Wednesday, 16 July 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 47

“MAAF encik, sekarang bukan masa untuk melawat.”
“Saya suaminya,” beritahu Rizal. Jururawat itu terdiam, dia memandang lelaki itu atas bawah. Sudah bersuami rupa-rupanya perempuan yang ada di dalam bilik nombor 5 itu, suaminya boleh tahan. Segak dan bergaya, pasti dari kalangan orang-orang kaya.
            “Encik boleh masuk ke bilik nombor 5.”
            Thanks,” kaki Rizal terus melangkah meninggalkan kaunter pertanyaan itu. Matanya melilau-lilau mencari bilik nombor 5. Langkahnya terhenti di hadapan pintu itu. Menggeletar tangannya memegang tombol pintu itu. Berharap agar keadaan Amini tidak seperti yang dia bayangkan. Dia tidak mahu dia dipersalahkan oleh ibunya dan keluarga Amini.
            Dipersalahkan? Rizal diam. Kalau sahaja dia tidak membenarkan Amini keluar dari rumah itu sudah tentu perkara-perkara seperti ini tidak akan terjadi. Seribu penyesalan mulai mencengkam dirinya. Dia tidak dapat memaafkan dirinya sekiranya keadaan Amini parah. Dia tidak mahu dipersalahkan.
            Dipersalahkan…
            Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Dia memandang keadaan sekeliling ruang legar yang menjadi tempat dia berdiri sekarang ini. Matanya memerhatikan jururawat-jururawat yang sedang menjalankan tugas mereka, berdiri di sisi doktor dan berbicara mengenai sesuatu yang dia sendiri tidak tahu butirnya. Dia tidak punya masa untuk memasang telinga. Dalam hati, dia masih tertanya, adakah dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan Amini semula selepas dia melepaskan kata-kata yang menghina peribadi Amini siang tadi. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kesalnya dia melafazkan kata-kata itu. Dia tidak dapat mengawal emosinya saat itu. Dia kecewa dengan Amini. Amini telah memecahkan kepercayaan yang dia berikan kepada Amini walau dalam jangka masa yang singkat sahaja. Benar. Dia tidak tahu kisah hidup Amini sebelum ini, dan apa yang dilihat melalui matanya adalah kisah Amini yang lepas. Siapa yang tak marah bila nampak perempuan yang bergelar isteri berjalan dengan lelaki lain? Cuba katakan kepadanya…
            “Mimi tak apa-apa umi.” Rizal terdengar suara Amini sedang bercakap dengan seseorang. Dia memerhati Amini dari cermin kecil di pintu. Alamak! Itu keluarga angkat Amini. Rizal terus beranjak ke belakang dan menjauhkan dirinya dari pintu itu, tapi dia masih boleh mendengar setiap butir bicara dari dalam bilik itu.
            “Macam ni tak apa-apa?” Giliran Hashim itu lagi berbicara.
            “Takut umi, umi tak mahu pisang berbuah dua kali. Umi tak nak kehilangan Mimi selepas anak umi.”
            “Mimi minta maaf ya umi sebab buat umi dan abah khuatir.”
            “Tak sayang,” Mastura itu terus memeluk tubuh Amini.
            “Abah dan umi balik dulu. Mimi berehat cukup-cukup.” Pasangan itu bersalaman dengan Amini. Rizal cepat-cepat melarikan dirinya buat seketika. Seolah-olah sedang melawat pesakit yang ada di bilik sebelah.
            “Rasa macam nak bawa Mimi tinggal dengan kita pula bang, Mas takut tengok keadaan Mimi tu.” Wanita itu berkata kepada suaminya sebaik saja melangkah keluar dari bilik Amini.
            “Biarkan dia dulu, nanti kalau keadaan tak terkawal kita bawa dia tinggal bersama dengan kita. Macam mana dengan ibu bapa Mimi? Mereka tahu tak?”
            “Mimi tak nak dia orang tahu.” Mastura diam sebentar. “Ada suami tapi macam tak ada suami. Adakah patut budak Rizal tu biarkan Mimi seorang diri dalam hospital ni. Kalau Mas jumpa siaplah budak tu!” geram Mastura, sejak tadi dia tidak melihat batang hidung suami Amini.
            “Mas... kan Mimi dah kata tadi, Rizal pergi beli minuman di luar sebentar. Kamu ni, fikir yang baik-baiklah, jangan terus buat spekulasi yang tak benar.” Hashim menasihati isterinya. Isterinya itu tidak pernah bersangka baik terhadap suami Amini yang bernama Rizal itu. “Tak apalah. Kita sahaja yang pantau kesihatan Mimi buat masa sekarang ini.”
            “Yelah...”
            Rizal memastikan pasangan itu betul-betul telah meninggalkan wad ini barulah dia mendekati pintu bilik Amini semula sejak tadi dia menelan air liur bila dia terdengar namanya disebut-sebut oleh pasangan iu. Boleh tahan garang juga ibu angkat Amini itu, kena dengan gaya bini-bini Datuk, garang bagai nak rak. Nafas lega dilepaskan. Perlahan-lahan pintu itu ditolak. Sekujur tubuh terbaring atas katil. Rizal mendekati Amini. Amini sudah tertidur. Penat agaknya. Kakinya yang tidak berselimut itu menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Amini. Matanya beralih kepada wajah Amini. Mata itu bengkak! Amini menangis?? Tapi sebab apa? Dia meletakkan tangannya di atas kepala Amini sebelum mengucup dahi itu. Amini memberi alasan akan ketidakhadirannya kepada ibu bapa angkatnya, dia sepatutnya berterima kasih kepada Amini atas alasan itu.
            Pipi Amini dipegang. Kenapa buat aku risau macam ini Ami? Mujurlah Johan menghubunginya kalau tidak, masakan dia tahu dimana keberadaan Amini sekarang ini. Biar beribu kali dia menghubungi Amini, Amini tidak akan menjawab panggilannya.
Rizal membetulkan selimut yang menutup tubuh Amini sebelum dia meninggalkan Amini di bilik itu. Dia keluar dan menuju ke kaunter itu sekali lagi, kali ini jururawat yang lain pula yang bertugas.
            “Berapa yang saya perlu bayar?” tanya Rizal.
            “Nama pesakit?”
            “Amini binti Aminuddin.”
            Jururawat itu menekan-nekan kekunci komputer. Mencari-cari nama yang disebutkan oleh Rizal sebentar tadi.
            “Hmm, sudah dibayar encik.”
            Terjungkit kening Rizal. Sudah bayar? Belum sempat dia bertanya siapa orang yang membayar kos perubatan itu. Dia disapa. “Riz!” bahu Rizal dipegang dari belakang. Dia menoleh.
            “Tak apa, terima kasih.” Hanya itu sahaja yang Rizal sempat katakan pada jururawat yang bertugas di kaunter itu.
            “Johan...”
            “Macam mana dengan Amini?”
            She’s fine I guess.”
            You guess?? Come!
            Satu pandangan menghantar dua susuk itu pergi. Kakinya masih lagi berdiri di hadapan bilik Amini. Dia tidak salah dengar, matanya juga tidak salah melihat. Lelaki itu datang mengucup dahi Amini dan juga mengaku sebagai suami Amini. Dia melepaskan keluhan berat. Tersenyum dia tiba-tiba, patutlah dia seperti pernah berjumpa dengan Amini sebelum ini. Lelaki itulah yang datang memujuk Amini yang sedang melayan rajuknya di tepi kolam renang dahulu. Lelaki itu jugalah yang memberikan jelingan tajam kepadanya yang seolah-olah memberi amaran supaya dia menjauhkan diri daripada Amini.
            Bodohnya!! Kenapalah dia seringkali terlepas berkenalan dengan perempuan yang dirasakan begitu menarik perhatiannya?
            “Kenapa doktor?” jururawat yang melintasinya menegur. Dzulkifli mendongak, lantas menggelengkan kepalanya.

            “KAU buat apa kat sini?” tanya Amini. Matanya terpandang lelaki itu sebaik sahaja membuka matanya. Bukan main lagi lelaki itu merenungnya. Lelaki itu siap membelai-belai rambutnya lagi. Amini membuang rasa pelik yang wujud dalam hatinya jauh-jauh.
            Rizal berdiri, mendekati Amini yang baru bangun dari tidur itu. “Kita balik, doktor tu bagi tau you dah boleh keluar hari ni.” Dia ingin memegang tangan Amini tapi pantas Amini melarikan tangannya.
            “Saya tak nak! Kan kita dah sama-sama setuju yang kita tak akan masuk campur hal peribadi. Ini hal peribadi saya. Kau tak ada hak nak masuk campur. Aku ada kereta. Tahulah  aku pulang sendiri. Kau tak payah sibukkan diri kau untuk aku!” marah Amini tanpa menyedari dia mula berbicara dalam bahasa kasar. Selama ini dia tidak pernah membahasakan dirinya sebagai ‘aku’. Mendatar sahaja suaranya. Dia cuba menahan amarahnya.
            Rizal mendekati Amini. Wajah amarah itu ditenung lama-lama. “You ni memang keras kepalakan...” dia menonjol kepala Amini menggunakan jari telunjuknya. Amini menolak tangan itu dari terus menonjol-nonjol kepalanya. Rimas!
            “Kalau saya keras kepala, apa kaitannya dengan kau? Kepala saya yang keras bukannya kau!”  bidas Amini lagi. “Tak ingatkah saya ini perempuan jalang?” tekan Amini lagi, dia mengingatkan lelaki itu. “Kau panggil aku perempuan materialistik. Selepas itu, kau tampar aku. Dan kini, kau panggil aku jalang. Kalau kau benci sangat kat aku, kenapa datang sini? Aku tak perlukan pertolongan kau Rizal, setiap pertolongan yang kau berikan itu kau sertakan dengan cacian.” Amini mengetap bibirnya. Dia menarik sendunya. “Hina sangatkah perempuan miskin macam aku? Hina sangatkah keluarga aku sehingga dibenci oleh saudara sendiri? Hina sangatkah?”
            Rizal terdiam. Saudara? Apa yang Amini melalut ini? Adakah Amini turut mempunyai masalah lain?
“Pergi Rizal. Saya tak nak tengok muka kau lagi. Perempuan hina ini tidak pernah sesuai bersama-sama dengan orang kaya macam kamu semua.” Benci sungguh dia melihat rupa lelaki itu muncul di pagi hari. Kalau bukan sebab sakit hati pada lelaki itu dia tidak akan keluar dari rumah. Dan kakinya tidak akan separah ini. Selimut itu digenggam erat. Amini menundukkan kepalanya dan diselindungi juraian rambut yang menutup mukanya. Titik demi titik, air mata itu mengalir, jatuh membasahkan tangannya.
Rizal dan keluarga itu seangkatan! Dia tidak boleh bersama-sama dengan angkatan itu. Sungguh dia benci pada angkatan-angkatan itu.
Rizal mengangkat tangannya dan diletakkan di atas kedua-dua belah bahu Amini. Tangan kanannya dilepaskan dari bahu itu. Rambut yang menutup wajah itu ditolak ke belakang. Dia mengangkat dagu Amini, muka itu dihalakan kepadanya, berharap anak mata itu turut memandang ke arahnya, hampa bila Amini melarikan anak matanya ke arah lain. Kali ini kedua-dua belah tangannya menyeka air mata yang mengalir turun itu. “I tak akan tinggalkan you Amini. You isteri I. I tak akan tinggalkan isteri I.” Amini masih lagi tidak memberikan sebarang respon. “You nak jalan sendiri atau you nak I dukung you masuk kereta?” Rizal memberikan Amini pilihan.
            Semakin meluat pula Amini. Dia melarikan tangan lelaki itu daripada terus-terusan memegang pipinya. Lelaki itu masih tak reti bahasa. “Berapa kali nak saya cakap? Saya ada kereta, saya boleh balik sendiri. Understood?” Amini membesarkan matanya.
            Rizal menepuk dahinya. “Lupa pula, I dah minta Johan hantar kereta you di rumah semalam. Jadi, you tak ada pilihan so you nak I dukung you ke?”
            “Teksi banyak. Saya boleh naik teksi!” Amini turun dari katil. Terhenjut-henjut dia berjalan menuju ke bilik mandi. Dia mengeluarkan pakaian yang dibeli oleh Khalil malam tadi. Dia tersenyum sendiri. Sepasang baju sukan wanita. Warna merah jambu! Khalil memang sengaja mengenakannya. Mereka sendiri tahu yang dia tidak suka warna merah jambu. Tag harga masih bergantung di baju itu. Hampir terbeliak biji mata Amini sepasang baju ini berharga RM199. Biar betul. Dia menyelongkar lagi. Ada sepasang baju dan seluar dalam. Kedua-duanya free size.  Mahalnya... 
            Rizal hanya memerhati. Berkerut dahinya. Siapa agaknya yang membelikan pakaian ini kepada Amini? Mungkin orang yang membayar kos perubatan. Orang yang sama agaknya.
            Ada ketukan di pintu. Seorang jururawat masuk ke dalam. “Cik, ada barang kiriman untuk cik...” jururawat itu menyerahkan beg kertas kepada Amini lagi.
            Amini memeriksa. Dia tersenyum. Macamlah hospital ini tidak menyediakan tuala mandi. “Terima kasih.”
            “Teman lelaki yang beri?” soal Rizal sambil mengecilkan matanya. Amini menjeling.
            Mind your own business please.”

            RIZAL memapah Amini. Berkali-kali Amini menolak tubuh itu agar menjauh darinya. Rizal seolah-olah tidak memperdulikan. Lelaki itu tetap buat muka selambanya.
            “Kenapa dengan kau ni Rizal. Jangan mengada-ngada boleh tak? Saya rimas tahu tak!” marah Amini. Rizal tetap tersenyum.
            “Ya Allah! Ami!” Mahani berlari mendapatkan Amini.  Patutlah berpura-pura baik, gumam Amini seorang diri. Rizal memang seorang pelakon yang baik. Tapi, Rizal memang ambil berat akan dirinya pun, cuma, entahlah… adakalanya dia merasakan Rizal ambil berat dan ada kalanya tidak.
            “Tak adalah ma, sakit sikit saja.”
            “Ami kata Ami ada di rumah kawan,” duga Mahani.
            “Ha’ah, Ami ada di rumah kawan tapi kawan Ami paksa Ami pergi hospital. Semalaman jugalah Ami tinggal di hospital.” Tipu. Rizal tersenyum.
            Tak ada beza rupanya Amini dengan aku. Pandai menipu.
            “Mari duduk,”  Mahani turut memapah anak menantunya. Dia memanggil pembantu rumahnya agar menyediakan air minum untuk Amini. Dia tersenyum melihat pakaian yang dikenakan oleh Amini. Memang orang sukan betul. Sehinggakan baju yang dikenakan pun baju sukan.
            “Kenapa Riz tak bagi tau mama Ami masuk hospital?” Mahani mencubit lengan anaknya. Marah.
            “Abang tak mahu kejutkan mamalah tu, lagipun bukan serius sangat pun...” Amini menjawab bagi pihak Rizal.
            Abang? Ternaik kening lelaki itu. Memang patut pun Amini menggelarnya abang, bukankah dia tua tujuh tahun dari Amini. Mahani tersenyum. Mungkin ini salah-satu jalan yang baik untuk merapatkan hubungan suami isteri ini. Tengok sahaja gelaran yang digunakan oleh Amini untuk memanggil Rizal.