Wednesday, 22 May 2013

Novel : Cinta Antara Kita Bab 13

           BADANNYA bergerak mengikut rentak lagu. Lagu nyanyian Shania Twain, Forever and For Always itu sangat diminatinya. Sesekali dia menyanyi mengikut lagu yang berkumandang dari pemain lagu. Dia dapat melepaskan tekanan apabila berhadapan dengan jalan yang sesak seperti ini. Jalan Sulaman ini tidak pernah tidak sesak sekiranya masuk jam lima setengah petang. Dunia semakin maju, pengguna kereta juga semakin meningkat sekali gus meningkatkan kadar kesesakan lalu lintas di kawasan bandar. Teringat Amini akan pertemuannya dengan Lala beberapa hari yang lepas, sebelum majlis perkahwinannya berlangsung.
            “Oii perempuan!!” tegur Lala dari belakang. Amini menoleh. Bibirnya meleret. Memberikan senyumannya kepada perempuan yang mengenakan pakaian yang seksi dan berfesyen itu. Rambut perang panjang yang diikalkan itu menjadi tatapannya. Lala memang tidak pernah berubah.
            “Uittts! Thanks sebab tolong saya hari tu. Pertolongan yang sangat-sangat saya perlukan.” Amini memegang lengan Lala. Pengunjung Centre Point tidak mengendahkan mereka meskipun mereka berada di pertengahan laluan.
            “Uittts! Thanks sebab tolong saya hari tu. Pertolongan yang sangat-sangat saya perlukan.” Amini memegang lengan Lala. Pengunjung Centre Point tidak mengendahkan mereka meskipun mereka berada di pertengahan laluan.
            No hal, so apa kata laki kau tu?” tanya Lala.
            “Tercenganglah apa lagi?” tergelak Amini.
            “Kau ni memangkan…”
“Alah, saja nak kenakan dia. Baru padan dengan muka...”
            “Huh! Yelah tu...”
            Senyuman terukir di bibirnya. Lucu apabila mengenangkan dia membohongi lelaki itu hidup-hidup. Dapat juga dia melihat air muka lelaki itu berubah sama sekali sebaik sahaja mendengar jumlah yang disebut oleh Lala dahulu. Seperti ayam berak kapur. Padan muka! Amini membelokkan keretanya memasuki ke kawasan pusat membeli-belah 1 Borneo. Dia perlu membeli barangan dapur. Rumah sewanya yang terletak di Taman Fulliwa sudah lama tidak berasap. Sejak kebelakangan ini dia banyak menghabiskan masanya bersama dengan keluarganya.
            Keretanya diparkir di satu petak kosong. Beg tangan segera di capai sebelum keluar dari kereta D-Max miliknya. Punat kunci ditekan. Kakinya melangkah untuk masuk ke dalam pusat membeli-belah itu.
            Pon!! Terkejut Amini. Dia tercegat di situ. Tiba-tiba lengannya di tarik dari belakang. Sebuah kereta Honda CRV hitam melintasinya disertai dengan pandangan bengis dari pemandu kereta tersebut.
            “Nak mati?” suara itu mengejutkan Amini. Semangat yang hilang diraih semula. Lengan yang dipegang tadi sudah dilepaskan. Perlahan-lahan Amini menoleh ke kanannya. Terkejut dia, sekali lagi. Di mana-mana sahaja dia berada pasti dia akan bertemu dengan lelaki ini. Bukankah wujud satu perjanjian di antara mereka agar mereka tidak boleh melanggar hak-hak kebebasan masing-masing? Mereka sudah menandatangani perjanjian itu, sama seperti negara-negara yang menubuhkan Persatuan Bulan Sabit Merah menandatangani Konvensyen Geneva. 
            You buat apa kat sini?”  lelaki itu bersuara lagi. Dia memandang Amini atas bawah. Amini mengenakan dress pendek separas lutut berwarna hitam dan dipadankan dengan kasut tinggi berwarna coklat. Dia tidak pernah melihat Amini berpakaian seperti ini. Selalunya Amini hanya akan mengenakan seluar jeans dan t-shirt sahaja. Teringat pula dia pada peristiwa sebelum ini. Amini membelanjakan sejumlah wang yang besar berbelanja di sebuah butik pakaian. Mungkin dress yang dikenakan ini salah-satu daripada dress yang dibelinya dari butik itu. Hmm... berbaloi jugalah duitnya yang dibelanjakan oleh Amini. Setidak-tidaknya, Amini sudah tidak berpakaian kumal seperti kebiasaannya.
Eh! Kenapa aku tiba-tiba mengambil perhatian akan Amini? Rizal bertanya kepada dirinya sendiri. 
            Amini mengalihkan pandangannya. Suasana sunyi di kawasan letak kereta itu membuatkan suara lelaki itu bergema. “Saya nak beli barang.”
            “Okay.” Rizal terus berlalu.
            Berkerut dahi Amini.
            Okey? Jawab sepatah perkataan dan pergi begitu sahaja? Matanya mengekor susuk itu sehingga lelaki itu menerobos masuk ke dalam keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Amini ketawa sendiri. Bodoh! Entah bagaimanalah dia boleh bersabar dengan sikap lelaki seperti itu.
            Tenang Ami, tenang...
            Amini menarik nafas sedalam-dalam yang mungkin. Dia terus melangkah masuk ke dalam sebuah ruang menuju ke atas dengan menaiki escalator. Dia tidak mahu terus memikirkan mengenai suami yang tidak pernah mengakui kehadirannya. Dia digantung tidak bertali sebaik saja dia ditabalkan menjadi isteri bagi seorang lelaki yang dia tidak pernah kenal hati budinya. Sungguh senang menjadi isteri kepada lelaki itu. Dia tidak perlu bersusah-payah dalam majlis itu. Semuanya telah tersedia di atas usaha ibu mertuanya. Dalam sekelip mata sahaja, dia bergelar menantu dalam sebuah keluarga yang memiliki sebuah butik fesyen yang agak terkenal dan juga menjalankan beberapa perniagaan yang lain tapi Amini tidak pernah kisah. Dia tidak kisah berapa banyak wang yang dimiliki oleh keluarga lelaki itu. Dia tidak tertarik walau sedikit, mungkin kalau sebelum ini dia tertarik dengan lelaki yang bergaya seperti Rizal tetapi sekarang semua itu jauh berubah. Langkah Amini berhenti tiba-tiba. Fikirannya tiba-tiba teringat akan peristiwa dia melihat Mahani menangis disebabkan anak kesayangannya itu. Sudah lama benar agaknya Rizal tidak pulang ke rumah. Amini turun kembali menuju ke kawasan parkir. Dia berharap agar lelaki itu masih berada di situ. Dia perlu berbicara dengan lelaki itu, perlu bertentang mata. Dia tidak mahu Mahani hidup dalam kesedihan.
            Dia mengurut dadanya. Bersyukur kerana lelaki itu masih ada di situ. Masih berbicara di dalam telefon. Tanpa banyak membuang waktu, Amini melangkah menghampiri lelaki itu.
            Rizal mengerutkan dahinya tatkala terpandangnya Amini mendekatinya. Telefon yang melekap di telinganya sudah tidak dipeduli. Perlahan-lahan diturun dan dimatikan panggilan itu. Sepasang mata galak merenungnya dengan tajam. Dadanya berombak tiba-tiba. Dia menjadi tidak keruan.
            “Kita perlu berbicara.”
            Rizal tertawa tiba-tiba. Lucu melihat wajah kelat itu, lagi-lagi apabila Amini menggunakan perkataan ‘berbicara’. “Berbicara? Pasal apa?” soalnya. Pandangannya dilarikan ke arah lain. Dia tidak boleh mengalihkan matanya daripada terus-terus memandang bibir itu.
            “Pasal mama,” ujar Amini.
            Rizal menatap Amini semula. Berkerut dahinya. “Mama? Kenapa dengan mama?” tiba-tiba sahaja Amini membangkitkan mengenai perihal mamanya.
            “Sampai hati kau tinggalkan mama begitu sahajakan. Kau tahu tak mama nanti-nantikan kepulangan kau?”
            Lelaki itu buat-buat ketawa. Sengaja mahu menyakitkan hati perempuan yang ada di hadapannya. Dia mendekati Amini. Tapak tangannya diletakkan di atas pipi Amini. Memaksa Amini mendongakkan kepalanya. Rambut itu dipegang dan dipintal perlahan-lahan. “You buat apa nak kisah hal I? Jangan nak berlagak jadi isteri mithalilah. Sedar diri tu sikit. You kahwin dengan I setakat nak kikis harta family I kan! Lagipun I dah lama tinggal bersendirian selama ini, balik rumah mama atau tidak itu hal I!” kasar suara lelaki itu menjawab. Dia tidak suka apabila Amini cuba masuk campur hal peribadinya.
            Amini terus menepis tangan itu. Dia melangkah setapak ke belakang. Dia memejamkan matanya. Menahan rasa sakit di dalam hatinya. Niat baik tadi dibalas dengan kata-kata cemuhan daripada lelaki itu.
            Dia mengumpul kekuatannya semula. “Cakaplah apapun, syurga tetap di bawah tapak kaki ibu. Pulanglah ke rumah seperti sebelum ini. Saya tak kisah berapa lama kau nak gantung saya asalkan mama bahagia.” Amini membetulkan beg tangannya. Dia terus meninggalkan lelaki itu. Hilang mood untuk membeli barangan dapur.
            Sekali lagi Amini mendengar perkataan itu. Aku perempuan materialistik? Kau tak faham situasi saya... dia tidak pernah meminta apa-apa daripada lelaki itu.
            Setitis air matanya jatuh membasahi pipi. Tidak adakah sedikit ruang untuknya untuk merasakan sedikit kebahagiaan di dalam kehidupan? Kenapa dia harus berhadapan dengan semua ini? Dari dahulu hidupnya penuh dengan kepura-puraan. Dia berpura-pura bahagia di hadapan semua orang semata-mata mahu menutup rasa sengsara tapi, siapa yang tahu melainkan Allah Yang Maha Esa...
            Sampai bilakah dia harus berhadapan dengan semua situasi ini? Tidak cukup lagi kesengsaraan hidup yang dia hadapi selama ini? Terasa sebak dadanya, air mata mulai luruh. Dia menarik sendunya. Adakah kerana Allah sangat menyayangi dirinya sehinggakan dia diberikan ujian seperti ini? Pahit getir kehidupan dia rasai perlahan-lahan. Dia telan semuanya mahupun perit. Dia memang tidak dilahirkan dalam keluarga yang senang, takkan kehidupannya kali ini juga seperit kehidupannya yang lalu.
            Amini menyeluk begnya. Dia mengeluarkan satu sampul. Tangan Rizal diangkat dan sampul itu diletakkan di atas tapak tangan itu. “Terima kasih!” tanpa selamat tinggal, Amini terus sahaja melangkah meninggalkan lelaki itu.
            Sampul surat itu dikoyakkan hujungnya. Terjegil mata Rizal. Dia menarik kepingan-kepingan kertas kecil yang sudah dikepil itu. “Bodoh!” cemuh Rizal.

          AMINI merasakan perutnya sakit. Ahh! Penyakit lama datang kembali. Langkahnya sekali lagi terhenti. Dia menundukkan sedikit tubuhnya. Bertahan. Berkali, kali dia mengesat air matanya daripada mengalir dan dia cuba menahan dari termuntah. Tapi, air mata itu semakin meluncur dengan laju. Perut yang kosong itu pasti tidak akan mengeluarkan apa-apa. Perlahan-lahan dia berjalan. Langkahnya semakin lemah. Tangannya memegang hujung keretanya sebelum terduduk mencangkung. Menahan rasa sakit perutnya. Dia menahan sesuatu daripada keluar daripada mulutnya. Kepalanya mula seram sejuk. Tahulah apa yang sedang serang dia sekarang ini. Amini cuba  menahan muntahnya daripada keluar kerana sekali dia muntah, dia akan muntah berkali-kali. Dia merasakan seseorang berdiri di sisinya. Dia mengangkat kepala. Dia cuba berdiri. Tidak sanggup rasanya berhadapan dengan lelaki itu. Rasa sakit hatinya masih ada.
            Dari jauh dia perhatikan gerak-geri Amini. Untuk apa Amini memberikan semula duit yang dibelanjakan untuk adik-adik Amini? Adakah ini strategi terbaru Amini untuk membuatkan dia melucutkan gelaran Perempuan Materialistik itu? Sudah tentu tidak! Langkah kasar dihayun.  
            Langkah itu terhenti sebentar. Gerak yang goyah itu membuatkan dia terhenti seketika. Cepat sahaja dia mengorak mendekati Amini. Risau dia melihat Amini yang seolah-olah sedang menahan sesuatu. Amini seolah-olah sakit. Sakit atau berpura-pura sakit?
            “You okay?” tanya Rizal sebaik sahaja dia mendekati Amini yang sudah menahan perutnya dengan menekan tangannya di bahagian atas perut itu. Berkerut-kerut dahi itu.
            “Buat apa nak risau?” kasar Amini menjawab namun masih kedengaran lemah suara itu. Dia masih lagi menekan ulu hatinya, menahan rasa sakit. Peluh sejuk mulai merintik. Satu-persatu membasahi dahi yang ditutup dengan rambut hadapan iru. Dia sedikit pun tidak memandang pada Rizal. Takut sekiranya air matanya itu membuatkan lelaki itu bersimpati kepadanya sedangkan dia tidak perlukan simpati itu langsung.
            Tersenyum sinis Rizal. Perempuan ini masih berlagak hebat! “Kalau sakit tu buat-buat sakit, jangan nak mengada-ngada. Jom pergi klinik!” Rizal memegang lengan Amini tetapi sepantas kilat Amini menepis.
            “Kau tak teringinkah lihat perempuan materialistik ni mati?” Amini menjeling. Pipinya basah. Dahinya berkerut menahan rasa sakit yang semakin mencucuk-cucuk.
            Terkedu Rizal. Amini menangis? Rizal mengetap bibirnya. Menahan geram. “Tak padan dengan sakit tapi masih keras kepala!” tanpa banyak bicara Rizal terus memegang bahu Amini dibawanya berjalan bersama menuju ke keretanya. Dia cuba tidak memperdulikan air mata itu padahal berasak-asak pertanyaan di dalam kepalanya.
            “Lepaslah, saya nak balik!” tengking Amini, berkali-kali dia menolak Rizal daripada terus memaksa dia masuk ke dalam kereta. Rizal tidak mengendahkan. “Lepaslah setan!!” amarah yang tersimpan tadi terluah sedikit demi sedikit. Rizal masih tidak mengendahkan. Dia tidak kisah, Amini hendak panggil apa pun. Dia hanya tahu, dia perlu menghantar Amini ke hospital. Pintu kereta dibuka. Tubuh kecil itu terus ditolak masuk ke dalam kereta. Pintu terus sahaja ditutup.
            “Kita pergi klinik!” titik. Rizal terus memandu keluar dari kawasan itu. Amini sudah tidak terkata apa-apa lagi. Dia memejam matanya. Pejap. Bergetar bibirnya menahan sakit.

            “BOLEH saya tahu encik ini siapa?” soal doktor yang bertugas merawat Amini. Sejak tadi lelaki itu tidak pernah berenggang daripada pesakit itu. Wajah risau lelaki itu membuatkan dia ingin mengetahui siapa lelaki yang berdiri di sisi pesakit yang pernah mengunjungi kliniknya dalam beberapa kali. Selama ini pesakit itu tidak pernah ditemani oleh sesiapa pun.
            “Saya suaminya,” jawab Rizal. Dia mengalihkan pandangannya pada Amini yang terbaring lesu di atas katil. Mulutnya sudah melonjong membentuk O tapi suara itu tidak terlepas dari peti suaranya. Terangguk-angguk doktor itu.
            I see, isteri encik ni memang ada sejarah sakit gastrik yang agak teruk. Dia tak boleh lewat mengambil makan, kafein, makanan berasid dan pedas. Permakanannya memang perlu dijaga dengan baik.” Doktor itu meletakkan pen di atas mejanya. Terus sahaja dia berdiri dan mendekati Amini.
            Amini membuka matanya. Mata itu tertumpu pada dua susuk yang sedang berdiri di sisinya. “Are you feeling better now Mrs.Amini?” soal doktor itu.
            Amini cuba bangkit. Dia sudah sedar sepenuhnya namun sakitnya masih belum hilang. Dia memejamkan matanya sebentar cuba bertanya kepada tubuhnya. Dia yakin sakit itu akan hilang sebentar lagi. Dia hanya perlukan susu untuk meneutralkan balik tahap keasidan dalam perutnya itu. Lama ditunggu, barulah dia menganggukkan kepalanya walaupun tekaknya dirasakan sedikit loya. Dia harus tahan. Dia tidak boleh muntah.
            Jari-jemarinya tiba-tiba memegang lengan Rizal. Dia menutup mulutnya menahan cecair itu keluar dari perutnya.
            “Ami,” panggil Rizal. Terus sahaja dia mengalihkan pandangannya pada doktor yang berlalu dan kembali bersama sehelai plastik kuning. Plastik itu diberikan kepada Rizal. Dan cepat-cepat Rizal dekatkan plastik itu dengan mulut Amini tapi Amini mengambil plastik itu dari tangan Rizal.
            “Buekkkk!” satu. “Buekkkk!” dua. “Buekkkk!” tiga. Amini menarik nafasnya perlahan-lahan. Dan… “Buekkkk!” empat. Kali ini supernova kuat bunyi muntah itu. Bagaikan hendak terkeluar salur esofagus itu dari mulutnya, kalau boleh. Beg plastik itu tanpa dia sedari dia berikan kepada Rizal sebelum merebahkan tubuhnya kembali di atas katil. Tubuhnya dirasakan tidak bermaya sekali.
            “Macam mana doktor?” tanya Rizal yang mulai cuak melihat keadaan Amini yang seperti dalam keadaan tenat. Dia dapat hidu bau ubat yang ditelan Amini dari dalam plastik itu. Dia dapat rasa melalui berat plastik itu yang tiada apa-apa isi muntah Amini melainkan cecair. Dia meletakkan tangannya di atas dahi Amini, menolak ke tepi rambut yang menutup muka itu. bila dia tersentuh peluh sejuk yang merintik di dahi itu, hatinya dipagut sesuatu…

No comments:

Post a Comment