Thursday, 20 February 2014

Novel : Cinta Antara Kita Bab 43

          MATA Amini tidak berhenti dari memerhatikan kawasan perumahan di Alamesra itu. Kenapa Rizal berhenti di hadapan rumah ini pula? Dia perhatikan rumah yang ada di hadapannya itu. Rumah tiga tingkat yang jumlah binaannya terhad. Bukan calang-calang orang yang mampu membeli rumah itu di sini melainkan mereka mempunyai kewangan yang lebih daripada mencukupi. Taraf hidup di Kota Kinabalu bukannya murah. Harta tanah semakin meningkat harganya, meskipun hanya sebuah apartment yang hanya cukup-cukup untuk seorang tinggal pun sudah mencecah 300 000 ringgit, jangankan rumah seperti ini. Kalau gaji tak ada dalam lingkungan RM7000 sebulan, jangan harap. Lagi-lagi cikgu seperti dia ini… gaji naik, harga barang naik. Gaji seribu umpama seratus, padahal kerja bagai nak rak. Nasib badan. Apa boleh buat, sekurang-kurangnya dia tidak menganggur. Syukur di atas segala-galanya yang dia ada sekarang ini.
            Bahunya disentuh perlahan. Amini mengangkat kepalanya.
            “Johan jemput kita makan tengah hari di rumahnya,” beritahu Rizal, Amini baru sahaja berkira-kira mahu bertanya akan perkara itu tapi Rizal sudah memberitahunya terlebih dahulu. Dia menganggukkan sahaja kepalanya. Tapi, Johan? Johan mana pula ni? Ohh, lelaki yang semalam. “Ami sakit kepala lagikah?” tanya Rizal. Dia hampir-hampir terlupa yang Amini mengadu sakit kepalanya tadi.
            “Saya okey.”
            “Betul ni?”
            Amini senyum, memberi jaminan kepada kata-katanya. Rizal membuka pintunya, begitu juga Amini. Dia turun dari kereta dan mengambil kedudukan di sebelah Rizal. Dia masih belum biasa bertemu dengan teman-teman Rizal. Teman-teman lelaki itu semuanya orang yang tidak setaraf dengannya, cikgu sepertinya manalah punya teman-teman seperti itu.
            “Jom,” Rizal membawa Amini masuk ke dalam rumah itu. Suka hati Rizal sahaja membuka pintu pagar itu dan menerobos masuk ke dalam perkarangan rumah itu. Bila sampai di hadapan pintu, seorang wanita yang mungkin tua beberapa tahunnya datang menyambut mereka dengan mendukung bayi kecil itu sebaik sahaja Rizal memberikan salamnya.
            “Masuklah,” pelawa wanita itu. Senyuman terukir di bibir wanita itu. Dia memerhatikan Amini, memandang Amini dari atas ke bawah. Pernampilan Amini sangat sederhana, tidak ada apa barangan ribuan ringgit yang lekat pada tubuh itu. Betul kata Johan, Amini bukanlah seperti Nelly; perempuan yang Rizal gila-gilakan sangat itu. Amini lebih padan dengan Rizal. Dan Rizal perlukan seorang wanita seperti Amini untuk menjadi pendampingnya. “You must be Amini right?”
            Amini senyum. “Ya,” jawab Amini sementara tangannya menyambut huluran tangan Balqis.
            “Duduklah dulu, I nak pergi dapur kejap. Do you mind?” Balqis terus sahaja memberikan anaknya kepada Amini, meminta isteri Rizal itu menjaga anaknya sementara dia menghidangkan makanan.
            Bila terpandang wajah comel itu, hati Amini terus sahaja berbunga-bunga. “Not at all.” Bayi itu sudah masuk ke dalam dukungan Amini. Diam sahaja bayi itu. Tidak menangis pun bila dialihkan dari dukungan ibunya kepada orang yang tidak dikenalinya. Amini menundukkan kepalanya dan memberikan kucupan di dahi bayi itu. Haruman minyak angin dan bedak bayi adalah haruman yang dia suka. Dia jarang mempunyai kesempatan seperti ini. Satu kucupan diberikan lagi pada pipi bayi itu. Pipi yang bulat itu membuatkan Amini geram, kalau diikutkan hati sudah lama dia mencubit-cubit pipi itu, biar dia kucup berkali-kali pipi itu tapi, dia cuba menahan rasa geramnya itu. Takut mencederakan anak orang.
            “Dia tak nangis langsung,” ujar Amini pada Rizal yang sedang berdiri di sebelahnya. Rizal juga mengusap-usap kepala bayi itu.
            “Ha’ah…” Rizal turut membenarkan kata-kata Amini. Dia perasan Amini tersenyum sebaik sahaja bayi itu berada di dalam dukungannya. Tidak sedar yang bibirnya sedang mengukirkan senyuman. Sifat keiibuan Amini terserlah apabila Amini mendukung bayi itu seperti anaknya sendiri. Matanya memerhatikan setiap pergerakan Amini. Geram. Bukan geram sebab bayi itu tetapi geram melihat Amini yang sejak tadi tidak berhenti senyum. Mata itu bersinar-sinar bila jari-jemari itu mengelus-elus lembut pipi bayi itu. Nafasnya jadi tidak menentu tiba-tiba. Jantung mula berdegup dengan cepat. Tangannya di angkat, mahu melingkarkan lengannya pada pinggang itu dan menarik tubuh itu supaya berada dekat dengan dirinya.
            “Riz!”
           Hish! Kacau daun betul. Belum sempat lagi dia mengangkat tangan Johan sudah memanggil namanya.

            DUA pasang mata itu tidak pernah dialihkan daripada memerhatikan Amini yang mendukung anak Johan. Perasan yang Amini sedang mendodoikan anaknya bila nampak Amini menepuk-nepuk paha anaknya, mendodoikan. Dia mengalihkan matanya pada Rizal.
            “Dah boleh jadi ibu,” usulnya. Senyuman yang terukir di bibir Rizal itu sukar untuk ditafsirkannya.
            “Tengoklah nanti,” alih Rizal. Johan mengecilkan matanya. Jarang dia mendengar lirih Rizal seperti itu.
            “Tak kan kau masih tak dapat terima Amini? Berapa lama kau nak jadi macam ini Riz?” Johan sendiri tidak faham dengan Rizal. Hebat sangatkah Nelly itu sehinggakan Rizal tergila-gila akan perempuan itu. Dia tidak nafikan yang Nelly mempunyai paras rupa yang jelita, tinggi dan mempunyai bentuk tubuh seperti seorang model tetapi kini sesiapa sahaja boleh menjadi model. “Besar sangat pengaruh Nelly pada kau. Kau masih cintakan diakah?”
            Rizal diam, dia sendiri tidak tahu hendak menjawab apa. Dia mengalihkan pandangannya dari Amini kepada Johan. “Entahlah, aku dan Nelly memang tak ada apa-apa.”
            “Sudah tu?”
            “Amini yang tak dapat terima aku.”
            Terbungkam Johan sebentar. “Pulak dah.” Lama-lama dia semakin tidak faham konflik di antara Rizal dan juga Amini.
            “Sorry…” Balqis meluru mendekati Amini. Dia ternampak anaknya sudah tertidur dalam dukungan Amini. Pandai juga Amini mendodoikan anaknya yang cerewet itu tidur. Bukan sembarangan orang yang boleh mendukung, selalunya anaknya ini akan menangis bila berada di tangan orang yang tidak dikenali. “Lahh, baby dah tidurkah?” bisik Balqis lagi padahal dia sememangnya sudah nampak anaknya itu tertidur dalam dukungan Amini. Amini senyum. Dia memerhatikan lagi bayi yang ada di dalam dukungannya itu. Perlahan-lahan dia berikan bayi itu kepada Balqis. Dia mengikut Balqis menuju ke ruangan yang menempatkan katil kecil. Bilik itu disediakan khas untuk bayi itu. Dia memegang mainan bayi yang diperbuat daripada getah itu, mungkin bayi ini akan memerlukan bila besar nanti. Mungkin sekarang belum lagi. Dia masih ingat lagi semasa adiknya masih kecil dahulu. Mainan getah seperti itu selalu sahaja dijadikan benda untuk digigit. Gigi yang baru tumbuh itu akan mengoyakkan puting getah botol susu. Entah berapa kali maknya menukar puting getah itu.
            “Amini dan Rizal bila lagi?” tanya Balqis, dia nampak Amini leka memerhatikan mainan anaknya Daniel itu. Amini meletakkan mainan itu ke tempat asalnya.
            “Tak tahu lagi,” hanya itu sahaja yang Amini mampu berikan. Dia sememangnya tidak kisah mempunyai anak tetapi tidak mungkinlah anak Rizal pula. Lelaki itu dan dia bukanlah pasangan kekasih. Dia tidak mahu anak yang lahir nanti hasil daripada kesilapan mereka berdua. Dari dahulu lagi, Amini mahukan anak yang lahir daripada perasaan cinta, kasih dan sayang di antara dia dan suaminya dan bukannya anak hasil daripada nafsu.
            Jauh Amini mengelamun. “Insya Allah, kalau dah ada rezeki kita memang tak boleh menolak.” Bahunya diusap tiba-tiba. Amini mengangkat kepalanya. Balqis sudah pun memberikannya senyuman. “Jom makan.”

