Monday, 6 January 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 41

JARI-JEMARI itu menyentuh rambut yang halus itu lagi. Baru dia sedar betapa besarnya daya tarikan fizikal Amini. Kasihan bila melihat Amini meronta-ronta meminta dirinya dilepaskan semalam. Tidak ada niat pun, tapi dia hanya geram. Geram apabila Amini mengambil ringan akan kata-katanya semalam. Dia tidak suka bila paha putih itu ditatap orang lain. Sakit hati bila dia terkenang pada lelaki yang pura-pura melintasi Amini semalam dan cuba menggeselkan badannya pada Amini. Kalau diikutkan hati, sudah dihempuk kepala itu. “Ami, bangun.” Diusap-usapnya pipi Amini lagi sehingga Amini terjaga dari tidurnya. “Jom solat, dah masuk subuh ni.” Tanpa dipinta, Rizal menarik lengan Amini. Bila Amini masih menutup matanya dan ingin merebahkan kepalanya di atas bantal lagi. “I tahu you dah bersih. No more excuse.”
            Amini mengetap bibirnya. Mahu tidak mahu, dia turun juga. Tahu lelaki itu sedang mentertawakannya. Dia tidak berniat langsung mahu meninggalkan solat tapi dia hanya mengantuk. Apa salahnya dia tidur dua minit. Dua minit itu pun sudah cukup bermakna kepadanya. Amini terkedu tiba-tiba, sedar perbuatannya yang melewat-lewatkan solat itu.
            “Astaghfirullahalazim,” ucapnya perlahan sambil meletakkan tangannya di atas dada. Mengapa dia boleh fikir benda-benda seperti itu? Perlahan-lahan dia turun dari katil dan terus berlalu ke bilik mandi.
            Kepala paip diputar. Air yang sejuk itu diambil dan membasahkan setiap anggotanya. Selepas itu, dia mengeluarkan telekung yang dia letak di dalam kabinet. Dua sejadah dia bentang. Kepalanya digaru perlahan-lahan.
Di mana pula arah kiblat?
            “Kiblat di mana?” tanya Amini sebaik sahaja Rizal melangkah keluar dari bilik mandi. Rizal membetulkan arah sejadah itu dan mengambil kain pelekatnya pula. Amini memerhatikan Rizal bila lelaki itu membetulkan arah sejadah. Tiada senyuman yang terukir dibibir lelaki itu. Adakah Rizal masih marah padanya?
            Eh, tunggu. Bukankah dia yang sepatutnya marah pada Rizal? Rizal  sudah memperlakukan dia seperti…
            Amini terus memejamkan matanya. Dia tidak mahu ingat kembali peristiwa semalam.

            I hantar you hari ini.” Rizal berkata sebaik sahaja Amini selesai menyimpan sejadah dan telekung itu di tempat asalnya semula. Berkerut dahi Amini.
            “Saya nak pergi sendiri.” Masih tetap dengan pendiriannya.
            I ada, I boleh hantar you.”
            “Saya ada kereta Rizal.” Amini mengambil getah rambut dan mengikat rambutnya. Dia menukar pakaian tidurnya itu dengan sehelai baju t dan menyarungkan kain batik. Biar pun semua yang ada di rumah ini hanya Mahani dan pembantu rumah mereka, dia masih rasa kurang selesa bila berpakaian seperti itu. Pakaian itu hanya sesuai untuk kegunaan di bilik tidur sahaja dan bila dia berada di rumah sewanya ataupun di rumah Rizal.
            “Supaya senang nak jumpa dengan teman-teman lelaki you?” sindir Rizal lagi. Amini diam. Dia menjeling pada Rizal. Rizal tidak habis-habis dengan teman lelaki, hanya itu sahaja perkataan yang meniti di bibir itu. Benci dengan perangai lelaki itu yang suka menuduhnya benda yang bukan-bukan. Apa jenis kesalahan yang dia pernah lakukan semasa muda-muda remajanya sehinggakan dia dilayan seperti ini? Kesalahan? Erk? Letak gula getah di atas rambut kawan itu satu kesalahan bukan? Amini masih ingat bagaimana dia dan rakannya berkomplot mengenakan rakan mereka itu. Bila dia sudah meletakkan gula getah di atas rambut mangsa mereka, rakannya datang dan menekan gula getah itu sehingga getah itu melekat pada rambut itu. Rasa bersalah yang tidak pernah dilupakan. Penyesalan mulai timbul bila guru yang mengajar terpaksa memotong bahagian rambut yang melekat itu.
            Tapi, cerita ini tidak ada kena-mengena dengan Rizal. Amini memejamkan matanya dan menggelengkan kepalanya perlahan. Dia cuba menarik semula dirinya yang perlahan-lahan hanyut ke dasar memori lamanya. Dia mengangkat kepalanya, membalas tembakan mata yang tajam itu. Rizal tidak akan pernah mengalah. Rizal bukanlah jenis orang yang seperti itu.
            Keluhan dilepaskan perlahan. “Saya tak ada teman lelaki Rizal. Saya hanya ada suami.” Amini mengatakan dengan jelas. Dia berharap Rizal mengerti dan memahami maksud itu dengan betul. “Sudahlah, saya nak sediakan sarapan pagi.”
Buang masa bergaduh di pagi-pagi buta.
            Rizal berlari dan memegang lengan Amini, menghalang Amini daripada keluar dari bilik. “Mbakkan ada. Kenapa nak susah-susahkan diri pula?” bila dia menarik lengan itu menuju ke katil semula, Amini menarik, cuba untuk melepaskan dirinya.     
            “Ini adalah kali pertama saya bermalam di sini, sekurang-kurangnya saya kena sediakan sarapan pagi untuk mama.”
            Rizal mengangguk-anggukkan kepalanya. “Hmmm, kalau macam tu… you boleh pergi tapi kiss I dulu.”
            Bulat biji mata Amini. Tidak percaya lelaki itu akan meminta dia melakukan benda-benda bodoh seperti itu. “Huh! Jangan nak mengada-ngadalah Rizal.” Tidak selesa bila lelaki itu bertingkah seperti itu. Hangat sahaja dia rasakan mukanya. Jantungnya pula mulalah memainkan rentak rhapsodi seperti Rhapsody in Blue.
            Belum sempat Amini melepaskan tangannya. Pipinya sudah disentuh oleh bibir itu. Terpempan dia seketika. Satu kucupan singgah di bibirnya. Kali ini tidak lama. Sebentar sahaja tetapi cukup membuatkan lututnya lemah sekali lagi.
            “Okey, you may go now. Masak sedap-sedap okey, I nak nasi lemak.” Bersiul-siul kecil lelaki itu berjalan menuju ke katil dan merebahkan tubuhnya di atas tilam yang empuk itu, meninggalkan Amini yang masih tercegat di situ. Amini ternampak bantal kusyen yang ada di sofa. Dia ambil dan dibalingkan ke arah Rizal. Kena tepat ke mukanya. Tergelak Amini.
            “Padan muka!”
            Puas hati aku!
           
