut pada penyangkut baju diambil. Gaun yang dicuba itu
ditanggalkan dan diganti dengan pakaiannya yang asal.
Pembantu
kedai sudah menantinya di hadapan kaunter dengan senyuman yang melebar. Sudah
pasti komisyen akan masuk ke dalam koceknya sekali lagi.
“Is it okay miss?” soal pembantu kedai. Amini
menganggukkan kepalanya sambil mengukirkan senyuman manis.
“Okay...” jawab Amini. Dia mengeluarkan
beberapa keping wang dan diberikan kepada pembantu kedai itu. Amini mengangkat
tangannya. Jam di pergelangan tangan ditatap sejenak. Ke mana lagi dia harus
pergi untuk menghabiskan masanya yang kosong. Telinganya menangkap desiran ombak
yang memecah pantai. Bibirnya mengukirkan senyuman sekali lagi. Dia tidak
menyangka dia bakal mencari kedamaian di sini semula selepas berlibur bersama
teman-temannya dua tahun yang lalu sebelum dia kembali ke negeri asalnya.
Kakinya
melangkah di tepian gerai sambil memerhati gerai-gerai yang menjual aneka
barangan cenderahati. Beberapa orang lelaki tertoleh-toleh padanya. Amini tidak
mengambil endah sangat. Lelaki, pantang nampak perempuan jalan seorang diri. Lirikan
matanya dan lenggok tubuhnya sememangnya menarik perhatian jejaka-jejaka yang
melintasinya. Dia bukanlah seorang perempuan yang cantik, menarik apatah lagi,
jauh api dari panggang. Dia tidak merasakan dirinya seorang yang menawan setiap
hati lelaki tetapi dia bersyukur dengan keadaannya dirinya sekarang ini. Tuhan
telah memberikan tubuh dan bentuk wajah yang sempurna.
“NICE one Riz!” satu tepukan singgah di bahu lelaki itu. Senyuman
lelaki itu melebar sehingga menampakkan giginya yang tersusun. Suit menyelam yang dipakai ditanggalkan
sebaik sahaja kakinya mencecah pasir. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan,
asyik memerhatikan pelancong-pelancong asing yang hanya berbikini, berjemur di
bawah matahari petang. Pemandangan itu bukanlah satu perkara yang asing dalam
hidupnya. Dia sudah lali dengan pemandangan seperti itu.
Telinganya
menangkap satu suara gelak yang tidak berapa jauh darinya. Terkedu dia, bermain
kejar-kejaran bersama ombak? Seorang diri? Biar betul! Pelik! Dia menggelengkan
kepalanya.
“Jumpa
malam ni okey!” rakannya memperingatkan dia.
“Okey!”
Rizal mengangkat tangannya. Bila lagi dia mahu meluangkan masanya bersama
dengan rakan-rakan kalau bukan sekarang? Tapi, sebelum itu dia kena selesaikan
dahulu masalahnya sekarang ini.
Pandangannya
sekali lagi diarahkan kepada perempuan yang bermain kejar-kejaran bersama ombak.
Kali ini perempuan itu sedang berbual-bual dengan pelancong-pelancong asing di
pantai itu pula. Ada juga orang seperti itu?
KEHIDUPAN yang sempurna?
Kehidupan yang sempurna. Kehidupan yang sempurna... Dia memejamkan matanya
rapat-rapat. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Bilakah dia akan mempunyai sebuah
kehidupan yang sempurna? Yakinkah sebuah perkahwinan akan memberikan dia satu
kehidupan yang sempurna? Mimpi tidak selalunya indah... berkali-kali dia
mengingatkan dirinya. Mak dan bapa tidak pernah menggesa dia mendirikan rumah
tangga, tapi sanggupkah dia menolak hasrat orang yang banyak membantu
keluarganya?
Ombak sesekali melanggar kakinya.