            DAGING kicap itu diambil berkali-kali. Daging kicap inilah yang membuatkan dia jatuh cinta dengan daging. Amini bukanlah seorang pencinta daging tapi apabila daging itu dimasak kicap seperti ini, seleranya akan terbuka.
            “Sedap sangatkah daging tu?” soal Balqis. Dia nampak Amini tidak menyentuh hidangan lain melainkan daging itu.
            Terkedu Amini. Malu pula dia. “Ya, saya teringat daging yang dimasak oleh keluarga angkat saya dahulu, sebiji macam ini.”
            “Dah tambah seorang lagi peminat ni,” ujar Johan. Terjungkit kening Amini. Dia sudah nampak lelaki itu tersengih-sengih.
            “Sebenarnya, Johan yang masak daging tu.” Balqis memberitahu Amini.
            “I see…” senyumannya melebar. Dia tidak sangka Johan pandai memasak hidangan seperti ini. Dia menoleh pada Rizal. “Rasanya Rizal pun kena belajar memasak daripada Johan juga,” ujar Amini tiba-tiba.
            Tersentak Rizal. “What?” keningnya dijungkitkan. Matanya sudah bertentang dengan Amini. Dia nampak dengan jelas bibir itu seolah-olah mentertawakannya. “Ami nak I belajar masak dari Johan?”
            “Apa salahnya,” celah Johan pula. Dia tahu Rizal memang kurang dalam pengetahuan memasak.
            “Hah! Apa salahnya,” Amini menyokong. Rizal mengecilkan matanya dia mengangkat tangan kirinya dan terus sahaja mencubit pipi itu.
            “Tak sedap pun tapi Ami makan jugakan…” dia membesarkan matanya. Cepat sahaja Amini menolak tangan itu melepaskan pipinya. Merah padam mukanya. Sedar ada mata yang memerhati. Tersimpul-simpul senyuman Balqis dan Johan. Tidak sangka yang Amini dan Rizal sudah boleh bergurau-senda seperti itu.
            “Rizal ada masak jugakah Amini?” soal Johan.
            Amini tersenyum. Dia mengerling pada Rizal, mata itu memanahnya; memberikan dia amaran. “Dia pandai masak spagetthi saja, itupun – Ya Allah!” termelatah Amini bila pinggangnya dicucuk. Rizal sudah menyedukkan dia sesudu daging kicap.
            “Makan.”
            Amini mengetap bawah bibirnya. Dia mengulumkan senyumannya, sempat lagi dia memberikan senyuman itu kepada Johan dan Balqis yang sejak tadi bagaikan seronok memerhatikan drama mereka.
            “Marahkah?” bisik Amini.
            Rizal menjeling. Dia berpura-pura tidak melayan. Kakinya sudah ditendang Amini. Dia jeling lagi. Amini sudah tergelak kecil. Dia mengambil jug yang berisi minuman sejuk itu, dituang pada gelas Rizal yang kosong.
            “Chill!!”
           
           
           

1 comment: