3
BEBERAPA
orang pasangan keluar dari hotel mewah itu. Amini masih lagi duduk di lobi
sambil menanti program bermula semula. Makanan yang dijamunya tadi sedang
menjalankan proses penghadamannya. Jari-jemarinya digenggam, sesekali dipandang
jari-jemarinya yang tidak runcing itu. Dia mengikuti seminar orang kurang upaya
yang dianjurkan oleh badan kebajikan. Dia menyandar pada tiang balkoni itu
sambil memerhatikan peserta-peserta seminar itu. Semuanya berlatarbelakangkan
dalam kalangan Orang Kurang Upaya. Ada di antara mereka merupakan ibu ataupun
bapa kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya. Mereka menghadirkan diri dalam
seminar ini sudah cukup membuktikan yang mereka sememangnya prihatin dan
mengambil berat akan masa depan anaknya. Amini tahu, mereka bersyukur dengan
kehadiran insan istimewa di dalam keluarga mereka.
Amini memusingkan badannya, kali
ini dia memandang ke bawah, menyaksikan pergerakan dan perlakuan tetamu-tetamu
di hotel ini. Pandangannya tertancap pada satu susuk, berkerut dahinya. Pelik!
Bukankah lelaki itu baru sahaja bersama dengan perempuan lain di kompleks
beli-belah semalam? Dasar lelaki buaya darat! Entah berapa banyak perempuan
yang sudah menjadi mangsa. Ishk, ishk, ishk...
Dia
mengerling sekejap pada jam di pergelangan tangannya. Mulai bulan hadapan, dia
akan ditempatkan mengajar di sebuah sekolah rendah yang terletak di daerah
Tuaran. Hmm, dalam masa dua atau tiga tahun lagi dia bakal mendapat lantikan
penuh. Pada masa itulah, dia akan menjadi guru yang bertauliah. Tidak sabar
rasanya...
Baru
semalam dia tinggalkan bumi Jelatang Padi itu dan kini dia berada di negeri
kelahirannya. Belum lagi sempat dia melepaskan rindu bersama keluarga tercinta,
dia sudah mengikut program ini. Semuanya atas arahan daripada Pengerusi
persatuannya. Bukankah dia sudah lama berkecimpung dalam bidang ini? Kenapa
perlu jadikan ianya satu bebanan? Amini, Amini...
Jam
Q & Q kesayangan yang dibelinya empat tahun yang lalu dikerling sekali lagi.
Tidak lama lagi acara akan bermula. Dia melihat badan-badan sukarela yang
sedang menjual hasil kerja tangan orang-orang yang berkeperluan khas. Hmmm, aku
boleh beli selepas ini, hatinya berbisik.
“Kakak...”
panggil satu suara manja. Amini menoleh, cair senyuman dari bibirnya.
“Cindy,”
dia beralih dari balkoni dengan mendekati remaja yang duduk di kerusi roda itu.
Dia memegang bahu remaja yang berkeperluan khas itu. Tidak ada masalah anak itu
hanya pergerakan motornya sahaja yang lambat sehingga membuatkan pertuturannya
lambat.
“Kakak...
dah... makan?” soalnya tersekat-sekat.
“Dah,
mari kita masuk ke dalam...” Amini menolak kerusi roda remaja perempuan itu
masuk ke dalam Hall yang menjadi
tempat bengkel itu. Matanya memandang peserta-peserta bengkel yang ada di
sekelilignya. Bengkel inilah yang sepatutnya dijalankan dengan kerap bagi
meningkatkan kesedaran mengenai orang-orang yang berkeperluan khas.
Individu-individu yang berkeperluan khas pula perlu meluahkan isi hati mereka
bagi memberi penjelasan masalah yang mereka hadapi kepada masyarakat di
sekeliling.
MATAHARI
yang terbenam itu sungguh menenteramkan hatinya. Dia mengenangkan benda-benda
buruk yang pernah dia lakukan dahulu. Sungguh! Dia menyesal... dia berjanji,
dia tidak akan pernah libatkan dirinya dengan arak lagi. Syukur kerana dia
tidak terus terjerumus dengan hobi rakan-rakannya. Dia masih lagi bersahabat
baik tapi tidak mungkinlah dia akan mengulang kesilapan yang sama. Dia sedar
akan tanggungjawabnya kini. Lahir dalam keluarga yang cetek dalam pengetahuan
agama bukanlah satu penghalang baginya untuk memperbetulkan semula kehidupannya
ke jalan yang benar. Buat apa belajar tinggi-tinggi sekiranya dia tidak dapat
memperbetulkan akidah yang selama ini terpesong. Alhamdhulillah. Ada juga insan
yang mampu memberikan tunjuk ajar kepadanya. Dia sangat berterima kasih kerana
Allah memberikan dia rakan-rakan yang boleh memberikan dia tunjuk ajar.
