MATA Amini tidak berhenti dari memerhatikan
kawasan perumahan di Alamesra itu. Kenapa Rizal berhenti di hadapan rumah ini
pula? Dia perhatikan rumah yang ada di hadapannya itu. Rumah tiga tingkat yang
jumlah binaannya terhad. Bukan calang-calang orang yang mampu membeli rumah itu
di sini melainkan mereka mempunyai kewangan yang lebih daripada mencukupi.
Taraf hidup di Kota Kinabalu bukannya murah. Harta tanah semakin meningkat
harganya, meskipun hanya sebuah apartment yang hanya cukup-cukup untuk seorang
tinggal pun sudah mencecah 300 000 ringgit, jangankan rumah seperti ini. Kalau
gaji tak ada dalam lingkungan RM7000 sebulan, jangan harap. Lagi-lagi cikgu
seperti dia ini… gaji naik, harga barang naik. Gaji seribu umpama seratus,
padahal kerja bagai nak rak. Nasib badan. Apa boleh buat, sekurang-kurangnya
dia tidak menganggur. Syukur di atas segala-galanya yang dia ada sekarang ini.
Bahunya
disentuh perlahan. Amini mengangkat kepalanya.
“Johan
jemput kita makan tengah hari di rumahnya,” beritahu Rizal, Amini baru sahaja
berkira-kira mahu bertanya akan perkara itu tapi Rizal sudah memberitahunya
terlebih dahulu. Dia menganggukkan sahaja kepalanya. Tapi, Johan? Johan mana
pula ni? Ohh, lelaki yang semalam. “Ami sakit kepala lagikah?” tanya Rizal. Dia
hampir-hampir terlupa yang Amini mengadu sakit kepalanya tadi.
“Saya
okey.”
“Betul
ni?”
Amini
senyum, memberi jaminan kepada kata-katanya. Rizal membuka pintunya, begitu
juga Amini. Dia turun dari kereta dan mengambil kedudukan di sebelah Rizal. Dia
masih belum biasa bertemu dengan teman-teman Rizal. Teman-teman lelaki itu
semuanya orang yang tidak setaraf dengannya, cikgu sepertinya manalah punya
teman-teman seperti itu.
“Jom,”
Rizal membawa Amini masuk ke dalam rumah itu. Suka hati Rizal sahaja membuka
pintu pagar itu dan menerobos masuk ke dalam perkarangan rumah itu. Bila sampai
di hadapan pintu, seorang wanita yang mungkin tua beberapa tahunnya datang
menyambut mereka dengan mendukung bayi kecil itu sebaik sahaja Rizal memberikan
salamnya.
“Masuklah,”
pelawa wanita itu. Senyuman terukir di bibir wanita itu. Dia memerhatikan
Amini, memandang Amini dari atas ke bawah. Pernampilan Amini sangat sederhana,
tidak ada apa barangan ribuan ringgit yang lekat pada tubuh itu. Betul kata Johan,
Amini bukanlah seperti Nelly; perempuan yang Rizal gila-gilakan sangat itu.
Amini lebih padan dengan Rizal. Dan Rizal perlukan seorang wanita seperti Amini
untuk menjadi pendampingnya. “You must be
Amini right?”
Amini
senyum. “Ya,” jawab Amini sementara tangannya menyambut huluran tangan Balqis.
“Duduklah
dulu, I nak pergi dapur kejap. Do you mind?” Balqis terus sahaja
memberikan anaknya kepada Amini, meminta isteri Rizal itu menjaga anaknya
sementara dia menghidangkan makanan.
Bila
terpandang wajah comel itu, hati Amini terus sahaja berbunga-bunga. “Not at all.” Bayi itu sudah masuk ke
dalam dukungan Amini. Diam sahaja bayi itu. Tidak menangis pun bila dialihkan
dari dukungan ibunya kepada orang yang tidak dikenalinya. Amini menundukkan
kepalanya dan memberikan kucupan di dahi bayi itu. Haruman minyak angin dan
bedak bayi adalah haruman yang dia suka. Dia jarang mempunyai kesempatan
seperti ini. Satu kucupan diberikan lagi pada pipi bayi itu. Pipi yang bulat
itu membuatkan Amini geram, kalau diikutkan hati sudah lama dia mencubit-cubit
pipi itu, biar dia kucup berkali-kali pipi itu tapi, dia cuba menahan rasa
geramnya itu. Takut mencederakan anak orang.
