Monday, 29 July 2013

Novel : Cinta Antara Kita Bab 34


       “HEI PEREMPUAN!” bahu Amini dipegang dengan kuat, dipusingkan tubuh itu supaya menghadapnya. “Siapa lelaki tu?” soal Rizal tiba-tiba. Amini menjeling. Dia tidak tahu apa yang dibicarakan oleh lelaki itu. Dia tidak tahu siapa lelaki yang dimaksudkan oleh Rizal.
       Rizal menjungkitkan keningnya. “Tak cukup lagikah apa yang aku bagi pada kau? Kau cari lelaki lain pula!” dagu Amini dipegang dan dihadapkan padanya.
       Amini menolak tangan yang memegang dagunya. “Jangan jadi bodohlah Rizal!” dia cuba untuk meraih semangatnya untuk menentang lelaki itu. “Cakap pakai otak boleh tak?” dengus Amini lagi.
     Tidak semena-mena Rizal mengangkat tangannya dan hinggap di pipi Amini. “Kau cakap apa? Kau cakap aku bodoh?” suara lelaki itu meninggi. “Kau tak sedarkah yang kau tu bini orang. Yang kau sibuk-sibuk menggatal dengan lelaki lain tu apa pasal? Tak cukup lagi aku tak bagi kau keluar, sekarang kau menggatal dalam handphone pula?”
            Amini menarik nafas dalam-dalam. Rizal tampar aku? Bibirnya diketap menahan sakit hati. Pipi yang ditampar Rizal tadi masih perit dirasakan. Dia mengetap bibirnya lagi. “Siapa?” dia cuba menahan air matanya daripada jatuh. Jangan kau cuba menangis di hadapan binatang ini Amini!
            Rizal tersenyum sinis. “Mr.B...” dia fikir aku tidak tahu!
       Hah! Amini meletakkan tangannya di atas dada. Sesak nafasnya tiba-tiba. Tidak sedar yang dia menepuk-nepuk dada sebelah kirinya dengan genggaman tangannya. Jantung itu sakit. Lemah dirasakan lututnya. Dia terduduk di hadapan lelaki itu. Dia tidak pernah lemah seperti ini. Sekali lagi dia menarik nafas panjang. Sendu ditarik. “Bodohnya kau Rizal. Kau tak check nombor telefon dan kau hentam aku tanpa usul periksa.” Kali ini Amini sudah tidak dapat membendung lagi. Air matanya tetap mengalir turun jatuh membasahi pipinya. Amini mendongakkan kepalanya. Air mata itu sudah merembes. Air mata itu bukan kerana tuduhan Rizal tetapi di atas kebodohan lelaki itu sendiri. “Kalau kau orang yang bijaksana, kau tak akan terus menghukum.” Bergetar suara itu. Amini bangun dan meninggalkan lelaki itu di dapur.
            Nombor telefon? Cepat-cepat Rizal mengambil telefon bimbit Amini dan memeriksa nombor telefon itu. Bila matanya tertancap pada nombor itu, telefon itu terus sahaja jatuh dari tangannya.
Mr.B itu…
Amini!

            PIPI yang ditampar itu diperhatikan pada cermin. Ada bekas jari lelaki itu dipipi itu. Merah. Amini membasahkan mukanya dengan air yang ditadah. Sekali lagi tangannya ditadahkan di bawah paip yang mengalir, menggeletar jari-jemarinya. Tubuhnya ini seolah-olah tiada nilai dimata lelaki itu. Boleh diperlakukan apa sahaja. Senang untuk ditendang, diterajang, ditampar bila benci. Dan bila suka pula, tubuh itu dipeluk dengan erat. Pipi dan rambutnya akan dikucup dengan hangat. Rizal memang Rizal. Tidak akan pernah berubah.
            Hati aku dia tidak pernah ambil kisah.
            Siapa kau mahu dia ambil kisah?
            Aku isterinya yang sah! Bukan Nelly!
      Nelly… Amini memejamkan matanya rapat-rapat. Rasa kurang senang tiba-tiba muncul pada perempuan yang bernama Nelly itu. Biar dia tidak kenal perempuan itu secara rapat, tapi, dia tahu betapa mesranya pasangan itu sebelum ini.
            Rizal melayan Nelly dengan baik. Rizal mungkin tidak akan pernah memarahi Nelly, tapi, dia…
            “Ami,” lelaki itu mendekatinya. Amini sudah tidak kisah. Dia tidak memperdulikan lelaki itu. Bantal dan comforter itu diambil dan dibawa keluar.
Tidurlah kau seorang diri malam ini!
            Amini meletakkan bantal di sofa. Tubuhnya direbahkan dan meletakkan kepalanya di atas bantal itu. Comforter yang dibawa keluar tadi sudah menutup tubuhnya. Perlahan-lahan tangannya memegang pada pipi yang ditampar itu. Tanpa disedari kisah lama terlayar di hadapan matanya. Jadi beginilah rasa seorang isteri ditampar oleh suami? Sakit, pedih, perit, semua bercampur menjadi satu. Mak, Ami sedang melalui perkara yang sama seperti mak lalui dulu. Lelaki seperti itu semuanya binatang! Aku benci Rizal!
            Jari-jemari itu bagaikan melekat di pipinya. Tidak hilang malah semakin menebal.

       LAMA dia duduk di birai katil itu. Keliru dengan hatinya sendiri. Kenapa dia harus marah kerana benda sekecil itu? Ya Allah Rizal! Dia berdiri, kakinya membuka langkah kecil keluar dari bilik itu. Perlahan-lahan dia mendekati sekujur tubuh yang sedang terbaring di atas sofa. Tubuhnya dibongkokkan. Akhirnya dia duduk di sisi kosong itu. Desah nafas halus yang kedengaran itu menunjukkan yang Amini sudah tidur. Pipi yang ditampar itu tadi diperhatikan. Merah. Tangannya diangkat, dan mengusap-usap pipi yang merah itu.
            I’m sorry Amini.
            Satu kucupan singgah di pipi itu, berharap agar bengkak itu akan surut selepas ini. Terpana Rizal bila melihat setitis air mata tiba-tiba jatuh dari mata itu. Ibu jarinya menyeka air mata itu. Dia tidak mungkin akan pernah membiarkan Amini tidur bersendirian. Dia harus membawa tubuh itu masuk ke dalam bilik. Diselitkan kedua-dua belah tangannya di bawah tubuh Amini, seperti biasa, dia mengangkat tubuh itu dan diletakkan di atas katil. Comforter dibetulkan agar menutup tubuh itu daripada kedinginan malam. Rizal mengambil tempat di sisi Amini. Dia menyandarkan belakangnya pada katil. Dia membelai rambut lurus Amini, perlahan-lahan, membiarkan setiap helaian rambut itu menyisip di setiap celahan jarinya.

            TANGANNYA diangkat dan didepakan. Bila tangan itu terlantun kembali, matanya terbuka dengan luas. Huh! Bodoh. Rizal mengangkat dia lagi semalam. Kalau tidak, manakan bisa dia boleh tertidur di atas tilam ini. Matanya dilirikkan pada kiri dan juga kanannya. Tiada bayang lelaki itu di dalam bilik ini. Bilik mandi juga tidak berbunyi. Comforter yang menutup tubuhnya itu ditolak tepi. Amini memegang pipinya lagi. Bekas tangan itu sudah hilang tetapi masih meninggalkan parut pada hatinya. Amini turun dari katil. Dia perlu menyediakan keperluan seperti yang dikehendaki oleh lelaki itu semalam. Biar hati sakit tapi jangan abaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
            ‘Tidak kiralah sehebat mana pergaduhan kita bersama dengan isteri atau suami kita tapi bila kita melangkah keluar dari rumah, peluklah isteri atau suami kamu, lupakan sengketa yang ada, pupuklah sayang itu sebab malang tidak berbau. Kemalangan boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Siapa tahu mungkin kita salah seorang daripada mangsa itu atau pun isteri mahupun suami kita. Jangan menyesal tak sudah.’
            Nasihat yang diberikan oleh pegawainya dahulu terngiang-ngiang ditelinga. Biar dia tidak cinta Rizal asalkan dia jalankan tanggungjawab yang sepatutnya dia jalankan. Dia bukanlah sehebat srikandi tapi sebolehnya dia mahu menjalankan tugasnya sahaja. Soal kasih dan sayang itu hanya berdasarkan simpati. Kasih dan sayang pada Rizal hanya melewati pintu simpatinya, kasih dan sayang seorang teman dan isteri, itulah erti dirinya yang sebenar pada Rizal… Jauh sekali bila disamaertikan dengan cinta. Beda. Walaupun dia sangat membutuhkan cinta daripada seorang insan bernama lelaki. Dia yakin insan itu bukan Rizal. BUKAN. Mungkin tersurat ada lelaki lain di dalam hidupnya.
            Mata Amini tertancap pada nota yang dilekatkan pada cermin meja solek. Cepat jemarinya menanggalkan pita pelekat itu daripada cermin.
            Amini, I’m sorry. I shouldn’t slapped you last night. I was wrong, so wrong honey. I keluar awal hari ini. I tahu you masih tak dapat tengok muka I diawal-awal pagi. I harap dalam masa yang singkat ini akan menghilangkan rasa benci you pada I. Sorry.’
            Honey? Dia panggil aku honey? Tidakkah lelaki itu tahu bahawa panggilan itu sebenarnya boleh melembutkan hatinya? Bibirnya diketap perlahan, cuba memendamkan rasa aneh itu sedalam-dalamnya. Tulisan tangan itu membuatkan hatinya tersentuh. Amini bukanlah jenis yang orang yang keras hatinya. Dia bukanlah jenis manusia yang tidak boleh bertoleransi tetapi tindakan Rizal semalam yang terlalu terburu cemburu buta itu membuatkan hati kecilnya meraung kesakitan. Sakit bagaikan dicucuk belati yang beracun. Kalau sahaja lelaki itu merasa apa yang dia rasa, mungkin lelaki itu akan terjun daripada tingkat itu ke bawah. Biar berderai otak di atas lantai. Tapi, Amini tidak mungkin akan lakukan benda-benda bodoh seperti itu. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin Allah sangat menyayanginya sehingga dia diberikan dugaan seperti ini. Terima kasih kepadaMu Ya Allah!
            Kotak telefon yang ada dihadapannya itu mengambil perhatiannya. Ada nama dia di atas kertas itu. Bila Amini buka, sebuah telefon pintar Samsung Note Galaxy II yang terbaharu itu berada di hadapan matanya. Adakah ini dugaan yang diberikan kepadanya lagi? Terima pemberian dan dihina sebagai perempuan materialistik selepas itu?

            KEHIDUPAN ini bukanlah seperti yang didamba-dambakan dalam bayangan minda. Mungkin kita selalu mengimpikan sesuatu yang boleh membuatkan hati kita senang dan fikiran yang tenang. Kebahagiaan itu boleh dirasai pada bila-bila masa sahaja. Salah. Kita hanya boleh meramalkan sahaja, ketentuan itu ada di tangan Yang Maha Kuasa. Tidak salah untuk bermimpi, bermimpi bukan bermaksud untuk menjadikan mimpi itu satu kenyataan. Kadang-kala mimpi itu boleh menjadi pendorong kita untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada sekarang.
            Tiada yang menarik perhatiannya sekarang ini. Rekaan itu sudah siap. Lagu nyanyian Enya itu yang dipasang pada set hi fi itu membuai-buainya. Irama celtic itu sesuai dengan jiwanya sekarang ini. Biar muzik itu kedengaran lama, tapi dia masih merasakan dia perlukan ketenangan seperti itu. Loceng yang berbunyi itu mengejutkan dia. Amini berdiri, dan melihat orang yang sedang berdiri di hadapan pintu. Pelik. Dia tidak pernah melihat perempuan itu sebelum ini.
          “Ya, cari siapa?” tanya Amini pada alat yang dikhaskan untuk berkomunikasi itu tanpa membuka pintu.
            “Ini Amini?” soal perempuan itu.
            “Saya, kenapa…”

            “AKHIRNYA dapat juga berjumpa dengan Amini,” luah perempuan itu dalam nada yang gembira. Dia memerhatikan perempuan itu melabuhkan punggungnya di atas sofa. Sedar yang dirinya diperhatikan oleh perempuan itu dari atas ke bawah. Senyuman yang sukar ditafsirkan itu terukir di bibir perempuan itu.
            Siapa perempuan itu? Bisik hati Amini. Bukankah Rizal sudah melarang dia membuka pintu untuk orang-orang yang dia tidak kenal? Masalahnya di sini, perempuan itu sudah menghulurkan senyuman yang ramah kepadanya, tidak mungkinlah dia menghalau dengan menutup pintu. Bukankah kurang ajar namanya itu. Sejak dia kecil, dia tidak pernah diajar dengan sikap yang kurang sopan. Biar miskin mana pun mereka, ibunya tetap menerapkan nilai itu di dalam keluarga mereka. Bukan sahaja ibunya malah bila sahaja dia bersikap kurang ajar, tidak kira bapa saudara atau abangnya, sudah pasti tubuh itu akan menerima akibatnya. Jadi sehingga kini Amini tidak akan pernah berkurang ajar terhadap sesiapa pun. Besar perbezaan dendaan dahulu dengan sekarang. 
            “I want you to come with me,” ujar perempuan itu tiba-tiba. Terkejut Amini. “Take your time, I akan tunggu Amini bersiap.” Perempuan itu sudah tertancap pada tubuhnya. Humm… memang sejak tadi lagi dirinya diperhatikan dari atas ke bawah.
          Amini memandang pada bajunya. Cepat sahaja tangannya menepuk dahinya. Dia langsung tidak sedar yang dia masih mengenakan gaun tidurnya. Bibirnya mengukirkan senyuman bodoh. “Sorry…”
            Perempuan itu mengangkat tangannya dan dilibaskan perlahan sambil tertawa kecil. “Don’t be. You guys just got married. I know the feeling.”
            Berkerut dahi Amini. Aishh! Dia fikir aku dan Rizal ada hubungan yang macam itukah? Minta simpang. Eh! Macam mana dia tahu aku dan Rizal baru sahaja mendirikan rumah tangga. “Sebentar ya.” Amini meninggalkan tetamunya dengan berjalan ke dapur. Dia mengeluarkan kek brownie yang masih berada di dalam ketuhar. Pisau kek dicapai, dan memotong kek itu ke bentuk empat segi kecil. Pinggan kecil yang ada di hadapannya diambil, kek itu diletakkan di atas pinggan itu. Bila saja matanya tertancap pada minuman pada teko elektrik itu, hatinya tiba-tiba berasa ringan. Kertas yang ditampal pada teko itu ditarik.
            ‘Guess a pot of coffee will make your day.’
            Tulisan berangkai itu diperhatikan satu-persatu. Matanya terbuka luas bila ternampak tulisan kecil di bawah kertas itu.
            ‘P/s : I don’t want you to get sick. Jangan minum banyak kafein okey!’
            Rizal… Amini menarik nafasnya panjang-panjang. “Ya Allah!” sedar yang dia masih punya tetamu di hadapan, cepat-cepat dia menuang kopi panas yang disediakan Rizal sebelum keluar tadi di atas cawan kecil. Satu setengah sudu kecil gula dimasukkan ke dalam cawan itu.
            Amini berjalan sambil menatang dulang yang berisi kek dan secawan kopi. Dia meletakkan pinggan yang berisi kek itu di atas meja kopi dan diikuti dengan kopi itu. Sedar yang buku lakarannya kini sedang menjadi tatapan tetamunya. “Minumlah,” jemput Amini.
            Perempuan  itu mengangkat kepalanya. Senyuman terukir di bibirnya. “Tak pernah tahu masih ada orang dengar lagu Enya pada zaman sekarang ni.” Matanya tertancap pada cawan kopi yang asapnya masih berkepul-kepul di permukaan itu. Amini membalas senyuman itu.
            “Lagu tu soothe,” usul Amini. Dia suka lagu-lagu seperti itu. Biar bunyi itu seperti lagu negara Scotland asalkan iramanya menenangkan.
            “Indeed. I like it too…” perempuan itu mengenyitkan matanya sambil memberikan senyuman manis kepada Amini. Cawan kopi itu di angkat dan disisip perlahan-lahan. Bila sahaja air itu masuk ke dalam mulutnya, “hmm… your coffee sedap.”
            “Rizal yang brew,” jawab Amini tanpa dipinta.
           Mata itu terbuntang. “Oh ya?” tidak percaya dengan apa yang dia dengar. “Not bad. Dan tak sangka pula, arkitek macam Rizal lukis figure macam ini.” Dia mengangkat buku lakaran itu dan menunjukkan figura seorang perempuan dari belakang.
            “Ump, saya yang lukis sebenarnya.”
           Kali ini mulutnya ternganga, diselang-selikan melihat wajah itu dengan lukisan yang ada di dalam buku lakaran itu. Tidak percaya yang Amini juga mampu melukis sangkanya lukisan itu milik Rizal kerana ada lakaran rumah di dalam buku lakaran itu. “Phhufff! You guys sure ada chemistry yang kuat, patutlah budak tu pilih you.”
            “Pilih saya?” duga Amini.
            Dia diam, cuba menutup mulutnya seketika. Amini tidak perlu tahu benda itu. “Well honey, you kena bersiap. I want you to go somewhere with me.”

            TIDAK berkelip matanya apabila melihat sebuah kereta mewah yang berparkir di hadapannya. Bila sahaja tetamunya datang menghampiri, seorang lelaki yang mengenakan kemeja putih berlengan pendek membuka pintu untuknya.
        “Come Amini…” dia menepuk ruang kosong di sebelahnya. Amini mengetap bibirnya. Betulkah tindakannya ini? Perlukah dia memberitahu Rizal akan perkara ini? Bagaimana kalau perempuan ini musuh perniagaan Mahani dan dia dijadikan sebagai tebusan. “Jangan risau. I bukannya penculik.”
            “Err…”
         “Takut Rizal marah?” duga perempuan itu sambil menaikkan keningnya. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari beg tangan. “Nak I call Rizal?” soalnya lagi.
         Telefon Rizal? Tidak mungkinlah dia boleh bercakap dengan lelaki itu selepas apa yang terjadi semalam. Bila mana dia melihat perempuan itu sudah mahu menekan skrin telefonnya, “tak usah. Rizal sibuk. Saya tak nak ganggu dia.”
            Tak nak ganggu? Haha… bengonglah hang ni Ami!
            Good, actually I pun tak nak call budak tu.” Kali ini perempuan itu tertawa pula. Perlahan-lahan Amini masuk ke dalam kereta itu. Sebaik sahaja dia duduk di atas bangku itu, belum sempat dia menarik pintu, pemandu itu sudah menutup pintu untuknya.
            Dia tutup pintu untuk aku!
            Terasa diri seperti anak raja pula.
            Perasan…
         "Speaking about Rizal.” Amini mengangkat kepalanya dan menoleh pada perempuan yang sedang duduk di sebelahnya. “You should know something about him.”

Friday, 19 July 2013

Novel : Cinta Antara Kita Bab 33


        MATA Rizal tertancap pada satu susuk yang sedang berdiri di dalam kedai telefon itu. Johan sudah menepuk bahunya. “Bini kau kan…” Johan sudah menunjuk pada seorang perempuan yang mengenakan blouse dan skirt labuh. Personaliti pakaian itu milik Amini. Amini tidak akan pernah melepaskan ciri itu dari dirinya. Bila dia lihat rambut yang lurus itu menutup bahu itu, hatinya menjadi tidak keruan. Beberapa orang lelaki yang berada di kawasan itu turut tertoleh-toleh pada Amini. Huh! Kenapa Amini sentiasa sahaja menarik perhatian lelaki-lelaki lain?
         Terbuntang biji mata Rizal bila ternampak seorang lelaki datang menyapa Amini. Kaki kanannya ingin dihayun tapi terasa berat. Teringat pula pada persengketaan mereka sejak semalam. Dia tidak suka bila perempuan yang memegang gelaran isterinya itu berbicara dengan lelaki lain.
          Apa penerimaan Amini kepada dirinya nanti?
      Johan mengerling pada Rizal yang sudah tidak berkata apa-apa. Sepasang mata itu tidak pernah berkelip apabila melihat seorang lelaki datang menyapa Amini, lagi-lagi mata itu semakin terbuka luas apabila lelaki itu menyentuh bahu Amini dan meletakkan tangan di atas kepala Amini. Dia kenal air muka yang ditunjukkan oleh Rizal sekarang ini. Muka itu merah padam.
       Hubungan platonik? My foot! Siapa sahaja dapat nampak muka cemburu itu. Jangankan orang yang celik, orang rabun sekalipun confirm nampak punya.
         “Tak cemburu?” duga Johan. Sengaja menduga hati itu.
         Rizal tidak berkata apa-apa lagi. Tanpa dia sedari, dia melangkah mendekati Amini di kedai telefon itu sebaik sahaja lelaki itu berlalu. Johan mengikut tanpa banyak bicara walaupun dia tidak tahu apa yang bermain di kepala lelaki itu namun dia mahu tahu apa yang akan dilakukan oleh Rizal. Apa yang dia pasti kini, Rizal CEMBURU!

        HANDPHONE kau rosak?” tanya Kaliesa yang juga turut memerhati telefon-telefon yang ada di dalam rak kaca itu.
          “Ya, jatuh. Dah tak boleh buat call, RIP. Handphone paling berjasa tu, kau nak tahu tak handphone tu saya beli masa saya study lagi.” Amini menunjukkan telefon bimbit yang dia rasakan sesuai untuknya kepada pekerja di kedai itu.
           I see, at least kau bukan jenis orang suka tukar telefon.”
           Not me, membazir. Asalkan boleh pakai, boleh call, boleh text, okey kot.”
           “Betul tu! Saya sokong. So, kau nak ambil mana satu?”
         “Ni kot,” Amini menunjukkan telefon bimbit Samsung Champ yang hanya berharga RM189. Bila Amini melihat telefon bimbit itu dia tergelak tiba-tiba. Kaliesa yang ada di situ pelik. “Rasanya budak-budak dekat sekolah saya tu pun ada handphone lebih canggih dari ini kan.”
          “Ah’ah, budak-budak, biasalah tu. Ibu bapa pula sekarang lebih manjakan anak-anak mereka.” Ibu bapa masa kini memang memanjakan anak-anak mereka. Setiap kehendak anak-anak akan diberikan tanpa berfikir panjang. Memenuhi kehendak itu memang baik tetapi harus berpada-pada. Jangankan kerana terlalu sayangkan anak, sampai satu tahap nanti, anak-anak itu tidak boleh dikawal. Melentur buluh itu biarlah dari rebungnya. Anak perlu dididik untuk berjimat cermat, Insya Allah, sekiranya meningkat dewasa nanti pasti akan menjadi insan yang baik personalitinya.

       “AMI,” nama Amini dipanggil. Ada tangan yang menyentuh di pinggangnya. Terkejut Amini. Cepat-cepat dia menjarakkan tubuhnya sedikit. Belum sempat dia membuka silatnya, lelaki itu sudah memberikan senyumannya. “Hi, Kaliesa.” Rizal menegur Kaliesa pula.
            “Hello, Rizal.” Kaliesa mengangkat tangannya.
            Rizal memandang pada Amini yang sudah melarikan matanya ke tempat lain, seolah-olah tidak suka dia berada di situ. “I baru nak belikan handphone untuk you.”
          “For?” Amini mengangkat kepalanya. “It’s okay Rizal, saya boleh beli sendiri.” Hambar sahaja suara itu didengarnya.
            “Ami please,” Rizal mendekatkan bibirnya di telinga Amini. Amini diam. Dia menelan air liurnya. Dia menggelengkan kepalanya.
            Amini mengangkat kepalanya semula. Dia memberikan senyuman kepada pekerja itu. “Sorry, miss maybe next time. Terima kasih,” ujar Amini. Dia menarik tangan Kaliesa dan membawa Kaliesa keluar meninggalkan Rizal seorang diri di kedai itu.
            Rizal melepaskan keluhan beratnya. “Riz.” Johan sudah berdiri di sebelah Rizal. Dia nampak apa yang berlaku tadi. Dia betul-betul tidak menyangka Rizal akan ditinggalkan begitu sahaja. Lucu ada, kasihan pun ada. Dia menabik keberanian yang ada pada Amini.
            “Dia masih marah kat aku,” ujar Rizal perlahan memberitahu Johan. Kali ini Johan tidak memberikan apa-apa komen. Rizal memerhatikan semula telefon bimbit yang menjadi pilihan Amini tadi. Tidak mungkinlah Amini mahu menggunakan telefon seperti itu? Telefon seperti itu hanya sesuai dijadikan penyendal pintu. “Tapi, aku masih nak beli handphone untuk dia.” Senyuman nakal terukir di bibir Rizal.
            Hah? Tergeleng-geleng kepala Johan. Rizal memang tak makan saman. “Buruklah perangai kau ni. Kau nak bini kau marah lagikah?”
        “Dia tak akan marah lama punya,” yakin sahaja Rizal menjawab seperti itu. Dia memerhatikan satu-persatu telefon yang terpamer di situ. Bila dia terpandang pada Samsung Galaxy Note 2 itu, bibirnya mengukirkan senyuman. Amini jenis yang suka membaca buku, rasanya note itu sesuai untuk Amini.
            “Kau yakinkah Amini tak akan marah lama-lama?” soal Johan bila Rizal memeriksa note itu. Semua diperiksa oleh Rizal. Dia menganggukkan kepalanya. Johan senyum. Nampaknya, Rizal sudah memahami akan Amini tapi dia masih tidak faham, Rizal masih melabel Amini sebagai Perempuan Materialistik sedangkan Rizal yang sebenarnya membelikan barang-barang untuk Amini walaupun Amini tidak meminta. Parah! Rizal yang sepatutnya digelar lelaki materialistik.

            KALIESA memandang pada Amini yang masih menyedut Milk Tea yang baru dibeli dari Cool City itu. Sesekali dia menggigit wafel yang bersalut peanut butter dan kaya. Dia perasan meski Amini memerhatikan orang-orang yang berlegar-legar di Palm Square itu, dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh Amini. Mata itu bukan memerhatikan perlakuan orang-orang yang ada di situ tetapi masih memikirkan mengenai masalah yang berlaku dalam dirinya. Dia nampak macam mana Amini melarikan diri daripada Rizal. Dia faham situasi itu.
         “Tak susah kita nak memaafkan kesalahan mereka bukan?” Kaliesa berkata tiba-tiba. Amini tersentak. Dia menoleh pada Kaliesa yang sudah memberikan senyumannya. Dia menggigit dalam bibir bawahnya.
        “Saya tak tahu kenapa saya masih boleh layan karenah dia, biar kami bertelingkah sekalipun saya tak akan marah lama.” Amini merasakan dia sudah jadi seperti ibunya. Biar semalam ibunya bergaduh dengan bapanya tapi masih boleh berbicara baik dengan bapanya keesokan harinya.
         “Tapi, kau simpan sakit itu di dalam hati…”
         “Saya cuma tak mahu bermusuh dengan sesiapa Liese.”
        Kaliesa mengganggukkan kepalanya tanda faham. “Jadi, kau nak buat apa nanti?” Amini mengangkat keningnya. Bibirnya merekah, giginya sudah terserlah.
       “Kita balik nak? Tak sabar nak buat brownie dah ni.” Dia tahu bukan itu jawapan yang Kaliesa mahukan darinya. Dia tidak tahu hendak berkata apa kepada Kaliesa. Dia tidak bijak dalam memperkatakan secara lisan. Amini berdiri. Beg kertas dan plastik yang mengandung barang-barang itu diambil, digenggam dengan jari-jemarinya. “Jom!”

          BILA Rizal sudah sampai di rumah, dia sudah melihat Amini terpacak di dapur. Dia menanggalkan kasutnya. Dia menjatuhkan beg bimbitnya di atas sofa. Dua butang pada kemejanya dibuka, tali leher sudah lama dia lepaskan dari menjerut lehernya, dia membiarkan angin menyapa tubuhnya yang penat itu. Biar dia bukan seorang pekerja yang menggunakan fizikal tetapi mentalnya terseksa. Siapa kata orang yang duduk di dalam pejabat tidak penat.
“Assalamualaikum,” ucap Rizal pada Amini.
            Lambat juga ya lelaki ini pulang. Bisik hati Amini. Dia tidak menoleh tapi dia menjawab salam itu di dalam hatinya. Dia masih lagi memukul tepung yang ada di dalam mangkuk kaca yang besar itu, berpura-pura tidak mengendahkan kehadiran lelaki itu. Bila dia sampai di rumah tadi, dia terus bersedia untuk membuat kek brownie berdasarkan resepi yang diberikan oleh Kaliesa. Dia bertuah dapat mengenali Kaliesa. Kaliesa memang mempunyai pengetahuan yang luas. Sedikit sebanyak dia dapat menangguk ilmu itu daripada Kaliesa.
Dia dapat dengar bunyi tapak kaki yang datang menghampirinya. Pinggangnya dipegang dan satu kucupan singgah di kepalanya.
          Amini pegun. Mata terbuka luas. Tangannya yang memukul tepung di dalam mangkuk kaca itu terhenti buat seketika. Lelaki itu tidak pernah membuat benda-benda yang ekstrem seperti itu.
          Mulalah jantung itu berdegup laju.
      Tubuh itu terkejut, cuba dijauhkan darinya tapi dia mengukuhkan pegangannya dengan memegang pinggang itu dengan kedua-dua belah tangannya. Lucu bila melihat kedua-dua belah tapak tangannya dapat menutup bahagian pinggang Amini, dia tidak menyangka yang Amini mempunyai pinggang yang ramping. Bila Amini mahu bergerak lagi, Rizal terus merapatkan dirinya. Dia tahu Amini tidak suka diperlakukan seperti itu tapi dia hanya mahu Amini berbicara dengannya semula dan melupakan pertelingkahan mereka. Dia tidak mahu tiada komunikasi di antara mereka. Bila bibir itu tidak berbicara, jarak dekat walau seinci sekalipun akan dirasakan seperti seribu batu. Rizal cuba membuang bayangan lelaki yang dia lihat mendekati Amini tadi. Dia tahu lelaki itu bukan lelaki biasa pada Amini. Kalau tidak, masakan Amini membiarkan lelaki itu memegang rambutnya. Rambut ini miliknya. Tidak ada siapa boleh menyentuhnya kecuali dia. Sekali lagi dia memberikan kucupan ditempat tadi.
Ahh… rambut ini. Tidak perlu diluruskan, rambut Amini memang sedia lurus dan halus. Haruman yang terbit dari rambut itu dihidu apabila dia mengucup pada rambut itu. Hatinya menjadi tenang tiba-tiba. Anak? Belum lagi agaknya.
          “Buat kek?” soal Rizal, sengaja memancing Amini agar berbual dengannya. Tidak biasa pula sekiranya bibir itu tidak berbicara.
        “Hmmm.” Mahu tidak mahu sahaja Amini menjawab pertanyaan itu. Dia masih belum punya mood untuk berbicara panjang dengan lelaki itu.
         “Kek apa?” tanya Rizal lagi. Kali ini dia meletakkan dagunya di atas bahu Amini pula. Sengaja mahu mengusik Amini. Dia ingin tahu sama ada Amini masih marah atau pun tidak.
        “Brownie,” jawab Amini ringkas. Dia membuka tangan yang memeluk pinggangnya itu dan menjarakkan sedikit tubuhnya daripada Rizal. Rimas dia diperlakukan sebegitu. Dia tahu, lelaki itu sengaja mahu menduga hatinya, sengaja membuatkan hati dia sakit.
         “Nampak macam sedap, buat banyak sikit, I nak bawa pergi ofis besok. Oh ya, thanks for the lunch. Besok pack untuk I lagi okey,” bekas makanan itu diletakkan di atas kabinet dapur. Sempat lagi Amini mengerling pada bekas makanan yang kosong itu. Rizal makan atau buang? Bila Amini menoleh ke belakang, Rizal sudah menghilangkan dirinya. Mandi barangkali. Eh! Lelaki itu sudah makankah?
          Amini menyudahkan mengadun bahan-bahan tersebut. Dia masukkan adunan itu ke dalam Loyang yang sudah disapu dengan butter. Dia memasukkan Loyang itu ke dalam ketuhar dan menetapkan masa selama 20 minit. Dia melangkah masuk ke bilik.
      Langkahnya mati apabila melihat Rizal sedang berdiri di balkoni dan memandang jauh pada pemandangan yang kelam. Tubuh itu hanya diikat dengan tuala di pinggang. Adakah lelaki itu sengaja mahu membuat tayangan percuma? Berharap agar ada perempuan-perempuan hot yang akan sedar kewujudannya. Huh! Tapi bila Amini terpandang pada wajah itu, ada sesuatu yang dipendamkan oleh Rizal. Nellykah? Kalau betul Rizal mahu bersama-sama dengan Nelly, kenapa lelaki itu tidak menceraikan dia sahaja? Untuk apa perkahwinan ini diteruskan sekiranya lelaki itu terpaksa berpura-pura baik di hadapannya, berpura-pura mengambil berat sedangkan di dalam hati lelaki itu sentiasa menganggap dia seorang perempuan materialistik.
            Mungkin Rizal seorang yang baik hati namun lelaki itu masih belum dapat menerima kehadirannya di dalam keluarga itu. Amini berjalan selangkah demi selangkah sehinggalah dia berdiri di belakang Rizal. “Rizal,” panggil Amini perlahan.
            “What?” terkedu Amini. Rizal menjawab dengan kasar. Hatinya tersentap. Terguris bila bicara halusnya dibalas dengan bentakan. Lelaki itu tidak pernah tidak membuatkan hatinya terguris. Tanpa banyak bicara, Amini terus sahaja membelakangkan Rizal dan meninggalkan lelaki itu begitu sahaja. Dia lupakan tujuan utamanya tadi.

          MR.B. Rizal memejamkan matanya rapat-rapat. Dia tidak sengaja membuka panggilan masuk di dalam telefon bimbit Amini. Dia hanya ingin mengeluarkan kad sim daripada telefon itu dan memindahkan pada note yang dia baru beli untuk Amini. Bila dia membuka panggilan masuk itu, dia ternampak satu nama yang dia tidak pernah kenal. Mr.B. Siapa Mr.B itu? Kenapa nama itu menjadi pemanggil nombor satu Amini? Lelaki tadi!
          Perempuan, semuanya sama sahaja! Dia tidak menyangka Amini juga mempunyai kekasih di luar sana. Patutlah Amini endah tidak endah sahaja kehadirannya. Entah, entah, Mr.B itu anak jutawan mana-mana. Pandai sungguh Amini mencari lubuk.
            Paip dimatikan. Dia mengelap tubuhnya dahulu sebelum menapak keluar. Dia pasti Amini sudah tidur. Berpura-pura-tidur-dan-tunggu-dipujuk. Huh! Dia tidak akan tertipu lagi kali ini.
          Tapi bila dia menapak keluar daripada bilik mandi, Amini tiada di atas katil. Ke mana pula perempuan itu pergi? Rizal mengeluarkan seluarnya dari kabinet dan mengenakan seluar tersebut sebelum melangkah keluar dari bilik tidur. Dia sempat lagi mengerling pada pakaian kerjanya yang sudah tersedia, tinggal dipakai sahaja lagi.
          Itu dia! Amini sedang duduk di sofa sambil menulis sesuatu di atas sebuah buku. Bila Amini sedar dia berjalan menghampirinya, cepat-cepat Amini menyembunyikan buku itu dan menggantikan dengan novel pula. Pandai sungguh! Bila Rizal mengambil tempat di sebelahnya, Amini sudah bersedia berdiri dan membawa semua barang-barangnya ke dapur.
         Kurang ajar! Rizal mengetap bibirnya. Dia tidak boleh tahan dengan perangai Amini yang berpura-pura baik itu. Sungguh! Dia hampir-hampir tertipu.