Sesungguhnya, dia sangat bersyukur. Tidak sia-sia dia melanjutkan pelajarannya.
Kamera
yang selalu menemaninya dikeluarkan. Dia menangkap gambar wajah-wajah riang
yang sedang bermain di pantai. Cantik! Dia tersenyum puas melihat hasilnya.
Dia
berjalan menuju ke bahagian Tanjung Aru 2. Benteng simen itu menjadi tempat dia
melabuhkan punggungnya. Dia memerhatikan pengunjung pantai itu yang sibuk
dengan aktiviti masing-masing. Inilah masa yang paling sesuai untuk merehatkan
minda. Tiada siapa pun mengganggunya ketika ini.
Pandangannya
jatuh pada sepasang kekasih. Berkerut dahi Amini. Aduh! Sungguh mengaibkan.
Tempat terbuka seperti ini menjadi tempat mereka bercumbu-cumbuan. Lebih teruk
apabila perempuan itu duduk di atas paha lelaki itu sambil bercumbu. Arggh!
Persetan kamu!
Amini
berdiri. Sakit matanya. Deru angin bayu menerbangkan rambutnya yang semakin
panjang. Pandangannya tertumpu pada sebuah rumah pemerhati. Tidak berapa jauh
dari tempat yang dia berdiri sekarang ini. Pemandangan dari atas sana pasti
lagi cantik dan menarik. Hatinya tergerak untuk menaiki rumah itu. Tanpa
disedari dia terus mengorak langkahnya.
Tangga
yang tegak itu dipanjat tanpa rasa gentar walaupun dalam hati dia takut sekali
jatuh. Alah! Jatuh pun jatuh ke bawah juga... bisik hatinya.
Akhirnya,
sampai juga Amini di atas. Dari atas rumah itu, dia dapat melihat Minah Salih
berbikini dan berseluar panjang. Jalan beriringan bersama-sama pasangannya.
Amini menangkap gambar matahari terbenam menggunakan kameranya. Dia tidak akan
pernah melepaskan peluangnya untuk menikmati keindahan ciptaan Illahi.
Sedar
tak sedar, hampir sejam dia berada di situ. Baik aku turun, fikirnya. Amini
menuruni tangga itu dengan penuh berhati-hati. Perlahan-lahan dia turun.
“Allah!!”
kakinya tersalah langkah. Hampir-hampir jatuh mujurlah tubuhnya itu ditahan.
Amini membetulkan kedudukannya.
“Are you okay?” soal orang yang membantu
itu.
“Saya
okey,” jawab Amini perlahan. Dia membetulkan rambutnya. “Terima kasih,”
ucapnya. Amini mengangkat kepalanya. Dahinya berkerut tiba-tiba. Dia
seolah-olah pernah terjumpa raut wajah ini. Ahh! Déjà vu mungkin.
“We’ve met before this,” kali ini orang
itu berkata.
Terjungkit
kening Amini. Aik? Dia mengukirkan senyuman. Alasan semata-mata. “Really?”
“If I’m not mistaken, I pernah jumpa you dekat gunung Kinabalu. Remember?
We almost bumped each other.”
“Sorry, saya tak ingat. Well, anyway thanks for helping me so
saya minta diri dulu...”
“Wait!” baru Amini berkira-kira untuk
pergi orang itu memanggilnya. Dia menoleh ke belakang. Orang itu menghulurkan
tangannya.
“I Ikhwan,”
Teragak-agak
Amini menyambut huluran tangan itu. “Amini.” Lelaki itu menghulurkan kad bisnesnya.
Amini turut mengeluarkan kad bisnesnya. Kad bisnes saling bertukar tangan.
Sekali lagi Amini menghulurkan senyumannya yang manis sebelum beredar dari
tempat itu.
No comments:
Post a Comment