“Dia
tak nangis langsung,” ujar Amini pada Rizal yang sedang berdiri di sebelahnya.
Rizal juga mengusap-usap kepala bayi itu.
“Ha’ah…”
Rizal turut membenarkan kata-kata Amini. Dia perasan Amini tersenyum sebaik
sahaja bayi itu berada di dalam dukungannya. Tidak sedar yang bibirnya sedang
mengukirkan senyuman. Sifat keiibuan Amini terserlah apabila Amini mendukung
bayi itu seperti anaknya sendiri. Matanya memerhatikan setiap pergerakan Amini.
Geram. Bukan geram sebab bayi itu tetapi geram melihat Amini yang sejak tadi
tidak berhenti senyum. Mata itu bersinar-sinar bila jari-jemari itu
mengelus-elus lembut pipi bayi itu. Nafasnya jadi tidak menentu tiba-tiba.
Jantung mula berdegup dengan cepat. Tangannya di angkat, mahu melingkarkan
lengannya pada pinggang itu dan menarik tubuh itu supaya berada dekat dengan
dirinya.
“Riz!”
Hish!
Kacau daun betul. Belum sempat lagi dia mengangkat tangan Johan sudah memanggil
namanya.
DUA
pasang mata itu tidak pernah dialihkan daripada memerhatikan Amini yang
mendukung anak Johan. Perasan yang Amini sedang mendodoikan anaknya bila nampak
Amini menepuk-nepuk paha anaknya, mendodoikan. Dia mengalihkan matanya pada
Rizal.
“Dah
boleh jadi ibu,” usulnya. Senyuman yang terukir di bibir Rizal itu sukar untuk
ditafsirkannya.
“Tengoklah
nanti,” alih Rizal. Johan mengecilkan matanya. Jarang dia mendengar lirih Rizal
seperti itu.
“Tak
kan kau masih tak dapat terima Amini? Berapa lama kau nak jadi macam ini Riz?”
Johan sendiri tidak faham dengan Rizal. Hebat sangatkah Nelly itu sehinggakan
Rizal tergila-gila akan perempuan itu. Dia tidak nafikan yang Nelly mempunyai
paras rupa yang jelita, tinggi dan mempunyai bentuk tubuh seperti seorang model
tetapi kini sesiapa sahaja boleh menjadi model. “Besar sangat pengaruh Nelly
pada kau. Kau masih cintakan diakah?”
Rizal
diam, dia sendiri tidak tahu hendak menjawab apa. Dia mengalihkan pandangannya
dari Amini kepada Johan. “Entahlah, aku dan Nelly memang tak ada apa-apa.”
“Sudah
tu?”
“Amini
yang tak dapat terima aku.”
Terbungkam
Johan sebentar. “Pulak dah.” Lama-lama dia semakin tidak faham konflik di
antara Rizal dan juga Amini.
“Sorry…” Balqis meluru mendekati Amini.
Dia ternampak anaknya sudah tertidur dalam dukungan Amini. Pandai juga Amini
mendodoikan anaknya yang cerewet itu tidur. Bukan sembarangan orang yang boleh
mendukung, selalunya anaknya ini akan menangis bila berada di tangan orang yang
tidak dikenali. “Lahh, baby dah
tidurkah?” bisik Balqis lagi padahal dia sememangnya sudah nampak anaknya itu
tertidur dalam dukungan Amini. Amini senyum. Dia memerhatikan lagi bayi yang
ada di dalam dukungannya itu. Perlahan-lahan dia berikan bayi itu kepada Balqis.
Dia mengikut Balqis menuju ke ruangan yang menempatkan katil kecil. Bilik itu
disediakan khas untuk bayi itu. Dia memegang mainan bayi yang diperbuat
daripada getah itu, mungkin bayi ini akan memerlukan bila besar nanti. Mungkin
sekarang belum lagi. Dia masih ingat lagi semasa adiknya masih kecil dahulu.
Mainan getah seperti itu selalu sahaja dijadikan benda untuk digigit. Gigi yang
baru tumbuh itu akan mengoyakkan puting getah botol susu. Entah berapa kali
maknya menukar puting getah itu.
“Amini
dan Rizal bila lagi?” tanya Balqis, dia nampak Amini leka memerhatikan mainan
anaknya Daniel itu. Amini meletakkan mainan itu ke tempat asalnya.
“Tak
tahu lagi,” hanya itu sahaja yang Amini mampu berikan. Dia sememangnya tidak
kisah mempunyai anak tetapi tidak mungkinlah anak Rizal pula. Lelaki itu dan
dia bukanlah pasangan kekasih. Dia tidak mahu anak yang lahir nanti hasil
daripada kesilapan mereka berdua. Dari dahulu lagi, Amini mahukan anak yang
lahir daripada perasaan cinta, kasih dan sayang di antara dia dan suaminya dan
bukannya anak hasil daripada nafsu.
Jauh
Amini mengelamun. “Insya Allah, kalau dah ada rezeki kita memang tak boleh
menolak.” Bahunya diusap tiba-tiba. Amini mengangkat kepalanya. Balqis sudah
pun memberikannya senyuman. “Jom makan.”
DAGING
kicap itu diambil berkali-kali. Daging kicap inilah yang membuatkan dia jatuh
cinta dengan daging. Amini bukanlah seorang pencinta daging tapi apabila daging
itu dimasak kicap seperti ini, seleranya akan terbuka.
“Sedap
sangatkah daging tu?” soal Balqis. Dia nampak Amini tidak menyentuh hidangan
lain melainkan daging itu.
Terkedu
Amini. Malu pula dia. “Ya, saya teringat daging yang dimasak oleh keluarga
angkat saya dahulu, sebiji macam ini.”
“Dah
tambah seorang lagi peminat ni,” ujar Johan. Terjungkit kening Amini. Dia sudah
nampak lelaki itu tersengih-sengih.
“Sebenarnya,
Johan yang masak daging tu.” Balqis memberitahu Amini.
“I see…” senyumannya melebar. Dia tidak
sangka Johan pandai memasak hidangan seperti ini. Dia menoleh pada Rizal. “Rasanya
Rizal pun kena belajar memasak daripada Johan juga,” ujar Amini tiba-tiba.
Tersentak
Rizal. “What?” keningnya
dijungkitkan. Matanya sudah bertentang dengan Amini. Dia nampak dengan jelas
bibir itu seolah-olah mentertawakannya. “Ami nak I belajar masak dari Johan?”
“Apa
salahnya,” celah Johan pula. Dia tahu Rizal memang kurang dalam pengetahuan
memasak.
“Hah!
Apa salahnya,” Amini menyokong. Rizal mengecilkan matanya dia mengangkat tangan
kirinya dan terus sahaja mencubit pipi itu.
“Tak
sedap pun tapi Ami makan jugakan…” dia membesarkan matanya. Cepat sahaja Amini
menolak tangan itu melepaskan pipinya. Merah padam mukanya. Sedar ada mata yang
memerhati. Tersimpul-simpul senyuman Balqis dan Johan. Tidak sangka yang Amini
dan Rizal sudah boleh bergurau-senda seperti itu.
“Rizal
ada masak jugakah Amini?” soal Johan.
Amini
tersenyum. Dia mengerling pada Rizal, mata itu memanahnya; memberikan dia
amaran. “Dia pandai masak spagetthi saja, itupun – Ya Allah!” termelatah Amini
bila pinggangnya dicucuk. Rizal sudah menyedukkan dia sesudu daging kicap.
“Makan.”
Amini
mengetap bawah bibirnya. Dia mengulumkan senyumannya, sempat lagi dia
memberikan senyuman itu kepada Johan dan Balqis yang sejak tadi bagaikan
seronok memerhatikan drama mereka.
“Marahkah?”
bisik Amini.
Rizal
menjeling. Dia berpura-pura tidak melayan. Kakinya sudah ditendang Amini. Dia
jeling lagi. Amini sudah tergelak kecil. Dia mengambil jug yang berisi minuman
sejuk itu, dituang pada gelas Rizal yang kosong.
“Chill!!”