Dia tidak lagi berlari-lari seperti tadi. Dia penat di kejar ombak, kali ini
dibiarkan sahaja ombak itu melanggar dan membasahi kakinya. Dia perlukan satu
jawapan pasti, dan dia perlukan satu ketenangan sebab itulah dia mengambil masa
ini untuk bercuti. Dia perlu mencari jawapan yang pasti selepas solat
isthikarah.
Ya
Allah!
Ini
adalah peluang untuknya. Rakan-rakannya dahulu pernah berkata kepadanya, dia
mungkin tidak akan berkahwin memandangkan perwatakannya yang kasar. Tidak
mungkinlah ada lelaki yang mahu mendekatinya. Peluang?
1
LANGKAH
Amini terhenti. Dia terpandang seorang gadis yang bertudung litup sambil
mendakap failnya sedang melintasi jalan raya. Gadis itu mengingatkan Amini pada
dirinya suatu ketika dahulu…
“AKU perlukan seorang muslimah.
Bukan seorang perempuan yang mendedahkan auratnya.” Bicaranya itu menyentap
sanubarinya. Langkahnya yang luguh tadi menjadi laju tiba-tiba. Dia tidak kisah
sama ada bicara itu ditujukan kepadanya ataupun tidak. Hina sangatkah perempuan
yang tidak bertudung labuh sepertinya di mata seorang lelaki? Padahal bertudung
itu bukan penentu seorang perempuan itu baik ataupun tidak.
Seburuk-buruk perempuan ialah
perempuan yang mendedahkan auratnya.
Bagaimana kalau bertudung tetapi
sebenarnya bertelanjang?
Tetapi sekurang-kurangnya mereka
menutup sebahagian daripada aurat mereka bukan? Kau bagaimana?
Amini
menarik nafasnya sedalam-dalam yang mungkin. Dia mendakap fail seerat-erat yang
mungkin. Dia mengakui bahawa dia tidaklah sealim seperti penuntut-penuntut lain
tetapi dia tidak pernah melakukan zina. Dia tidak pernah menyerahkan tubuhnya
pada mana-mana lelaki apatah lagi membenarkan lelaki menyentuh kulitnya. Pantang
baginya membiarkan kulit tubuhnya dinodai oleh tangan-tangan yang bukan muhrim
baginya.
Dia
melabuhkan punggungnya di atas bangku marmar. Fail dan beg tangannya pula
diletakkan di atas meja marmar. Pokok yang rimbun itu meredupkan suasana.
Kawasan kolej kediaman ini memang lenggang di petang hari. Kebanyakan penuntut
keluar untuk mencari isi perut untuk malam hari. Dia masih baru lagi di tempat
ini namun dia andaikan bahawa negeri Jelapang Padi ini merupakan rumahnya yang
kedua.
Buku
lakaran dikeluarkan. Tangannya ligat melukis apa saja yang terlintas dibenaknya.
Fikirannya mula melayang. Dia teringatkan kisah beberapa minggu yang sudah.
Geli hati ada, rasa malu pun ada juga. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu
mentafsirkan perasaannya yang bercampur baur itu. Cepat ingatannya kembali ke
masa tersebut.
“Adik
nak pergi mana?” tanya pengawal Kolej Kediaman kepada dirinya dan Misha. Mereka
berpandangan sesama sendiri. Mereka kurang senang apabila pengawal itu bertanya
soalan bonus kepada mereka. Apa tidaknya, setiap kali keluar pengawal akan
bertanya itu dan ini. Sudahlah kereta yang ditempah oleh mereka tadi sudah
meninggalkan mereka sekarang pak cik pengawal ini pula berleter. Dia memang
tiada mood mahu melayan leteran orang
tua ini memandangkan dia hanya menutup kepalanya menggunakan topi. Sungguh
semakin lama semakin hilang mood dia
mahu memakai tudung. Dia sudah terbiasa dengan dirinya yang sebelum ini.
“Sha,
kau call akak tu sekali lagi. Dah
lama dah kita tunggu ni…” dia membetulkan topinya sambil menghalakan
pandangannya ke arah wanita tua cina yang sedang berusaha menghidupkan enjin
motor buruknya itu. Rasa kasihan dan simpati sekali lagi bercampur baur tetapi
simpati sahaja tidak memadai. Kalau saja dia arif membaiki motor sudah lama dia
menyinsing lengan bajunya jangankan menunggang motor, bonceng motor pun dia
tidak tahu. Sesungguhnya tiada pendedahan awal mengenai motor sejak dia lahir.
Hujan pula mula merintik turun.
“Kesiannya
auntie tu Sha, kalaulah aku tau buat
motor tu hidup okey jugak, ini tak…” ujar Amini.
“Meh pi pondok pengawal. Hujan ni, kita
tunggu kat sana sampai akak tu sampai.” Misha memberikan cadangannya. Amini
mengetap bibirnya. Berat hati meninggalkan wanita tua itu kehujanan. Kalau saja
dia ada payung, akan dia berikan kepada kepada wanita itu. Misha terlebih
dahulu menarik lengannya. Tanpa berlengah lagi mereka berjalan menuju ke pondok
pengawal di sebalik tembok pemisah di antara Kolej Kediaman dengan kawasan
perumahan Bukit Indah.
“Pak
Cik, tengok auntie tu tak dapat
hidupkan enjin motor.” Amini memberitahu pengawal tua itu, berharap agar
pengawal itu akan membantu wanita cina itu. Malangnya, pengawal itu dengan muka
selambanya memandang ringan ke arah wanita cina itu.
“Sapa tu?” soalnya sambil menghalakan
pandangannya ke dada akhbar.
“Tak
tahu, saudara student tadi tu…” jawab
Amini. Pandangannya dari tidak pernah lari dari wanita tua itu. Rasa simpati
bercampur kasihan semakin bertambah-tambah.
“Biar
kat dia, dia tak masuk dalam pun…”
“Tapi,
hujan ni pak cik… kesian kat auntie
tu, pak cik pi la tengok.” Amini
tidak berputus asa memujuk orang tua itu dari membantu wanita tua itu. Dia
tidak menyangka bahawa sikap tidak suka membantu orang lain masih lagi tebal di
dalam diri sesetengah individu di sini. Tua-tua masih tidak mahu hidup dalam
permuafakatan. Jangankan peristiwa 13 Mei berulang kembali. Tapi, tidak semua
seperti itu. Sikap itu datangnya dari diri individu, jangan jadikan satu
pertelingkahan semata-mata kerana perbezaan kaum. Sungguh! Amini tidak akan
suka perkara buruk seperti itu berlaku di tanah airnya. Orang yang menjadikan
perkauman dan agama satu isu adalah orang yang rendah martabatnya! Sungguh,
sebaik-baik manusia ialah manusia yang tidak menyebabkan pertelingkahan dalam
negara. Propaganda manusia serigala ini salah-satu daripadanya. Huh! Amini mengkeji
tindakan orang-orang seperti itu.
“Pak
cik tengoklah dulu mana tau dapat
bantu…” kali ini giliran Misha yang memujuk. Amini tidak lagi menunggu jawapan
yang keluar dari mulut orang tua itu. Kakinya terus melangkah meredah gerimis
menuju ke arah wanita tua itu. Misha turut membuntut. Fikiran mereka sentiasa
sama, mereka berdua mempunyai deria rasa yang sama. Meskipun baru tiga bulan
mereka berkenalan.
“Motor
masih tak dapat hidup ke?” tanya Amini. Wanita cina itu hanya menganggukkan
kepalanya.
“Kenapa
dengan motor ni auntie?” soal Misha.
“Tak
tau la…” ringkas wanita cina itu menjawab mungkin tidak biasa beramah dengan
orang Islam. Amini mengetap bibirnya sekali lagi. Matanya tertancap pada satu
susuk tubuh tua yang berpayung mendekati mereka. Akhirnya pak cik pengawal itu
sudi juga menjenguk meskipun dengan hati yang berat. Amini mula mengukir
senyumannya. Dia dan Misha kembali ke pondok membiarkan dua orang tua itu
berbincang.
Tidak
lama kemudian, pengawal tua itu kembali ke pondok. Sebuah kereta proton saga
edisi lama berwarna merah berhenti di hadapan pondok.
“Hang nak pi mana?” tanya pak cik itu
kepada pelajar senior itu.
“Nak balik pak cik…” tanpa banyak bicara
pak cik itu masuk ke dalam kereta pelajar senior lelaki itu, berpura-pura ingin
menumpang kereta pelajar senior itu.
“Pak
cik nak tumpang pi Yawata…”
Amini
sempat lagi mencuri pandang ke arah senior itu. Senior itu tersengih-sengih. Biar
betul pak cik ni? Duga hati Amini. Dia dapat melihat pelajar senior itu sudah
meletakkan tangan kirinya di atas gear, bersedia untuk berlepas.
“Meh pak cik hantaq pi Yawata.” Pak cik pengawal itu memanggil mereka berdua. Amini dan Misha berpandangan sesama sendiri.
Pak cik itu selalu saja membuat loyar buruk. Senior itu masih lagi tersengih-sengih,
di antara mahu atau tidak.
“Hah!
Naiklah, tumpang je pun bukannya apa-apa... kalau hang nak tunggu van lambat lagi tak dan lah nak beli barang,” tegur pak cik itu.
Amini
dan Misha masih lagi dalam keadaan serba-salah padahal mereka sudah berada di
sisi kereta milik senior itu.
“Naiklah,”
pelawa senior itu. Misha sudah mengambil di tempat duduk belakang. Amini
mengetap bibirnya, kurang asam! Tersengih Misha di belakang. Padahal, Amini
turut mahu mengambil tempat duduk di belakang tapi ditegah oleh pengawal tua
itu.
“Awat nak pi belakang, duduk depanlah…” Rasa cuak tiba-tiba muncul.
Pelahan-lahan Amini membuka pintu dan melabuhkan punggungnya di atas bangku
kereta.
Kereta
mula bergerak. Mulut yang sentiasa berbicara itu tiba-tiba terkatup rapat. Jurang
itu dikekalkan namun matanya tidak lepas dari memandang kad matrik milik senior
itu. ‘Abdullah bin Abu Bakar. Hurmmmm, lahir tahun 87 ambil kursus bahasa
Arab.’
Amini
mengerutkan dahinya. Bahasa Arab? Dia mengerling lelaki itu. Muka nampak macam
cina, putih pun macam orang cina. Bukan Mualaf.
Erk!!
“Adik
nama sapa?” tanya senior itu pada
Amini.
“Amini,”
jawab Amini pelahan.
“Kat belakang tu?” dia menyoal Misha
pula.
“Misha.”
“Owhh…”
cukup setakat itu. Kereta mula membelok menuju ke Yawata. Dan akhirnya
betul-betul berhenti di depan pintu masuk ke pasaraya itu.
“Abang
berapa tambang?” tiba-tiba ayat itu terpacul keluar dari bibir Amini. Terangkat
seketika kening lelaki itu.
Terkejut
pelajar senior itu. Belum pernah ada orang yang mahu membayarnya sebelum ini.
Dia menatap sebentar wajah polos yang ada dihadapannya itu. Tidak dicalit
apa-apa, masih mentah lagi. Tunggu lima tahun lagi, akan tercalitlah warna di
wajah polos itu, bisik hatinya. “Eh, tak apa. Bukan teksi pun,” nampak lembut bicara
itu namun bermakna. Amini terpaksa membuat muka bodohnya. Sungguh! Dia mati
kutu buat sementara.
“Errr,
terima kasih ya…” akhirnya ucapan itu yang menjadi penutup pertemuan itu.
“Sama-sama…”
kereta putih itu menderum jauh meninggalkan mereka berdua. Satu tepukan singgah
dibahu Amini.
“Astaghfirullah
al azim, Ami, Ami…” Misha mengucap panjang.
“Kenapa
Sha?” tanya Amini bodoh. Dia memandang Misha terkebil-kebil.
“Terkejut
aku, kau boleh-boleh tanya berapa harga tambang. Dahlah dia tumpangkan kita…”
“Saya
konfius tau, di antara nak cakap ke
tak. Manalah tau, dia minta tambang.”
“Malunya…”
luah Misha. Muka Amini mula merona merah. Bukan Misha sahaja yang malu bahkan
dirinya lagi-lagi dia yang bertanya pada abang senior itu tadi.
“Harap-harap
dia tak cam aku kat Ipda tapi kau payah sikit sebab kau pakai tudung. Aku conform dia tak kenal sebab lepas ni aku
pakai tudung.” Amini sengaja menyedapkan hatinya. Dia mahu lupa akan peristiwa
itu buat selama-lamanya.
“AMINI?”
Amini tersentak. Seorang lelaki berdiri di hadapannya, tag nama yang tersemat
di tudungnya ditatap. Ada kerutan di dahi lelaki itu. Begitu juga dengan Amini,
habislah! Mati aku!
“Kau
kenal dengan Ami?” soal Afiq kepada Abdullah. Pelik, setahunya hanya dia sahaja
yang mengenal budak-budak junior ini.
“Bukan
hari tu tak pakai tudung ke?” soalnya bingung. Pandangan Amini dihalakan ke
arah teman senior itu. Afiq hanya tersenyum. Dia kenal dengan perangai Amini.
Amini sangat berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana perempuan lain, tanpa
tudung Amini kelihatan seperti orang berbangsa Cina. Bukan kerana kulit, tetapi
wajah itu ada iras-iras Cina. Kulit Amini tidaklah seputih mana, kalau boleh
dia katakan, kulit itu tidaklah seputih kulitnya...
“Err…”
hanya itu yang keluar dari mulutnya.
“Mimi
join volleyball tu juga ke?” tanya
Afiq.
“Ha’ah,
tapi kena ada pemilihan dulu. Tak tau sama ada saya dapat masuk ataupun tak.”
Amini sekali lagi lekapkan fail di dadanya.
“Tak
apalah, kalau tak dapat pun masih dalam team
volleyball…”
“Hurrmmm,
tu la pasal… saya pergi dulu, kena jumpa dengan Mr.Leong.” Amini cepat-cepat mencari helahnya. Dia tidak betah di
situ. Senior yang ditumpanginya dulu merenung dirinya dengan tajam.
“Thanks for the key chain…” ucap Afiq.
“No probs, see ya!” laju kakinya
melangkah namun telinganya sempat menangkap gelak mengiringi pemergiannya.
“Budak
tu muslim rupanya...” usul Abdullah sebaik sahaja Amini pergi. Afiq mengalihkan
pandangannya pada rakannya itu.
“Biasalah,”
hanya itu saja yang mampu Afiq jawab. Abdullah masih tidak percaya. Wajah itu
nampak berbeza sekali. Dia hampir-hampir tidak kenal. Ishk, ishk, ishk...
apalah nak jadi.
“EXCUSE me,” tegur satu suara. Amini
cepat-cepat mengangkat kepalanya, dia sedar dia sedang menutup jalan orang.
“Sorry,” ucap Amini. Dia tidak boleh melupakan peristiwa lalu
berlalu begitu sahaja. Zaman pengajian adalah zaman yang sukar untuk dilupakan,
terlalu banyak pahit dan manis yang dia lalui. Kadang-kala terlalu pahit pula
bila diingatkan kembali. Dia menanam jauh peristiwa pahit jauh di dalam satu
bahagian hatinya. Dia simpan dan tidak akan cuba untuk mengenangkannya kembali.
Amini memandang pada lelaki yang
menegurnya sebentar tadi yang sudah berjalan jauh di hadapan menuju ke bangunan
MAA itu. Dahinya berkerut tiba-tiba…
No comments:
Post a Comment