            “NGANTUKNYA!” terkejut Amini bila pinggangnya tiba-tiba sahaja dipeluk dari belakang. Dahi itu dirasakan disandarkan pada bahunya. Lemasnya! Bentak Amini di dalam hati. Bukankah lelaki itu tadi sudah tidur semula.
            “Pergilah tidur, buat apa turun?” sindir Amini pula. Dia membiarkan sahaja tubuhnya dipeluk dari belakang. Lama-lama nanti bosanlah Rizal itu.
            Rizal menyimpulkan senyumnya diam-diam. Dia cuba untuk melepaskan Amini dari pandangan matanya tetapi bayangan itu sentiasa menghantuinya di mana-mana sahaja. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh bertahan dengan gangguan itu sedangkan Amini tidak jauh daripadanya. Amini masih berada di bawah bumbung yang sama. Bila dia ingin merebahkan semula tubuhnya di atas tilam. Dia teringat-ingat Amini yang berada di bawah, menyiapkan hidangan untuk sarapan pagi. Senyuman semakin melebar. Siapa yang mahu melepaskan keenakan masakan Amini.
            Gila!
            Dia tersentap. Senyumannya mati tiba-tiba. Mata yang berkhayal tadi kini terkebil-kebil memandang siling yang putih.
            Dan, dia kini berada bersama dengan Amini. Tangannya memeluk pinggang itu dengan bahagia. Bahagia. Perasaan yang muncul tiba-tiba.
“Ami, you dah kejutkan I dari tidur. Mentang-mentang I bawa you pergi padang rubgi semalam, you dah buat hantaran macam rugby player.” Kali ini Rizal meletakkan dagunya di bahu Amini pula. Hidungnya tidak jauh daripada kulit yang lembut itu. Mata dipejam bila dia terhidu minyak wangi yang digosok pada kulit itu sebelum Amini merebahkan tubuh di atas tilam semalam.
Okey… kau kena berhentikan semua ini Rizal. Dia menasihatkan dirinya sendiri.
Dia melihat Amini mencampurkan santan di dalam beras yang sudah dibasuh. “I hantar you hari ini okey,” sekali lagi lelaki itu menawarkan dirinya. Kali ini dia menggunakan pendekatan secara lembut pula. Amini tidak menjawab. “Diam tanda setuju. Okey, I pilih pakaian untuk you hari ini.” Satu kucupan singgah di kepala Amini. Rizal terus berlalu. Sempat lagi Amini menilik ekspresi muka lelaki itu. Ada senyuman di situ. Rizal semakin mengawalnya sehingga lelaki itu memilih pakaian untuknya pula.
Dan, dia tidak terkata apa-apa.

            “AMI nak pergi mana?” tanya Mahani apabila pagi-pagi lagi Amini sudah bersiap berbaju kurung. Amini melangkah masuk ke dapur. Dia duduk di bangku berhadapan dengan Mahani. Sarapan pagi yang dia sediakan sebaik sahaja bangun solat subuh menjadi santapannya. Air kopi dituang ke dalam cawan, diteguk perlahan.
            “Ami ada kelas pagi ni ma,” jawab Amini sambil menyapu kaya di atas rotinya. Roti itu dimasukkan ke dalam mulutnya, dikunyah perlahan.
            “Kelas? Ami buat tuisyen dengan budak-budak ke?” 
            “Tak adalah, Ami sambung buat Master. Sementara  masih ada peluang untuk belajar...” dia berdiri tatkala ternampak Rizal turun dan menghampiri ruangan makan itu.
“Ohh begitu, yalah. Belajarlah selagi mampu. Lagipun, Amikan guru. Guru kena belajar lebih biar ilmu yang diberikan kepada murid-murid sentiasa mencukupi,” mata Mahani meliar mencari kelibat anaknya. Bibirnya merekah bila dia nampak Rizal sudah turun.
Bila sahaja Rizal melabuhkan punggungnya di atas bangku, Amini terus sahaja menghidangkan minuman yang baru dibancuhnya itu.
            Rizal menghulurkan beg duit Amini. “You left this.”
            “Oh ya ka? Thanks.” Amini memasukkan beg duit itu ke dalam beg tangannya. Dia memberikan pinggan kosong kepada Rizal, membiarkan lelaki itu ambil seberapa banyak kuantiti nasi lemak yang dia mahukan.
            “No fruits?” soal Rizal pada Amini. Selalunya Amini akan menyediakan sarapan pagi berserta dengan buah-buahan.
            Amini menepuk dahinya. “Lupa, sekejap.” Bila Amini hendak berdiri. Lengannya ditarik. Amini kembali duduk di atas kerusi itu. Pinggan kosong itu yang kini berisi dengan nasi lemak itu diletakkan di hadapannya.
            It’s okay, makan ni.”
            “Saya ada kelas pagi, tak nak mengantuk.” Amini menolak pinggan itu pada Rizal semula. Mahani memerhatikan sahaja perlakuan Rizal dan Amini. Pandangannya beralih pula pada wajah Amini. Matanya tertancap pada tanda merah di leher Amini. Bibirnya tersenyum.
            “Cantik pula baju kamu hari ini,” puji Mahani bila dia melihat Amini mengenakan sehelai baju kurung yang berwarna coklat keperang-perangan itu. Warna itu membuatkan Amini menonjol.
            “Yakah ma?” Amini sudah mengerling pada Rizal. Lelaki itu sudah tersenyum sumbing. Banggalah itu. Mengada! Mahu sahaja dia mencuit pinggang itu tapi takut tersembur makanan yang ada di dalam mulut lelaki itu pula.
            “Mama ada banyak lagi baju kurung nanti mama beri pada Ami.”
            “Hah! Ngamlah tu, sekurang-kurangnya ada juga baju yang boleh cover badan tu.” Tidak bertapis sindiran Rizal. Merah padam muka Amini ketika itu.
            Berkerut dahi Mahani. “Riz cakap apa ni?” dia mengalihkan matanya pada Amini. Sudah berubah air muka Amini. Apa kaitan baju kurung dengan Amini pula.
            “Tak ada, saja je,” alih Rizal pula.
            “Hish, kamu ni.” Dia memerhatikan pakaian yang dikenakan Rizal. “Kamu nak pergi mana siap-siap ni?” setahunya hari ini hari ahad. Tidak mungkinlah Rizal bekerja pula. Rizal menolak pinggannya yang kosong itu ke tepi. Licin.
            “Nak hantar Ami pergi kuliah.”
            Semakin berkerut dahi Mahani. “Ami ada keretakan,” ujarnya. Lagipun kereta Amini itu sudah hampir lima hari berparkir di garaj itu. Pekerjanya yang mengambil kereta itu.
            “Betul tu ma, Ami boleh drive sendiri.” Amini cuba menggunakan Mahani sebagai alat untuk melepaskan diri daripada Rizal.
            No. Dah siapkan, jom jalan.” Rizal terus sahaja berdiri. Dia tidak menoleh ke belakang lagi. Dia menghidupkan enjin keretanya.
            “Kenapa dengan Rizal tu Ami? Kamu bergaduh lagikah?” tanya Mahani. Dia tidak pernah nampak Rizal bertingkah seperti itu. Lagaknya seperti anak kecil yang mahukan kemahuannya dituruti.
            Amini menjungkitkan bahunya. “Ami pun tak tahu juga. Rizal selalu macam tu, susah Ami nak agak mood dia.” Beg besarnya yang mengandung buku itu diangkat. Rizal sudah membunyikan hon. Tidak sabar langsung. Lelaki ini perlu menjalani latihan memancing lagi. Biar rasa sabar itu bertambah dan bercambah.
            Terkedu Mahani. “Apa dia?” dia tidak salah dengarkah? Belum sempat lagi dia mendapat jawapan daripada Amini, anak menantunya itu sudah keluar dari rumah.
            “Ami pergi dulu.”

1 comment: