“KAU dah balik rumah mak kau ke?” soal Johan pada Rizal apabila terlihat
pakaian Rizal sedikit kemas daripada hari-hari sebelum ini. Pakaian itu
bukannya tak kemas pada hari-hari biasa cuma kurang sentuhan tetapi kali ini
pernampilan itu nampak sangat teratur. Sahabatnya itu turut datang dalam
keadaan yang cergas. Tidak seperti selalu, dia terpaksa menemankan Rizal
sarapan pagi sebelum naik ke pejabat. Berlainan pula dengan hari ini.
Rizal menggelengkan kepalanya. “Aku masih stay dekat kondo buat beberapa hari ni sahaja. Aku nak siapkan
kerja aku sebelum terima tekanan dan leteran dari mama aku nanti.”
“Jadi, bini kau macam mana?” tidak
mungkinlah Rizal masih belum tinggal serumah dengan isteri yang baru
dinikahinya itu. Sayang sahaja ikatan itu terbina sekiranya tiada terjalin
ikatan suami isteri sepertimana yang seharusnya ada.
“Macam mana apa pula? Dia ada dekat
kondolah sekarang ni. Aku saja ja nak dia berkenalan dengan sebahagian daripada
hidup aku. Jadi bini aku kena tahu benda semua tu. Bukan main redah je,”
kata-kata Rizal mengejutkan Johan. Sebelum ini, tidak ada mana-mana perempuan
dibenarkan masuk ke dalam kondominium Rizal termasuk Nelly sendiri tetapi kini.
Wahh!! Dia berharap agar ada peningkatan yang baik di antara mereka berdua.
“Patutlah aku nampak kau macam orang
lain.”
“Lain apa pula?” tanya Rizal.
“Nampak macam laki orang,” mengekek
Johan ketawa. “Kau nampak teratur. Tak ajak aku sarapan pagi ni...” dia
menyambung bicaranya lagi.
Rizal diam. Memang dia sedikit
teratur pagi ini. Sebaik sahaja dia bangun pagi tadi, dia sudah ternampak
pakaiannya sudah disangkut. Siap dipadankan dengan tali leher lagi. Selepas
itu, selesai sahaja dia bersiap Amini sudah pun menyiapkan sarapan pagi
untuknya. Terkejut juga dia apabila Amini menyediakan kopi kegemarannya di pagi
hari seolah-olah Amini tahu rutinnya. Lucu pula dia apabila mengingat kembali
peristiwa di meja makan.
“What is this?” terkejut Rizal
apabila dia terlihat beberapa biji sushi dan semangkuk nasi goreng. Pelik
dengan nasi goreng yang dihidangkan dalam mangkuk.
“Seafood fried rice dan omelette sushi, coffee Americano juga orange.”
“Are you trying to be Japanese?”
“Nope, but I really want you to
impress those guys with your design.” Amini meletakkan mug di atas meja.
Dia dapat melihat Rizal bertungkus-lumus menyiapkan kerjanya. Dia sendiri tidak
tahu jam berapa lelaki itu selesai. Dia hanya sedar apabila dia bangkit dari
tidur di kamar sedangkan malam tadi dia berbaring di atas sofa, menanti Rizal,
siapa tahu lelaki itu mahukan dia buat sesuatu... In case.
“You nak buat I mengantuk masa presentation nanti?” duga Rizal sementara tangannya mencapai sudu
yang ada di atas meja. Dia sengaja mahu menduga Amini, inilah kali pertama dia
merasa air tangan penuh seorang perempuan di pagi hari selain daripada air
tangan mamanya atau pun Mbak. Belum sempat tangannya mencapai makanan,
pinggangnya dicuit. Terkejut Rizal, kegelian. “Please, don’t do that!” marah Rizal. Dia tidak suka pinggangnya
dicucuk atau dicuit.
“Makan ni dahulu,” piring kecil yang berisi buah oren diberikan kepada
Rizal.
“Ini pencuci mulut.”
Amini membulatkan matanya. “Take
it!” memaksa lelaki itu mengambil potongan buah. Teragak-agak Rizal,
akhirnya dia menyuap juga buah oren itu masuk ke dalam mulutnya. Tergelak sakan
Amini. “Takut ke Rizal? I’m not going to
eat you anyway. Kau nak tahu tak, makan buah sebelum makan merupakan sunnah
Rasulullah. Makan buah sebelum makan nasi tak akan memberikan kau rasa ngantuk,
if you don’t believe me, you check
lepas ni...”
Senyuman meniti di bibirnya, memang betul apa yang dikatakan oleh Amini.
Sedikit pun dia tidak berasa mengantuk. Dia mengetuk-ngetuk pen di atas meja.
“Han, kalau kau diberikan hadiah mahal kau tolak ke tak?” tanya Rizal
tiba-tiba. Dia meletakkan pen yang ada di tangannya di atas meja. Soalan Rizal
disambut dengan tawa.
“Mestilah suka, siapa yang tak suka.
Kenapa?”
Lambat-lambat Rizal menjawab.
“Semalam Amini merungut-rungut sebab jam tangan kesayangannya hilang. Jadi, aku
pun bawalah dia pergi kedai jam tangan. Jangankan beli, nak masuk ke dalam
kedai tu pun payah. Dia siap bagi tau aku lagi, jam tangan kesayangan dia tu
bukanlah jam tangan yang mahal tapi jam tangan yang murah. Tapi aku terus
belikan dia jam tangan baru walaupun dia dah tarik muka masam,” luah Rizal.
Johan diam. Dia cuba menafsirkan
masalah yang dihadapi oleh Rizal. “Kau cakap dia perempuan materialistikkan...”
duga Johan. Rizal menganggukkan kepalanya. Membenarkan kata-kata Johan. “Tapi,
dari cerita kau ni seolah-olah bini kau tu lain dari dakwaan kau selama ini.”
“Lain apanya pula?”
“Kau tak rasa bini kau bukan jenis
perempuan macam tu ke?”
“Entahlah, aku malas nak cakap benda
ni. Apapun, get back to work.”
BEBERAPA jenis hidangan sudah
disediakan oleh Amini di atas meja makan. Berkali-kali dia menjenguk jam di
dinding. Sesungguhnya dia bosan tinggal sorang diri dalam kondominium ini.
Lauk-pauk yang disediakan memang membuka seleranya, tambahan lagi dia tidak
mengalas perutnya tengah hari tadi.
Bunyi pintu hadapan dikuak
membuatkan Amini menanti dengan penuh debar. Satu susuk mula masuk. Tali leher
dilonggarkan. Dan akhirnya tubuh itu rebah di atas sofa sebelum sempat
menanggalkan kasut yang dipakainya.
Amini menggelengkan kepalanya
perlahan-lahan. Dia berjalan menuju ke ruang tamu. Briefcase Rizal diambil dan diletakkan di tepi. Dia tunduk dan
membuka kasut Rizal. Hidungnya terangkat. Apa busuk ni? Sah, kasut ni busuk!
Apa punya Rizal, pernampilan bukan main bergaya lagi tapi kasut busuk. Ishk!
Ishk! Ishk!
Rizal terjaga tatkala Amini
memanggil namanya perlahan-lahan. Matanya dibuka. Pandangannya lekat pada tubuh
Amini yang memakai gaun tanpa lengan separas lutut. Matanya yang tadi terasa
berat dibuka kini sudah terbuka luas. Rambut panjang Amini menutup bahu kosong
itu tapi masih tidak menutup dengan sepenuhnya.
“Pergilah mandi, saya dah masak.”
Lelaki itu menyandarkan belakangnya
di sofa. Amini yang masih berdiri di hadapannya itu dipandang. Amini berlalu
dengan membawa kasutnya pergi. Malas-malas Rizal berjalan menuju ke bilik
tidur. Dia membuka kemejanya. Biliknya yang sedikit serabut sebelum ini sudah
pun dikemas. Bosan sangatkah Amini di dalam rumah ini sehinggakan hampir setiap
penjuru dikemaskan. Siap masak makan malam lagi.
Ahhh!! Aku peduli apa.
“HANDPHONE
I mana?” ribut Rizal mencari telefon bimbitnya sejak tadi. Amini yang
melintasi di hadapannya mematikan langkahnya.
“Saya letak di atas meja di ruang
tamu,” jawab Amini.
Rizal mendengus kasar. “Lain kali
jangan pandai-pandai nak kacau telefon bimbit I. I tak kisahlah you nak buat apa sekalipun dengan rumah
ni tapi handphone I jangan pernah
sentuh. Tak cukup lagikah dengan jam tangan yang I belikan tu. Kalau nak sangat pakai handphone mahal, I tak
akan kedekutlah nak belikan untuk you!”
Rizal terus sahaja berlalu menuju ke ruang tamu, mengambil telefon bimbitnya.
Menggeletar kaki Amini saat itu.
Tersentap dia. Betul sangkaannya selama ini. Suatu hari nanti, Rizal akan mengungkit
juga tapi ini tak sampai dua hari Rizal sudah mengungkit. Naik turun nafas
Amini, dia cuba membendung air mata daripada mengalir turun. Perlahan-lahan
kakinya menapak melangkah menuju ke ruang tamu. Kelihatan Rizal masih sibuk
dengan membuat panggilan telefon di balkoni. Amini membuka pintu dan keluar
daripada rumah itu. Rasanya dia tidak boleh berhadapan dengan Rizal saat ini.
Rizal terdengar bunyi pintu ditutup.
Dia menoleh ke belakang. Tiada siapa di situ. Hatinya mula berasa tak sedap.
Kakinya melangkah masuk ke dalam ruang rumah. Matanya meliar mencari kelibat
Amini. Amini tiada di ruang tamu, dapur... tiada juga. Semua tempat sudah
dijelajah. Sah! Amini tiada di dalam rumah itu!
Matanya tertancap pada satu sampul
putih yang diletakkan di atas meja. Ada nama dia tertulis di atas sampul itu.
Cepat Rizal menyambar sampul itu dan membuka. Terkedu dia sebentar. Amini
benar-benar memberikan dia duit bagi menggantikan duitnya membaiki kereta itu.
Tidak mungkinlah Amini benar-benar mengambil serius akan perbualan mereka
tempoh hari? Amini sudah memberikan dia dua sampul duit yang mengandungi duit. Pertanyaan
Johan sudah tidak dijawabnya lagi.
“Han, besok kita bincang dekat
pejabat.” Rizal mematikan panggilan itu. “Amini! Amini!” laung Rizal. Dia cemas,
Amini masih belum masak dengan kawasan kondominium ini. Lelaki-lelaki yang ada
di kawasan ini kebanyakan terdiri daripada orang-orang yang suka berhibur di
lewat malam dengan mengadakan parti-parti. Takut juga dia sekiranya Amini
terserempak dengan lelaki-lelaki mabuk itu. Ke mana pula dia menghilang ni?
KAKINYA dimain-mainkan ke dalam air
kolam renang yang dingin sambil memerhatikan keheningan malam yang sejuk. Angin
yang bertiup dari laut terasa dingin bayunya. Kepalanya mendongak, melihat
bintang-bintang yang berkelipan.
Air mata yang mengalir di pipinya
itu dibiarkan sahaja tanpa diseka. Kenapalah lelaki itu seringkali sahaja
menuduhnya yang bukan-bukan? Dia bukan perempuan materialistik! Mahu saja dia
teriak sekuat hati. Dia sudah cuba memujuk hatinya untuk berbaik dengan lelaki
itu tapi Rizal malah menganggap dia yang bukan-bukan. Inikah prasangka seorang
lelaki berada kepada perempuan miskin sepertinya? Sungguh! Hidup ini bukanlah
seperti dalam jalan cerita novel yang penuh dengan kebahagiaan.
Kalut Rizal mencari Amini, rasa
risaunya semakin memuncak. ‘Ke mana pula perempuan ni pergi!!’ gumam hatinya
risau.
Langkahnya mati. Dia terlihat satu susuk yang sedang duduk di tepi kolam
renang sambil mendongakkan kepala menatap langit yang gelap. Rizal menoleh ke
kiri, ada seorang lelaki yang ingin menghampiri. Hatinya tidak menentu, ini tak
boleh jadi. Cepat-cepat Rizal membuka langkahnya, mendahului lelaki yang cuba
mendekati Amini sebentar tadi. Sempat lagi dia memberikan jelingan pada lelaki
tersebut.
Terpegun lelaki itu. Hampa! Dia baru
sahaja terlepas peluang keemasan untuk mendekati seorang perempuan yang cantik.
Amini menarik sendunya. Dia mengelap
sisa air mata yang ada di pipinya. Apapun masalah yang mendatang, dia mestilah
menghadapi dengan tenang bukannya menjadi perempuan cenggeng seperti ini.
Menangis bukanlah satu cara untuk menyelesaikan masalah.
Baru Amini berkira-kira mahu
berdiri. Lengannya sudah pun dipegang. Cepat dia mengangkat kepalanya.
“Rizal...” suara serak akibat
terlalu lama menangis itu kedengaran.
“Jom balik, sakit nanti.” Rizal
menatap wajah yang sembab itu. Dia menyesal membuatkan Amini menangis.
Amini melepaskan tangan Rizal yang
memegang lengannya namun semakin kuat Rizal memegangnya.
“Ami, I tak bermaksud nak buat you...”
Amini menjelingnya dengan tajam.
“Cakaplah apa yang kau nak cakap Rizal. Tak ada ertinya saya dalam diri kau.”
Amini menarik tangan Rizal dibuka tapak tangan lelaki itu. Jam tangan yang
dibelikan oleh lelaki itu semalam dipulangkan kembali. “Saya dah jumpa jam
tangan saya semula dan saya tak perlukan jam tangan mahal seperti ini. Jam
tangan murah lebih sesuai dengan saya jika dibandingkan dengan jam mewah ini.”
Amini berkata. Terlongo Rizal yang mendengar. “Oh ya, saya juga tidak perlukan handphone yang mahal sebab jika nak
difikirkan semula kegunaan sebenar handphone
adalah untuk berkomunikasi bukan untuk menunjuk-nunjuk,” tambahnya lagi.
Rizal diam. Sejak tadi dia hanya
tertumpu pada bibir yang bergerak itu. Kalau boleh ingin sahaja dia menghentikan
bicara Amini dengan melekatkan bibirnya di atas bibir itu. Merasai
kelembutannya.
I’m
sorry Amini, I wanna kiss you...
“Kalau you tak nak jam ni, suka hati youlah
nak buat apa. Nak buang ke, pulangkan ke kedai, gadai, jual... I tak kisah, pandai-pandai youlah,” akhirnya terlepas juga
kata-kata Rizal. Lain yang ingin disampaikan lain pula yang diluahkan. Rizal
memakaikan jam tangan itu semula di pergelangan tangan Amini. “Tak nak balik? I lapar ni,” ujar Rizal dalam nada
memujuk pula.
“Huh!”Amini menarik tangannya
daripada pegangan Rizal. Kuat. Dia hilang keseimbangan apabila sebelah kakinya
termasuk ke dalam kolam. “Arghhh!!” jerit Amini. Rizal yang sempat memegang
tangan Amini turut terjatuh ke dalam kolam renang yang airnya sejuk itu.
Amini cuba mengapungkan tubuhnya
dengan menggunakan kaedah pengapungan yang dia pernah praktikkan sebelum ini.
Oh tidak! Amini kalut. Teringat akan peristiwa semasa kecil. Dia hampir-hampir
lemas di dalam sungai buat beberapa kali. Begitu juga sewaktu dia mengikuti
perkhemahan sukan rekreasi di Pulau Pangkor. Dia hampir-hampir tenggelam
disebabkan jaket keselamatannya yang tidak berfungsi.
Gulk! Gulk! Air kolam masuk ke dalam
hidung dan mulutnya. Terkapai-kapai tangannya, dia sudah melihat dasar kolam.
Tubuhnya terus sahaja dipaut, membawanya ke tepi kolam. Dalam keadaan yang agak
lemah, Amini berpaut pada tubuh Rizal. Kakinya masih terapung-apung di dalam
air. Kolam itu dalam!
Rizal menolak tubuh Amini supaya
keluar dari kolam itu sebelum membantu dirinya sendiri keluar dari kolam
tersebut. Terdampar mereka di tepi kolam renang dalam kebasahan, menggeletar
tubuh Amini menahan kesejukan, giginya berlaga sesama sendiri. Hidungnya pedih
dek termasuk air. Naik turun nafas Amini.
Dia menoleh ke arah Amini yang
sedang memeluk tubuhnya. Sekali lagi air mata itu merembes di pipinya.
Perlahan-lahan dia mendekatkan dirinya dengan Amini, dia menarik tubuh itu
masuk ke dalam pelukannya, diusap-usap bahu Amini perlahan-lahan.
“Jangan nangis, you selamat...” beritahu Rizal.
“I’m
sorry, I’m sorry, I’m Sorry, I’m...”
“Shhhh,
it’s okay honey. It’s okay.” Satu kucupan diberikan pada rambut Amini,
sambil mengeratkan pelukannya. Oh Tuhan! Ini bukanlah kali pertama dia rasa
risau sebegini. Rizal meletakkan tangannya di pipi Amini, disapu perlahan air
mata yang membasahi pipi itu. Menggeletar bibir itu menahan kesejukan. “Jom
balik,” ajak Rizal.
“Achiuu!!” terbersin pula Amini.
Rizal terlebih dahulu berdiri sebelum membantu Amini. Langkah Amini goyah,
hampir-hampir dia terpelecek dek lantai yang basah namun Rizal cepat memaut
pinggang Amini. Mata mereka saling berlaga, berpandangan sesama sendiri.
Fikirannya melayang teringat akan peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini.
Dia pernah berjumpa dengan Amini sebelum ini! Langkawi! Dia menyelamatkan Amini
daripada terjatuh, sama seperti sekarang ini. Senyuman bermain di bibirnya. Dia
menarik lengan Amini. Pinggang itu dipegang dengan kemas agar tidak jatuh lagi.
Rupa-rupanya dia pernah bertemu dengan Amini beberapa kali sebelum ini. Dia
tersenyum di dalam hatinya. Rupa-rupanya itulah wajah yang kerap kali
bertandang di ruang matanya selama ini.
“Kena mandi lepas ni, kalau tak
demam nanti...” ujar Rizal. Rambut yang menutup muka Amini diselitkan dicelah
telinga Amini. Bahu Amini diusap-usap perlahan.
Amini mengetap bibirnya. Sejak
kebelakangan ini, dia sedar Rizal sedikit-sebanyak berbicaranya dengan lembut.
Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia tidak tahu bilakah kehidupannya akan
menjadi lebih baik? Sedar tak sedar, mereka sudah pun berada di hadapan rumah.
Bila pula dia keluar dari lif? Hurrmmm...
Punat kekunci ditekan memasukkan kod
sekuriti. Pintu terbuka. Rizal membuka laluan pada Amini untuk masuk terlebih
dahulu dan diikutinya di belakang. Langkah Amini sedikit goyah. Berpinar-pinar
matanya sekejap. Tubuh yang hampir hilang keseimbangan itu terus dipegang
Rizal.
“Ami kenapa ni?”
Amini cuba menggeleng tetapi
kepalanya sedikitpun tidak bergerak. Seram sejuk mengalir melalui ke
saraf-sarafnya menuju ke otak. Peluh sejuk mula merintik di dahinya. Perutnya
dirasakan begitu sakit sekali. Rizal terus sahaja memapah Amini menuju ke sofa.
Tubuh itu dibaringkan di atas sofa. Sofa berkulit hitam itu basah dek baju
Amini yang lencun, Rizal tidak kisah akan hal itu dia hanya kisah akan
kesihatan Amini sekarang ini.
“You
tak makan siang tadi?” soal Rizal. Bibir itu tidak bergerak hanya kepalanya
sahaja yang menidakkan. “Ya Allah, kenapa tak makan?”
Amini terlepas makan tengah harinya
dan dia baru sahaja berkira-kira untuk menjamu selera dengan lelaki itu pada
malam ini tetapi sebaliknya pula. Amini mengagahkan dirinya. Dia tidak mahu
terus dibelenggu dengan sakitnya yang tidak berkesudahan itu, tanpa
memperdulikan Rizal dia cuba gagahkan diri untuk berdiri.
“Amini, kenapa keras kepala sangat
ni?” marah Rizal. Dia tidak tahan melihat tingkah Amini yang berpura-pura
seperti tiada apa-apa yang berlaku. “By
the way, ada I minta you bayar balik duit kereta itu? You memang tolak tuah Ami!” tengking
Rizal sekali lagi. “Sepanjang hidup I, I tak
pernah minta duit dari perempuan. I
tak pernah lagi jumpa perempuan macam you
ni! I dah provide kesenangan, tapi you
masih tak tahu nak guna kesenangan itu. Apa yang you nak sebenarnya ini?”
Amini menarik nafas
sedalam-dalamnya, “saya mandi dulu, lepas mandi nanti saya panaskan lauk-pauk
tu okey.” Amini mempercepatkan langkahnya, naik turun nafasnya. Berkerut
dahinya menahan rasa sakit yang menyucuk-nyucuk di ulu hatinya. Kau tak perlu
tahu semua itu Rizal! Kau tidak pernah lahir dalam keluarga yang seringkali
berhadapan dengan masalah kewangan seperti aku. Kau tidak pernah berhadapan
dengan situasi ibu bapa bergaduh hanya kerana wang. Kau tidak pernah ada
seorang bapa yang melupakan tanggungjawabnya mencari nafkah keluarga. Selama
ini, aku sering berdoa yang aku tidak mahu mendapat suami seperti bapa. Lelaki
yang hanya tahu bergantung kepada isteri semata-mata untuk mencari nafkah
keluarga. Aku tidak mahu ciri-ciri itu ada pada suami aku, tapi ini pula
sebaliknya. Kau ingin beri aku kesenangan tapi kesenangan yang kau berikan itu
berserta dengan hinaan. Tidak ada bezanya kau dengan bapa melainkan status
taraf hidup kau.
Kakinya terus sahaja melangkah masuk
ke dalam bilik dengan hati yang sedih. Beg tangan cepat-cepat dicapai
mengeluarkan ubatnya, diteguk dengan perlahan tanpa mengetahui pergerakkannya
sedang diperhatikan. Belakang tubuhnya di sandarkan di tepi katil. Mata
dipejam, menahan sakit.
“Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini!” pintanya perlahan.
MATANYA tertancap pada tubuh yang
berbaring di atas katil. Tubuh itu tidak berselimut. Gaun tidur yang dikenakan
terselak sehingga menampakkan bahagian atas tubuh milik Amini. Amini kelihatan
tidur dengan nyenyak, penat sangat agaknya. Dia mengangkat kakinya
perlahan-lahan, beg yang ada di tepi dinding itu diambil. Ada satu bungkusan di
dalam beg itu. Rizal terus mengeluarkan, sebotol ubat jenis cecair dan beberapa
biji ubat yang berwarna jingga itu menarik perhatiannya. Ubat apakah itu? Itu
bukan ubat yang dibekalkan oleh klinik swasta itu tempoh hari. Berapa banyak
ubat-ubatan yang diambil oleh Amini? Hatinya gusar.
Dia mengeluarkan telefon bimbit yang
ada di dalam kocek seluarnya. Dia menaip nama ubat itu dan dihantar kepada
Johan, berharap agar Johan akan bertanya kepada isterinya. Beg itu diletakkan
di tempat asal, kaki Rizal mendekati Amini. Gaun yang terangkat itu diturunkan.
Selimut ditarik lalu menutup tubuh itu daripada kedinginan malam.
Rizal melangkah keluar dari bilik,
kerjanya masih belum siap sepenuhnya. Belum sempat punggungnya mencecah di atas
bangku telefon bimbitnya berdering.
“Riz, Qis kata ubat yang bernama Hyosine itu untuk sakit perut manakala
yang satu lagi tu untuk sakit gastric
tapi kedua-duanya punya fungsi yang sama, melegakan sakit perut. Kenapa kau
tanya aku malam-malam buta ni tak sabar-sabar nak tunggu pagi esok?” soal Johan
tidak puas hati, mujurlah dia masih belum tidur. Dia baru sahaja mahu
bercinta-cinta dengan isteri tersayang...
“Tak adalah, aku tengok Amini kerap
ambil ubat-ubatan tu...”
“Amini sakit?” duga Johan dalam nada
terkejutnya.
“Gastrik, sejak hari tu lagi...”
“Tak elok sebenarnya kalau terus bergantung pada ubat-ubatan, bini kau
tak jaga jadual makan kot takpun kau tak bagi dia makan...” duga Johan dalam
nada bergurau.
“Ishk, ke situ pula kau! Bila masa
pula aku tak bagi dia makan?”
“Siapa tahu, kot-kot kau nak ulang
perkara yang sama Shahrul buat pada arwah. Dahlah, aku nak tidur. Good night, assalamualaikum...”
“Walaikumsalam,” Rizal meletakkan
telefon bimbitnya di atas meja. Dia melabuhkan punggungnya di atas bangku,
kepalanya didongak memandang siling yang putih. Shahrul... lelaki itu ada
berjumpa dengannya sebaik sahaja dia kembali bekerja selepas cuti seminggu
selepas majlis nikah. Wajah cengkung lelaki itu berlegar-legar di hadapan
matanya.
“Jangan buat perkara yang sama aku
buat pada arwah, nanti menyesal tak sudah.” Shahrul berpesan kepadanya. “Aku
lebih dulu makan garam dari kau Riz, arwah seorang isteri yang solehah. Tak
kira apa aku buat pada dia, dia tetap layan aku dengan baik. Kekasih aku?
Tinggalkan aku macam tu sahaja selepas aku kemalangan. Sedar tak sedar, bini
yang kita rasakan satu beban rupa-rupanya satu anugerah buat kita. Sebenarnya,
ada hikmah disebalik menantu pilihan ibu bapa kita.”
No comments:
Post a Comment